Kesebelasan Terbaik EPL Setakat Separuh Musim 2022/2023

Ketika Liga Premier Inggeris kembali bersambung setelah berehat untuk memberi laluan kepada Piala Dunia Qatar, ayuh kita imbas kembali senarai pemain yang beraksi cemerlang dan memberikan impak besar kepada pasukan masing-masing.

Sebagaimana setiap musim, liga Premier Inggeris sentiasa disajikan dengan kejutan, seperti pada musim kali ini, siapa sangka pasukan yang sinonim dengan kalimah lemah dan lembik iaitu Arsenal mengungguli carta liga dengan lima mata diahapan pencabar terdekat, Manchester City.

Musim ini juga menyaksikan ramai pendatang baharu liga Premier Inggeris yang beraksi cemerlang pada separuh musim pertama, disamping aksi konsisten pemain lama yang memberikan impak yang segar saling tak tumpah seperti pendatang baharu.

Antara kesebelasan yang berimpak padu setakat ini adalah…

Penjaga Gawang: Nick Pope (Newcastle)

Newcastle United mengambil inisiatif untuk menggantikan Martin Dubravka yang beraksi cemerlang pada musim 2021/2022 dengan mengganti Nick Pope sebagai penjaga gawang baharu pasukan tersebut.

Kejatuhan pasukan Burnley ke liga bawahan memberikan peluang keemasan kepada Newcastle United untuk menandatangani antara penjaga gawang yang mempunyai rekod cemerlang di EPL iaitu Nick Pope dengan harga yang agak murah berbanding kualiti yang ada pada beliau.

Yuran perpindahan £10 million boleh dikatakan pembelian yang sangat berbaloi oleh Magpies , apabila penjaga gawang tersebut telah memberikan aksi penjimatan yang padu di benteng akhir pasukan tersebut.

Pertahanan Kanan: Kieran Trippier (Newcastle)

Salah satu lagi perbelanjaan bijak yang dilakukan oleh Newcastle, apabila menandatangi pemain pertahanan kanan Kieran Trippier. Pertahanan kanan telah mempamerkan aksi pada tahap terbaik setelah kembali dari kecederaan tulang kaki yang menyaksikan beliau terlepas beberapa aksi kempen pada musim lepas, dengan menjaringkan gol dan mencipta gerakan bantuan gol pada kadar yang mengagumkan buat seorang pertahanan.

Selain dari aksi hebat sebagai pemain individu, pengalaman yang luas dan sikap kepimpinan yang ada pada pemain ini juga banyak membantu pasukan Newcastle mencapai hasil yang memberangsangkan pada musim ini. Hasil dari kepimpinan yang hebat di atas padang atau di bilik persalinan, Kieran Trippier telah dinamakan salah seorang kapten bayangan jika tiada kelibat  Jamaal Lascelles.

Pertahanan Tengah: William Saliba (Arsenal)

Peminat Arsenal telah lama menantikan pemain seperti William Saliba untuk menyarung jersi pasukan tersebut. Dah lama sangat Arsenal ketandusan pemain yang mempunyai kualiti seperti William Saliba. Kredit wajar diberikan pengurus Arsenal, Mikel Arteta kerana berjaya meyakinkan pemain hebat untuk bermain dengan kelab ber-identiti lemah dan lembik seperti Arsenal.

Tidak keterlaluan untuk diperkatakan, pemain Perancis tersebut adalah pemain pertahanan terbaik liga Premier Inggeris setakat ini, dengan kebolehan membaca perlawanan yang boleh dikatakan hampir sempurna walaupun masih berusia mentah.

Di samping aksi bertahan yang kental, William Saliba juga menyumbang menjaringkan gol ketika Arsenal bertemu Brentford dan Bournemouth.

Pada usia baru 21 tahun, masih banyak potensi yang boleh dicungkil pemain ini. Mungkin boleh dijadikan pasukan Arsenal ini sebagai batu loncatan untuk berpindah karier kepada kelab yang lebih besar dan boleh memenangi piala disamping boleh bermain bunga api.

Pertahanan Tengah: Lisandro Martinez (Manchester United)

Lisandro Martinez hanya baru beraksi beberapa bulan di liga Premier Inggeris, namum boleh dikatakan kebolehan beliau beradaptasi dengan rentak dan tempo permainan liga terkenal permainan pantas cukup mengagumkan.

Selepas debut yang kucar kacir ketika menentang Brighton, pemain ini menjadi subjek perbualan pengulas sukan, dengan Jamie Carragher yang juga bekas pemain dari pasukan seteru utama, Liverpool paling lantang mengkritik Lisandro Martinez dengan mengatakan fizikal tak cukup inci pemain tersebut akan membuatkan beliau gagal beraksi di liga yang memerlukan kekuatan fizikal.

Pemain yang digelar ‘The Butcher’ tidak mengambil kata nista penuh negatif para pengkritik, tetapi berusaha keras memperbaiki corak permainan sehingga menjadi salah satu jantung hari limpa paru paru pertahanan Manchester United pada musim ini.

Menariknya, selain dari perlu bermain bertahan dari ancaman lawan, Lisandro Matinez juga perlu bertahan dari ancaman gol sendiri oleh penyerang sensasi Manchester United, Harry Maguire.

Pertahanan Kiri: Joao Cancelo (Manchester City)

Joao Cancelo terus meletakkan penanda aras baharu buat seorang pertahanan kiri apabila beraksi cemerlang pada musim ini.

Antara komponen penting dalam jentera Pep Guardiola pada musim ini yang terkenal dengan permainan penguasaan bola, ruang yang dikuasai oleh pertahanan kiri ini membuatkan beliau menjadi igauan ngeri buat pasukan lawan.

Selain teknik yang dipamerkan pemain ini dalam aksi menyerang dan penguasaan bola, pemain ini juga adalah seorang pertahanan yang mampan. Statistik beliau pada setakat ini telah menyaksikan beliau melakukan terjahan berjaya dan bersih dengan rekod hampir 70 peratus setakat ini.

Pemain Tengah: Kevin De Bruyne (Manchester City)

Pemain dengan skill hantaran terbaik di dunia. Tak keterlaluan juga diperkatakan jika pemain ini layak disenaraikan sebagai kesebelasan utama Liga Premier Inggeris terbaik sepanjang zaman.

Tambahan lagi dengan kehadiran penyerang sensasi Norway, Erling Haaland menambahkan lagi rencah dalam corak permainan Kevin De Bryune. Makin mudah kerja Kevin De Bruyne musim ni, hantar je bola ke arah gol lawan, Erling Haaland pasti akan terjemahkan kepada gol. Kredit tambahan jika bertemu Manchester United, makin mudah jadinya dengan kehadiran Harry Maguire.

Pemain Tengah: James Maddison (Leicester City)

Walaupun Leicester City melakukan permulaan kelakar ketika bermula loga pada musim kali ini, ini adalah satu keajaiban yang mana menyaksikan pemain ini mendapat panggilan ke piala dunia.

James Maddison melakukan empat sumbangan kepada gol dalam enam aksi pertama liga Premier Inggeris tetapi gagal membantu Leicester City memenangi sebarang perlawanan pastinya mengecewakan pemain ini.

Rentetan dari permulaan kelakar, pemain ini menjadi tunjang kebangkitan Leicester City dengan Nottingham Forest menjadi mangsa pertama dibelasah 4-0.

Dua gol dijaringkan James Maddison, termasuk sepakan percuma yang sempurna ketika aksi bertemu Nottingham Forest sudah cukup untuk membuka mata pengendali pasukan England, Gareth Pintu Pagar Selatan untuk menyenaraikan pemain ini kedalam skuad kendalian beliau.

Sayap Kanan: Miguel Almiron (Newcastle United)

Sejujurnya, tak ada siapa sangka bukan?

Semenjak Jack Grealish menuturkan kata penuh keaiban yang menggambarkan permainan beliau seperti tahi, pemain ini dilihat seperti mengalami kelahiran semula dengan gaya permainan yang berbeza.

Lapan gol dari 15 perlawanan, tiada siapa mampu mengugat kedudukan beliau sebagai yang terbaik di Liga Premier Inggeris, pada posisi beliau, setakat ini.

Sayap Kiri: Gabriel Martinelli (Arsenal)

Kehadiran Gabriel Martinelli adalah umpama satu rahmat kepada pasukan Arsenal, kendalian Makel Arteta. Hanya diharapkan untuk menjadi pengganti sementara ketika skuad dilanda krisis kecederaan, tetapi Gabriel Martinelli memanfaatkan peluang yang diperolehi dengan mempamerkan aksi terbaik.

Pemain antarabangsa Brazil ini telah menjadi salah satu tonggak penting dalam revolusi bola sepak yang dilakukan oleh Mikel Arteta. Nak ubah mentaliti lemah dan lembik kepada mentaliti juara bukan kerja senang.

Megumbang gol dalam dua aksi pertama Arsenal, Gabriel Martinelli scara konsisten telah mempamerkan aksi terbaik dari ladang pada kempen kali ini, yang paling diingati pada ketika ini adalah ketika menjaringkan gol kemenangan keatas pasukan Liverpool.

Penyerang: Harry Kane (Totenham)

Musim sensasi penuh dengan gol diteruskan oleh Harry Kane pada musim ini, dengan penyudah berbisa penyerang ini acap kali membantu skuad kendalian Antonio Conte mengutip 3 mata.

Dengan Son Heung Min yang dilihat bergelut dengan prestasi pada musim ini, Harry Kane dilihat berjaya mengemudi jentera serangan Totenham dengan baik pada musim ini.

Jika berjaya menamatkan liga pada kedudukan empat teratas sudah lebih dari cukup buat Totenham kerana sasaran untuk layak ke Liga Juara Juara lebih realistik berbanding memenangi liga.

Penyerang: Erling Haaland (Manchester City)

Tak perlu diperkatakan lagi, penyerang ini adalah pembelian paling sensasi pada musim ini. Prestasi beliau mendefinasikan kasta baharu untuk seorang penyerang.

Jika diteruskan pretasi jaringan gol semasa, Erling Haaland berada dalam landasan yang tepat untuk menamatkan musim dengan 50 jaringan satu musim. Rekod yang gila jika berjaya dicapai.

Pakej cukup lengkap antara larian laju dan sepakan kencang, beliau menjadi igauan mimpi ngeri buat tiap pertahanan, ditambah pula dengan servis terbaik yang beliau terima oleh rakan sepasukan.

Setakat separuh musim pertama, ini adalah kesebelasan terbaik setakat ini pada posisi masing-masing. Namum, kejutan boleh berlaku dan mungkin akan ada pemain lain yang jauh lebih menyerlah. Contoh yang paling gila, mungkin Darwin Nunez akan memenangi kasut emas mengalahkan Erling Haaland. Kelakar bukan kalau betul betul berlaku.

Apa-pun diharapkan pemain ini mampu menyajikan yang terbaik buat para bookie dan peminat bola sepak. Ayuh saksikan liga dah kembali bermula.

BACA:  Jurgen Klopp Jelaskan Kenapa Haaland Sangat Cocok Dengan City