Ten Hag Sebenarnya Berasal Dari Latar Belakang Keluarga Yang Kaya-Raya

Pengurus terbaru Manchester United, Erik Ten Hag tidak lama lagi bakal menjadi pengurus Belanda yang menerima gaji tertinggi dalam saingan Premier League.

Walau bagaimanapun, pengurus berusia 52 tahun itu sebenarnya tak perlu bekerja untuk menjadi kaya kerana beliau datang dari keluarga yang kaya raya.

Manchester United telah mengumumkan secara rasmi perlantikkan Erik Ten Hag sebagai pengurus baharu kelab.

Pengurus Ajax itu akan mengendalikan skuad setan merah untuk tempoh selama tiga tahun dengan pilihan penambahan setahun lagi seandainya diperlukan.

Ten Hag bakal menjadi pengurus Belanda kesembilan yang akan mengendalikan skuad dari saingan Premier League.

Bersama Manchester United, beliau akan menerima gaji yang lumayan bernilai £3.3 juta setahun dan ia merupakan jumlah yang sama diterima oleh Louis Van Gaal ketika kariernya di Old Trafford sebelum ini.

Ia sebenarnya kadar gaji yang sangat tinggi untuk pengurus Ajax itu dan ramai yang berfikir kehidupan beliau akan berubah selepas mendapat tawaran yang luar biasa mewah itu.

Walau bagaimanapun, Ten Hag sendiri sebenarnya tak perlu kerja pun dah kenyang tujuh keturunan dek kerana latar belakang keluarganya yang kaya raya.

Keluarga beliau merupakan antara golongan paling kaya di Belanda dengan sumber utama mereka adalah dari real estate.

Ayahnya, Hennie membangunkan syarikat tersebut sejak 1967 lagi dan pada hari ini, abang beliau, Rico dan Michel mengambil alih usaha tersebut.

Abang beliau sepertinya antara yang memegang amanah paling besar selepas ayahnya bersara dari dunia perniagaan mereka itu.

Hennie sendiri sebenarnya mahu Ten Hag untuk terlibat dengan perniagaan beliau, namun pengurus yang baru bersetuju untuk sertai Manchester United itu lebih memilih untuk sertai dunia bola sepak.

Beliau pernah beraksi bersama FC Twente sebanyak tiga kali sepanjang kariernya, beliau juga pernah beraksi bersama De Graafschap, RKC Waalwijk dan FC Utrecht sebelum memutuskan untuk bersara di usia 32 tahun.

Tugas pertama beliau dalam dunia pengurusan adalah ketika beliau mengendalikan Go Ahead Eagles dan pada masa sama beliau turut bertugas sebagai pembantu jurulatih Bayern Munich.

Nama beliau mula naik selepas beliau menyertai Ajax dan berjaya membawa gergasi Belanda itu untuk memenangi dua gelaran Eredivisie dan dua KNVB Cups.

Beliau juga turut cemerlang membawa Ajax untuk beraksi di pentas separuh akhir saingan Champions League yang mana mereka ketika itu cemerlang menyingkirkan Real Madrid dan Juventus untuk bertemu Tottenham Hotspur di peringkat empat terbaik.

Ten Hag diumumkan secara rasmi sebagai pengurus Manchester United

Manchester United melalui laman sesawang rasminya telah mengumumkan bahawa Erik Ten Hag telah sah menjadi pengurus baharu mereka dalam misi membangunkan semula kelab.

Erik ten Hag telah diberikan kontrak selama tiga tahun yang bermula Jun 2022 sehingga jun 2025 dengan pilihan lanjutan kontrak untuk tahun mendatang.

Dalam kenyataan rasmi itu, Manchester United mengumumkan:

“Manchester United dengan sukacitanya mengumumkan pelantikan Erik ten Hag sebagai Pengurus Pasukan Utama Lelaki, tertakluk kepada keperluan visa kerja, dari penghujung musim ini hingga Jun 2025, dengan pilihan untuk melanjutkan satu tahun lagi.”

Pengarah bola sepak Setan Merah. John Murtough telah memuji Ten Hag yang telah diskodeng kehebatannya sejak beberapa musim lalu:

“Sepanjang empat tahun lalu di Ajax, Erik telah membuktikan dirinya sebagai salah seorang jurulatih yang paling menarik dan berjaya di Eropah, terkenal dengan daya tarikan pasukannya, bola sepak menyerang dan komitmen kepada pemain remaja.”

“Dalam perbualan kami dengan Erik sebelum pelantikan ini, kami sangat kagum dengan visi jangka panjangnya untuk mengembalikan Manchester United ke tahap yang kami mahu saingi, pemacu dan keazamannya untuk mencapai itu.

“Kami mengucapkan selamat maju jaya kepada Erik kerana dia memberi tumpuan untuk mencapai kejayaan akhir musim di Ajax dan tidak sabar untuk mengalu-alukannya ke Manchester United pada musim panas ini.”

Erik Ten Hag juga telah menzahirkan rasa teruja dengan perlantikan ini yang mana bakal menguji tahap karier pengurusannya ke tahap lebih tinggi yang lebih banyak kepada politik:

“Adalah satu penghormatan untuk dilantik sebagai pengurus Manchester United dan saya amat teruja dengan cabaran yang akan datang. Saya tahu sejarah kelab hebat ini dan semangat peminat, dan saya benar-benar berazam untuk membangunkan pasukan yang mampu memberikan kejayaan yang sepatutnya.”

“Adalah sukar untuk meninggalkan Ajax selepas tahun-tahun yang luar biasa ini, dan saya boleh memberi jaminan kepada peminat kami tentang komitmen penuh saya dan fokus untuk membawa musim ini ke kesimpulan yang berjaya sebelum saya berpindah ke Manchester United.”

Sumber: SPORTbible

BACA:  "Here We Go" - Ten Hag Akhirnya Berjaya Dapatkan Onana