TMJ Kongsi Detik Cemas Selamatkan Diri Dan Keluarga Daripada Kejadian Tembakan Rambang Di Thailand

Pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim (TMJ) dan keluarga baginda selamat daripada insiden tembakan rambang yang berlaku di sebuah pusat beli belah terkemuka di Bangkok, Thailand yang terletak bersebelahan dengan hotel penginapan mereka.

Melalui sebuah kenyataan, TMJ berkongsi saat kejadian tersebut berlaku dan bagaimana dirinya dan keluarga melalui detik cemas tersebut, sebelum TMJ dan keluarganya pergi ke Kedutaan Singapura untuk menyelamatkan diri.

“Orang ramai menjerit dan berlari masuk ke dalam hotel dari pusat membeli-belah apabila penembak mula melepaskan tembakan. Ia sangat bising dan terdapat begitu banyak jeritan. Kami semua sedang duduk di lobi hotel ketika itu,” kongsi TMJ di akaun Twitter nya.

“Kami membawa kanak-kanak/keluarga ke tempat yang selamat, berlari ke ruang bawah tanah bersama pasukan saya, dan fikiran saya tertumpu kepada berapa ramai penembak di luar sana, apa senjata yang mereka gunakan dan apa situasinya.

“Kami perlu berjaga-jaga dan bersedia untuk sebarang kemungkinan kerana yang kami tahu ketika itu hanyalah bunyi tembakan yang kedengaran. Kami tidak mempunyai maklumat lain dan perlu bersedia untuk apa-apa perkara yang boleh berlaku.

“Saya masih terbayang waktu saya memberitahu anak-anak saya, “semuanya akan kembali okay. Babah dan Mama ada di sini” dan menyuruh mereka tunduk sementara menunggu kenderaan tiba.

“Saya dan pasukan keselamatan kami berdiri di hadapan keluarga saya, membina perisai manusia untuk melindungi mereka walau apa pun berlaku. Apa yang difikiran saya adalah untuk membawa keluarga dan pasukan saya keluar dari tempat itu. Isteri saya memeluk anak-anak kami, menundukkan diri dan cuba menenangkan mereka kerana mereka ketakutan dan menangis.

“Saya menjerit sekuat hati kepada pasukan keselamatan kami untuk membawa kereta ke ruang bawah tanah dan membawa kami ke lokasi yang selamat jauh dari tempat tersebut. Saya memberitahu mereka untuk membawa kami ke Kedutaan Malaysia, dan pemandu memberitahu kami Kedutaan Singapura lebih dekat dan ketika itu saya menghubungi Konsul Jeneral Singapura di Johor.

“Kini kami selamat berada di Kedutaan. Saya menghubungi Perdana Menteri Malaysia dan Menteri Pertahanan kita untuk memaklumkan apa yang berlaku. Duta Besar Malaysia turut ada bersama kami.

“Setelah semuanya selamat, kami akan ke lapangan terbang dan terbang pulang ke Johor. Malangnya, saya terlepas perlawanan JDT tetapi saya bersyukur keluarga saya dan pasukan kami selamat. Ini adalah pengalaman terburuk yang pernah saya lalui. Melindungi nyawa anak-anak saya daripada pembunuh. 2 orang meninggal dunia. Semoga Allah merahmati roh mereka yang tidak berdosa.

“Alhamdulillah, kami selamat. Terima kasih kepada pasukan keselamatan saya dan rakan-rakan kami dari Singapura dan Malaysia. Saya akan selamanya berterima kasih kepada anda semua.”

Insiden tersebut dipercayai menjadi sebab mengapa TMJ gagal hadir menyaksikan perlawanan di antara JDT dan BG Pathum di dalam saingan AFC Champions League pada malam tadi.

Dalam kejadian pada malam tadi seorang remaja berusia 14 tahun ditahan selepas menembak mati dua individu dan mencederakan ramai lagi pengunjung pusat beli belah dalam satu insiden tembakan secara rambang.

Identiti suspek dirahsiakan kerana usianya. Pihak polis bergegas ke lokasi kejadian di Siam Paragorn – salah sebuah pusat beli belah terkemuka di bandar Bangkok selepas mendapat laporan.

Suspek kemudiannya menyerahkan diri di hotel berhampiran – dipercayai menjadi hotel penginapan TMJ dan keluarganya.

BACA:  TMJ Dedah JDT Tak Mampu Penuhi Permintaan Falcao