“El Tigre In The House” – Falcao Lapor Diri Kepada TMJ

Penyerang antarabangsa Colombia, Radamel Falcao dipercayai sudah berada di Johor Bahru untuk melengkapkan perpindahan ke JDT.

Malah berdasarkan perkongsian Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) di media sosial menunjukkan pemain itu telah pun menemui pemilik JDT itu.

TMJ melalui IG Story beliau telah berkongsi beberapa keping foto bersama bekas bintang Chelsea dan Manchester United itu dengan salah satu daripadanya disertai kapsyen: “El Tigre In The House”.

Ketibaan Falcao adalah satu lagi nama besar yang menyarung jersi juara Liga Super sembilan kali berturut-turut itu sejak ketibaan Pablo Aimar pada 2014.

Usaha JDT membawa masuk Falcao adalah petanda jelas JDT kini bersedia untuk pergi lebih jauh di pertandingan AFC Champions League (ACL) selepas berjaya mara ke pusingan kalah mati di pertandingan tersebut pada musim lalu.

Media Sepanyol, Marca sebelum ini pernah mendedahkan JDT telah menawarkan kontrak selama dua tahun untuk membawa penyerang itu ke Liga Malaysia pada musim ini.

Selain daripada beraksi untuk JDT, Falcao dilaporkan turut akan memainkan peranan sebagai duta kelab selatan tanah air itu untuk mempromosikan profil kelab ke peringkat dunia.

Falcao adalah pemain berprofil tinggi selepas JDT turut pernah menandatangani Pablo Aimar pada 2014. Sebelum ini penyerang berusia 37 tahun itu turut pernah menyarung jersi River Plate, Porto, Monaco, Manchester United, Chelsea, Atlético Madrid, Galatasaray dan Rayo Vallecano.

BACA:  Banter-Banter Manja Terus Hangatkan Suku Akhir Piala Malaysia