Ten Hag Boleh Perkasakan Man Utd Dengan Lima Pemain Bintang Yang Sedia Ada

Erik Ten Hag boleh memperkasakan dan membangunkan semula Manchester United dalam proses mengembalikan semula kegemilangan kelab dengan menggunakan lima pemain bintang yang sedia ada dikelab.

Lima pemain ini sudah lama wujud di kelab dan antara mereka majoritinya pemain muda yang sememangnya kena dengan kepakaran Erik Ten Hag membangunkan pemain muda mengikut falsafahnya seperti di Ajax.

Erik Ten Hag memulakan kerja lebih awal bersama Manchester United dan menamatkan kontraknya dengan Ajax sejurus selepas tamat liga Belanda.

Banyak kerja perlu dilakukan Ten Hag bagi merealisasikan projek besarnya dengan melepaskan pemain yang sedia ada dan juga mendapatkan pemain yang diingini.

Setakat ini Lee Grant, Nemanja Matic, Juan Matan dan Edison Cavani terlebih awal meninggalkan Setan Merah dan yang terbaru Paul Pogba dan Jesse Lingard yang bersama kelab sejak kecil menyusul.

Sementara itu Aaron Wan Bissaka, Phil Jones, Eric Bailly dan Anthony Martial yang masih mampu menjana keuntungan antara pemain sedia untuk dijual jika mendapat tawaran dari mana-mana kelab.

Manchester United dilaporkan memburu ramai pemain dan sudah pasti pemain yang berkualiti tinggi ini menjadi rebutan pasukan yang lain dan Setan Merah agak kurang menarik kerana bakal beraksi di Europa League sahaja.

Namun Erik Ten Hag boleh membina pasukan dengan pemain yang sedia ada dan hampir dilupakan kewujudan mereka di kelab sebagai perancangan awal. Berikut lima pemain tersebut:

1. Donny van de Beek

Pemain yang mempunyai pertalian paling rapat dan memahami falsafah serta kemahuan Erik Ten Hag dalam perlawanan sudah pasti tidak lain dan tidak bukan Donny van de Beek.

Donny van de Beek merupakan pemain yang diasuh dari air tangan Erik Ten Hag sendiri ketika di Ajax dengan melakukan 175 penampilan dan menjaringkan 45 gol ketika di bawah Ten Hag.

Ketika van de Beek dirembat Manchester United, Ten Hag telah berkata:

“Donny telah menjadi bintang mutlak untuk kami. Dia telah berkembang menjadi pemain tengah moden, dengan kedalaman, gol dan peralihan yang kuat di padang.”

Segalanya tidak menjadi buat Van de Beek di Old Trafford dan tidak menjadi pilihan Ole Gunnar Solskjaer dengan diperam di bangku simpanan.

Ketika zaman pendek pengurus interim, Ralf Rangnick, Van de Beek tidak diperlukan kerana fizikal yang dianggap lembik lalu dipinjamkan ke Everton untuk minit permainan.

Donny van de Beek kini kembali dari pinjaman dan kehadiran Ten Hag mungkin boleh menjadi pembuka jalan untuk van de Beek kembali mendapatkan sentuhannya.

2. Amad Diallo

Amad Diallo pemain muda dan prospek masa depan bola sepak telah dipancing Manchester United dari Atalanta dengan harga £19 juta dengan tambahan £18.2 juta pada tahun 2021 dan telah membantu Setan Merah mara ke final Europa League.

Di usia 19 tahun Amad Diallo telah dipanggil untuk memperkuatkan pasukan kebangsaan Ivory Coast dan telah menjaringkan satu sepakan percuma cantik untuk gol kemenangan.

Jaringan tandukan tanpa lihat dengan membelakangi gol lawan ketika menentang AC Milan di Europa League antara detik diingati dari Amad Diallo yang masih berjuang mendapatkan tempat.

Pada pertengahan musim lalu, Amad Diallo telah dipinjamkan ke kelab Scotland, Rangers tanpa sebarang syarat pembelian tetap dana terus mempamerkan impak dalam debut dengan satu jaringan ketika membantu Ranger mengikat Ross County 3-3.

Walau di mana saja Amad Diallo beraksi samada bersama Ivory Coast, Atalanta, Rangers dan juga Manchester United, impak segera mampu ditunjukkan Diallo.

Jika Ten Hag mampu mengasuh dan membentuk Diallo dengan baik pasti Diallo akan mencapai potensinya lantaran usianya masih mentah.

3. Hannibal Mejbri

Seorang lagi pemain muda berusia 19 tahun, Hannibal Mejbri telah diberikan 12 kali penampilan oleh pasukan kebangsaan Tunisia dan menikmati minit versama pasukan utama dalam perlawanan terakhir Ralf Rangnick di United.

Seorang pemain tengah yang agresif yang sentiasa mengintai peluang gol, Hanibal Mejbri diberi harapan yang tinggi di Old Trafford dan beberapa penyingkiran pemain di bahagian tengah di United mungkin membolehkan Hannibal memainkan peranan yang lebih besar dalam perancangan Ten Hag.

Namun Ralf Rangnick tidak gembira dengan aksi 6 minit Hannibal Mejbri ketika diturunkan menggantikan Anthony Elanga ketika dimalukan Liverpool.

Aksi agresif Hannibal dengan corak permainan yang beliau tunjukkan itu agak keras dan berpotensi untuk mengundang layangan kad merah andai beliau konsisten mempamerkan corak persembahan yang sama.

Walaupun Ralf Rangnick tak gembira dengan apa yang dipersembahkan oleh Hannibal Mejbri, namun legenda kelab, Gary Neville sebenarnya telah menghamburkan pujian menggunung kepada produk akademi kelab itu.

Gary Neville memuji semangat dan kekentalan ditunjukkan Hannibal apatah lagi ketika menentang Liverpool. Di usia masih muda Hannibal masih boleh dibentuk untuk bermain secara agresif dengan lebih bijak.

4. Andreas Pereira

Selepas gagal mendapatkan minit permainan di Manchester United sejak ketibaan Bruno Fernandes, Andreas Pereira telah dipinjamkan ke kelab tanah tumpah darahnya, Flamengo.

Menurut Andreas Pereira beliau boleh beraksi sebagai pemain nombor 8 atau nombor 10 serta bermain di sayap kanan.

Ketika itu jika dilihat kepada kedudukannya sebagai pemain tengah, Andreas Pereira berada dipilihan keempat dibelakang Paul Pogba, Jesse Lingard dan Juan mata.

Kini Andreas Pereira telah kembali selepas menjadi pemain regular bersama Flamengo dan Ten Hag juga telah mengesan bahawa Andreas Pereira adalah pemain yang memenuhi ciri-ciri yang dimahukannya.

Andreas Pereira kini sudah berusia 26 tahun dan sudah memasuki usia puncak bagi kebanyakkan pemain bola sepak dan berpeluang membuktikan beliau mampu menjadi David Beckham baharu.

Pada pra-musim 2019/20, Andreas Pereira berkata beliau sudah bersedia untuk menjadi David Beckham baharu di Manchester United dan kini peluangnya kembali terbuka.

5. James Garner

James Garner pemain yang mungkin ramai tidak sedar akan kewujudannya dan tidak menyangka pemain ini masih wujud kerana dua musim telah dipinjamkan ke kelab luar.

James Garner telah membuat tujuh penampilan bersama pasukan utama untuk United – lebih separuh daripadanya datang dalam perlawanan Liga Europa pada 2019/20 dan Garner boleh digunakan dalam kejohanan sama musim ini.

Pada Spetember 2020, James Garner telah dipinjamkan ke Watford untuk jangka masa panjang dan kehilangan tempat dalam pasukan utama kerana pertukaran jurulatih dan menamatkan pinjaman pada januari 2021.

Pada januari 2021 juga, James Garner telah menyertai gergasi Eropah yang sudah lama tertidur, Nottingham Forest dan kembali ke United untuk latihan pra musim sebelum kembali ke Forest.

James Garner memainkan peranan penting dan membantu Forest menempa sejarah kembali ke Premier League bagi musim 22/23 sebelpas memenangi perlawanan play-off.

Erik Ten Hag akan menilai Garner di latihan pra-musim ini samada beliau bersedia untuk berada dalam pasukan utama atau akan dipinjamkan lagi.

BACA:  Rakaman Aksi Meyakinkan Van De Beek vs Aston Villa