Stones Percaya Maguire Sebenarnya Pertahanan Yang Hebat Dan Menakjubkan

Pertahanan Manchester City, John Stones berkongsi bagaimana perasaan beliau mengharungi kempen yang mencabar pada musim ini, selepas beliau cemerlang ketika Euro 2020 yang lalu.

Pemain kebangsaan England itu bergelut untuk mendapatkan minit permainan dalam saingan Premier League pada musim ini, selepas memikul peranan yang cukup penting ketika membantu England mara ke perlawanan akhir saingan Euro 2020.

Beliau pada musim ini tidak mendapat tempat dalam skuad utama dan lebih kerap menjadi pemanas bangku simpanan sahaja.

Stones turut bergelut dengan masalah kecederaan dan turut gagal untuk bersaing untuk merebut tempat dengan Aymeric Laporte dan Ruben Dias.

Beliau turut membuat kemunculan ketika aksi kemenangan 2-0 Manchester City menewaskan setan merah pada minggu lalu, dan ia sepertinya memberi tenaga tambahan kepada bintang England itu.

Beliau tentunya akan menggunakan segala yang ada untuk mengekalkan tahap konsistensi bagi merebut tempat dalam menghabiskan baki saingan musim ini.

Bercakap kepada talkSPORT, Stones mendedahkan alasan sebalik kesukaran beliau pada permulaan musim ini.

“Ia sebenarnya melibatkan banyak perkara sebenarnya. Saya ada mengalami beberapa siri kecederaan pada awal musim, saya baru kembali dan sudah cergas sepenuhnya sekarang.”

“Dan skuad juga bermain dengan sangat baik. Saya perlu bersabar dan menghormati apa yang sudah mereka lakukan.”

“Mereka sudah melakukan yang terbaik dan kadang kala kamu tak boleh ubah skuad yang sudah menang, jadi saya perlu bersabar dan tunggu masa saya tiba nanti.”

“Saya lakukan itu dan saya ada mengharungi beberapa perlawanan yang baik sejak kali terakhir kami berkumpul untuk skuad kebangsaan dan saya gembira dapat kembali ke sini lagi.”

Beliau bukan hanya satu-satunya pemain England yang bergelut untuk mendapatkan tahap persembahan terbaiknya pada musim ini.

Harry Kane, Raheem Sterling dan Jack Grealish sendiri juga turut bergelut untuk mendapatkan tahap persembahan terbaik mereka dari musim lalu untuk di bawa ke musim ini.

Pemenang tiga kali gelaran Premier League itu turut percaya yang rakan sepasukannya akan kembali berjaya untuk mendapatkan tahap persembahan terbaik mereka selepas ini.

“Saya juga tahu yang mereka akan kembali berjuang dan dapatkan semua tahap persembahan terbaik mereka.”

Tambah Stones lagi.

“Semoga tidak lama lagi mereka akan berjaya, saya tidak suka ketika pemain kena hentam kerana tak main dan saya juga sangat faham kekecewaan yang mereka rasakan.”

“Namun, jelas sekali, saya percaya kepada mereka semua, mereka akan kembali lebih hebat dari sebelum ini.”

Stones merupakan nama pertama yang berada dalam senarai skuad pilihan Gareth Southgate pada musim panas lalu, dengan beliau turut terlibat ketika aksi penentuan sepakan penalti bertemu Itali di Wembley.

Rakan pertahanan beliau dalam skuad kebangsaan England yang juga merupakan ketua pasukan Manchester United, Harry Maguire turut sedang berdepan masalah melibatkan prestasi.

Bintang setan merah itu teruk dikecam dan dikritik oleh pelbagai pihak berkait persembahan beliau, dan ramai juga yang mempertikaikan kemampuan beliau untuk terus menjadi ketua pasukan.

Jones walau bagaimanapun percaya yang Harry Maguire akan kembali mendapatkan tahap persembahan terbaiknya selepas ini, dan akan buktikan kepada semua kemampuan sebenar beliau.

“Harry merupakan seorang individu yang sungguh menakjubkan, pertama dan terpenting, dia memiliki karakter yang cukup kuat, jadi saya tak ragu-ragu yang dia akan berikan yang terbaik untuk Manchester United.”

“Saya tidak mahu katakan yang dia tidak bermain dengan baik, kerana saya sebenarnya rasa dia sudah buat banyak benda yang betul, cuma orang sukar memperbesarkan dan melihat dari sudut berbeza.”

“saya bukan nak salahkan sesiapa atau apa-apa saja, tapi dari karakter dan dia sendiri, saya tahu, saya percaya dia akan kembali menjadi pemain yang menakjubkan di bahagian pertahanan dan dia akan kembali tak lama lagi.”

“Dia ada karakter itu dan mentaliti untuk kembali dapatkan persembahan terbaik dan saya percaya dia akan mampu.”

Sumber: talkSPORT

BACA:  Roy Keane Anggap Gareth Southgate Berlebih-lebihan Dalam Mempertahankan Maguire