Penyerang muda Borussia Dortmund, Erling Haaland, semakin hari semakin menjadi-jadi prestasinya di atas padang sekaligus menarik minat kelab-kelab besar di Eropah untuk mendapatkan tandatangannya pada musim hadapan.
Setakat ini, kelab-kelab seperti adik-beradik Manchester, City dan United, Barcelona dan juga Real Madrid dikhabarkan sedang merencana gerakan bawah tanah dalam usaha untuk mendapatkan pemain yang sangat tajam di hadapan gol ini.
Walaupun dia sering menjadi perhatian ramai, Haaland boleh dianggap sebagai seorang yang masih rendah diri dan tidak angkuh, termasuklah ketika ditanya siapakah pemain terbaik dunia pilihannya oleh ESPN.
“Kau kena setuju yang Robert Lewandowski adalah pemain di tempat pertama, lepas tu bagi aku kau ada Karim Benzema, dia pun mantap juga tapi Lionel Messi pun padu.
“Jadi Benzema dan Messi kongsi tempat kedua dan ketiga.”
Erling Haaland names his top three players of 2021 💪 pic.twitter.com/hgEZPlgZNO
— ESPN FC (@ESPNFC) January 26, 2022
Bagi yang belum tahu, Lewandowski dan Messi masing-masing baru sahaja memenangi anugerah individu terbaik dalam tempoh beberapa bulan ini. Messi memenangi Ballon d’Or buat kali ketujuh dalam rekod peribadinya pada penghujung tahun lalu walaupun ramai yang berpendapat pada waktu itu Lewandowski lebih layak.
Penyerang Bayern Munich tersebut terlepas anugerah yang diberikan oleh majalah bola sepak Perancis, France Football, pada tahun 2020 kerana penangan Covid 19 dan ketika berucap selepas menerima anugerah yang sama untuk edisi 2021, Messi mengakui bahawa Lewandowski patut menang pada tahun sebelumnya.
It is a great honor and pleasure to receive the title of FIFA The Best Men's Player 🏆
Thank you for your votes and your support 🙏#TheBest @FIFAWorldCup @FIFAcom pic.twitter.com/GdLwawCNK8
— Robert Lewandowski (@lewy_official) January 17, 2022
Lewandowsi bagaimanapun telah berjaya memenangi undian sebagai pemain terbaik tahunan FIFA dua tahun berturut-turut, sekaligus menewaskan Messi dan juga penyerang yang semakin meningkat naik, Mohamed Salah, pada bulan Januari 2022.
Ketiadaan Salah dalam senarai pilihan Haaland ini mungkin agak mengejutkan sesetengah pihak, tambahan pula penyokong kelab yang diwakili Salah memang cukup pantang kalau pemain terbaik mereka ini tidak mendapat pengiktirafan yang sewajarnya, tetapi Benzema yang menjadi pilihan penyerang Norway ini tidak kurang hebatnya sepanjang tahun lalu.
Ramai yang mensasarkan penyerang Perancis itu untuk memenangi Ballon d’Or sebelum dipintas oleh Messi.
Haaland, baru-baru ini telah meluahkan perasaannya di mana dia mendakwa telah ditekan oleh kelab untuk menurunkan tandatangan untuk kontrak baru, dengan sasaran Dortmund akan mendapat laba yang lebih banyak sekiranya Haaland dijual nanti.
Pada hari Rabu lalu, Haaland memberitahu bahawa dia sudah bersedia untuk berpindah.
“Aku tak nak cakap banyak sangat tentang perkara ni [dipaksa tangatangan kontrak baru], tapi aku rasa dah tiba masanya untuk aku cakap sesuatu,” ujarnya kepada Viaplay.
“Ramai orang yang duk bercakap – jadi, sudah cukup sudah! Sekarang ni aku tak nak cakap banyak. Aku cakap apa yang aku perlu cakap dan sekarang ni kita buat benda lain pula.”
Dengan jendela perpindahan musim panas bakal menjelma dalam tempoh tidak sampai enam bulan lagi, tidak mustahil kita akan menyaksikan penyerang Norway ini akan berpindah keluar dari Bundesliga dan menyertai kelab yang mampu menawarkan lebih cabaran dan juga pendapatan yang tinggi buat pemain ini.
Bukanlah satu perkara yang mengejutkan jika perpindahan pemain ini akan mencipta satu rekod perpindahan termahal di dunia yang baharu!
Pun begitu, pada musim panas tahun lalu, ketika tersebar khabar angin yang mengatakan Chelsea ingin membelinya pada harga €175 juta , Haaland menganggap nilai tersebut terlalu tinggi bagi seorang manusia.
“Jadi kamu dah dapat jawapan dia. Aku harap semua ini hanya khabar angin, kerana ia melibatkan duit yang terlalu banyak untuk seorang manusia,” ujarnya kepada Sky Sports.
Erling Haaland to @SkySportDE about Chelsea bid rumours: “Before yesterday I haven't talked to my agent in a month… you’ve to tell me. But I hope they are just rumors, as €175 million would be a lot of money for one person”. 🔵 #CFC #BVB
— Fabrizio Romano (@FabrizioRomano) July 27, 2021
“Apa yang paling penting sekali, aku masih ada baki tiga tahun dalam kontrak aku [bersama Borussia Dortmund].”
“Aku menikmati masa aku di sini. Tapi sudah tentu piala juga penting kerana itu memang aku punya sasaran.”
Untuk rekod, Haaland setakat ini telah berjaya menjaringkan 56 gol dalam 60 perlawanan buat Borussia Dortmund sejak menyertai kelab tersebut pada musim 2019-20, serta melakukan 23 bantuan gol.
Musim ini memperlihatkan Haaland semakin tajam dalam memecah jaring pasukan lawan di mana dia menjaringkan 16 gol dalam 14 perlawanan, bersamaan dengan nisbah 1.14 gol dalam setiap perlawanan, di samping 10 kali melakukan bantuan gol untuk rakan sepasukan.
Sesiapa sahaja yang berjaya mendapatkan Haaland pada musim hadapan, besar kemungkinan kelab tersebut bakal menjuarai liga domestik dan juga pentas Eropah.
Sumber :
1- Sportbible
2- Tranfermarkt