Tutup Mulut Pengkritik! – Harry Maguire Jaringkan Gol Bersejarah Untuk Man Utd Ketika Aksi Bertemu Leeds

Tidak keterlaluan untuk menganggap yang Harry Maguire merupakan antara pemain yang paling teruk dihentam oleh para peminat setiap minggu.

Ketika United berdepan kekalahan atau hanya mampu mencatatkan keputusan seri, Maguire sudah tentu menjadi sasaran para peminat.

Apa saja yang beliau lakukan sudah tentu akan menimbulkan kemarahan peminat dan menyebabkan beliau teruk diganggu dengan caci maki ramai di laman media sosial miliknya.

Namun adakah hal itu benar-benar mengganggu Maguire?

Harus diakui ketua pasukan Manchester United itu sememangnya memiliki mental yang cukup kuat dengan beliau tetap berusaha memberikan yang terbaik walau dirinya sering dihentam.

Ketika aksi bertemu Leeds United malam semalam, Harry Maguire berjaya menutup mulut para pengkritiknya dengan meledak gol pendahuluan skuad setan merah.

Beliau berjaya memenangi bola hantaran dari Luke Shaw menerusi sudut sepakan penjuru, dengan Maguire menanduk padu bola tersebut menewaskan Meslier.

Ia merupakan gol pertama Manchester United menerusi sepakan penjuru sepanjang musim ini selepas 140 percubaan.

Ketika ramai yang menganggap Man Utd terlalu lemah dalam situasi set piece, lihat siapa yang tampil dan membuktikan dakwaan tersebut salah?

Gagal sekali tak bermaksud gagal selamanya, walau sudah 140 kali mencuba, tak bermaksud perlu berhenti, itulah apa yang dilakukan oleh Man United, dengan mereka akhirnya berjaya juga menjaringkan gol menerusi sepakan penjuru.

139 kali percubaan berakhir dengan kegagalan sebelum ini, dan percubaan ke-140 berjaya disudahi dengan gol oleh ketua pasukan mereka, Harry Maguire.

Kali terakhir Maguire menjaringkan gol dari sudut sepakan penjuru untuk Man Utd adalah ketika aksi bertemu Sheffield United di Old Trafford pada Januari 2021 yang lalu.

Harry Maguire turut mencatatkan statistik yang sungguh menakjubkan ketika aksi bertemu Leeds United, dan tidak keterlaluan untuk menganggap beliau antara pemain terbaik dalam perlawanan tersebut selain Jadon Sancho dan Bruno Fernandes.

Maguire memenangi kesemua perebutan bola di udara dalam perlawanan tersebut, memenangi semua tackle, memenangi semua perebutan bola, melakukan 36 sentuhan, melakukan empat hantaran jauh sempurna, melakukan 2 ball recoveries dan menjaringkan satu gol.

Tidak ada sesiapa yang boleh mempertikaikan kemampuan sebenar Harry Maguire dan beliau telah membuktikannya dalam perlawanan bertemu Leeds United semalam.

Bercakap tentang kejayaan beliau menjadi pemain pertama menjaringkan gol menerusi sudut sepakan penjuru, Maguire mendedahkan bahawa:

“Saya malu dengan statistik, hampir 140 sepakan penjuru tanpa sebarang gol. Saya sebahagian besar dari yang terlibat dengan rutin set play tapi sebagai satu pasukan kami memang langsung tak cukup bagus.”

Jelas Harry Maguire kepada Sky Sports.

“Jika kami menjaringkan lebih banyak gol dari set pieces, kami akan berada di kedudukan yang lebih baik dalam carta liga.”

Selepas Harry Maguire meledak gol menerusi sundulan padu itu, Manchester United berjaya menggandakan kedudukan menerusi Bruno Fernandes.

Bintang Portugal itu cemerlang menanduk masuk bola hantaran dari Jadon Sancho untuk meletakkan Man Utd dua gol dihadapan.

Pada minit ke-53 permainan, Leeds United berjaya menjaringkan gol pertama mereka menerusi Rodrigo yang melepaskan rembatan dari jauh untuk menewaskan David de Gea.

Para penyokong Leeds semakin gembira selepas mereka berjaya menyamakan kedudukan satu minit sahaja selepas itu menerusi Raphinha.

Daniel James membawa bola masuk ke dalam kotak penalti dan kemudiannya melorongkan bola cantik ke tengah mencari Raphinha.

Raphinha melakukan slide dan menolak bola masuk ke gawang gol United, seterusnya memastikan Leeds United berjaya mengikat kedudukan menjadi 2-2.

Walau bagaimanapun kebangkitan Leeds United jadi terbantut selepas Man Utd meledak gol ketiga mereka menerusi Fred.

Jadon Sancho sekali lagi menjadi masalah utama kepada barisan pertahanan Leeds dengan beliau set up ruang yang cantik untuk Fred meledak gol.

Harapan Leeds untuk kembali bangkit terus terpadam selepas Man Utd berjaya menjaringkan gol keempat mereka pada minit ke-88 permainan, menerusi Anthony Elanga.

Bruno Fernandes menghantar bola cantik mencari Elanga yang kemudiannya melepaskan rembatan padu untuk menewaskan Meslier.

Perlawanan tamat dengan Manchester United berjaya mencatatkan kemenangan 4-2 menewaskan Leeds United di Elland Road.

Kemenangan ini mengukuhkan kedudukan Man Utd di kelompok empat teratas dalam carta saingan liga dengan mereka kini empat mata mengatasi West Ham dan Arsenal yang berada di kedudukan kelima dan keenam.

BACA:  Michael Owen Percaya 'Lembab' Merupakan Masalah Terbesar Harry Maguire