[VIDEO]: Gol Arif Aiman Menentang Selangor Persis Jaringan Willian Untuk Chelsea Benam Man City

Baru berusia 21 tahun, Arif Aiman kini sudah pun dianggap sebagai antara peledak utama JDT dan antara penyerang paling berbisa di Liga Malaysia.

Dalam perlawanan separuh akhir Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim pada malam tadi, Arif sekali lagi membuktikan ketajaman penyudahnya di hadapan gawang apabila meledak hatrik untuk membantu skuad kendalian Esteban Solari membenam Selangor 4-0.

Kemenangan besar itu sekaligus melayakkan skuad Harimau Selatan ke perlawanan akhir Piala FA pada musim ini, dan berpeluang mempertahankan kejuaraan di pertandingan tersebut apabila berhadapan KL City FC selepas ini.

Peningkatan prestasi Arif Aiman sejak melakukan debut pertamanya bersama skuad senior JDT pada Februari 2020 sukar untuk dibayangkan.

Daripada seorang pemain sayap yang mempunyai ketepatan hantaran akhir untuk melakukan penyudah, pemain itu kini semakin yakin untuk meletakkan nama dirinya sebagai penjaring.

Maka tidak hairanlah mengapa Arif Aiman dianggap sebagai senjata dan aset utama JDT dan pasukan negara.

Gol persis jaringan Willian

Lebih menarik, gol pertama Arif Aiman dalam perlawanan pada malam tadi dikatakan mirip jaringan yang pernah dihasilkan oleh Willian ketika pemain itu masih bersama Chelsea.

Dalam satu gerakan serangan balas pantas, Arif melakukan larian off-the-ball untuk membenarkan Fernando Forestieri melorongkan bola, menewaskan barisan belakang pertahanan Selangor.

Kepantasan Arif kemudiannya gagal dikekang pemain Selangor sebelum beliau dengan mudah menewaskan penjaga gol Selangor, Khairul Azhan di hadapan gol dengan ketenangannya.

Jika diamati, jaringan tersebut persis jaringan Willian yang pernah dihasilkan pemain itu untuk Chelsea pada 3 Disember 2016 di saingan Premier League.

Chelsea yang ketinggalan oleh gol sendiri Gary Cahill berjaya menyamakan kedudukan melalui Diego Costa pada babak kedua perlawanan.

Seperti gandingan Forestier-Arif, Chelsea kemudiannya mendahului apabila dalam satu serangan balas pantas, Costa berjaya melakukan satu lorongan yang disempurnakan Willian, menewaskan Claudio Bravo di hadapan gawang.

Setara pemain Premier League?

Kehebatan Arif Aiman yang kemudiannya melengkapkan hatrik dengan dua lagi jaringan pada minit ke-30 dan ke-38 kemudiannya mendorong @helze81 menyamakan kualiti dimiliki pemain itu setara dengan pemain yang beraksi di Premier League.

Ini bukan kali pertama Arif dikatakan memiliki kualiti beraksi di luar negara.

Sebelum ini beberapa pencari bakat luar negara termasuk dari Eropah turut menyatakan keyakinan pemain itu mampu beraksi lebih jauh sehingga ke Eropah jika kekal dengan displin diri seperti yang ditampilkannya sekarang.

BACA:  Sarri Akui Chelsea Masih Lagi Bukan Pencabar Utama Liga Perdana Inggeris Walaupun Berjaya Jinakkan Arsenal