Trio Brazilian Liverpool Tak Gembira Dengan Keputusan Brazil Menggantung Pemain

Trio Brazilian yang beraksi bersama Liverpool pada ketika ini, merasa tak gembira dengan keputusan persatuan bola sepak Brazil yang menggantung para pemain.

Walaupun perselisihan faham antara kelab dan negara sudah sering berlaku sejak beberapa tahun sebelum ini, ia dilihat menjadi semakin parah ketika zaman pandemik ini.

Pandemik yang melanda seluruh dunia pada ketika ini telah menyebabkan pergerakan sesiapa saja terbatas dan semua orang terikat dengan pelbagai peraturan baru.

Hal itu menyebabkan masalah antara kelab dan negara menjadi semakin parah dan berada di tahap yang membimbangkan pada ketika ini.

Hakikatnya, satu hal yang perlu diamalkan oleh semua orang pada ketika ini adalah toleransi dan tolak ansur sesama untuk menjalani kehidupan norma baharu ini.

Setiap negara masih membenarkan para pemain mereka untuk berkelana ke seluruh pelusuk dunia dan beraksi bersama pasukan masing-masing walau wabak pandemik teruk melanda, dan dengan pelbagai protokol baru dari pelbagai negara.

Walau bagaimanapun juga, baru-baru ini Premier League telah memutuskan untuk menghalang para pemain dari negara zon yang disenaraikan dalam senarai zon merah, untuk tidak pulang ke negara masing-masing.

Ia bertujuan untuk memastikan para pemain tidak perlu menjalani sesi kuarantin wajib yang boleh mengganggu jadual perlawanan mereka.

Hal itu walau bagaimanapun tidak disenangi oleh Brazil, Mexico dan Paraguay yang telah menjatuhkan hukuman gantung lima hari untuk para pemain mereka yang beraksi dalam saingan Premier League.

Hukuman tersebut dikenakan ke atas pemain yang masih kekal bersama kelab masing-masing walau mereka sudah dipanggil untuk sertai skuad kebangsaan dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022.

Hukuman penggantungan tersebut bakal memperlihatkan para pemain bakal terlepas untuk beraksi dari 10-14 September dengan Liverpool antara pasukan yang paling terkesan.

Pemain seperti Fabinho, Alisson Becker dan Roberto Firmino akan terlepas untuk diturunkan dalam aksi bertemu Leeds United pada hujung minggu ini.

Sementara lawan The Reds, Leeds United turut bakal kehilangan pemain sayap mereka, Raphinha atas alasan yang sama.

Namun begitu, Sky Sports baru-baru ini telah mengeluarkan kenyataan yang trio Brazilian yang beraksi bersama Liverpool, tidak percaya mereka boleh disekat, dan tidak tahu Brazil ada hak untuk menggantung pemain.

Mereka berfikir begitu kerana memikirkan situasi pada ketika ini, dengan seluruh dunia sedang berdepan wabak pandemik, maka hukuman seperti itu tidak sepatutnya dilakukan.

Setakat ini, keputusan dari badan induk bola sepak negara-negara tersebut masih sama, namun kelab-kelab terlibat sedang berusaha untuk memohon agar sekatan itu dibatalkan.

Dengan masih ada rehat antarabangsa pada Oktober dan November nanti, negara-negara yang terlibat seharusnya bertolak ansur agar urusan pemain dipermudahkan.

Dari kesemua pemain Amerika Selatan yang dihukum, hanya Richarlison seorang sahaja yang dilepaskan atas alasan hubungan baik kelabnya dengan persatuan bola sepak Brazil.

Jika Richarlison boleh, mengapa tidak kedua-dua pihak berunding dengan baik dan selesaikan masalah ini secepatnya agar para pemain tidak tersepit dan menjadi mangsa keadaan.

Sumber: GMS

BACA:  Firmino Gelar Ramos Dengan Panggilan Bodoh Berikutan Komen Terhadap Salah