5 Pemain Terbaik Turki Sepanjang Zaman

Turki bukanlah satu kuasa besar dalam arena bola sepak antarabangsa namun setiap kali pasukan ini muncul di pentas kejohanan yang besar seperti Kejohanan Eropah atau Piala Dunia, mereka pasti akan menjadi tumpuan kerana berbekalkan semangat dan pemain yang luar biasa, mereka mampu melakar kejutan.

Yang paling diingati adalah dalam edisi Piala Dunia tahun 2002 di mana pasukan ini hampir mengejutkan Brazil di peringkat separuh akhir, sebelum menamatkan saingan sebagai pasukan ketiga terbaik, menewaskan pasukan tuan rumah yang penuh kontroversi, Korea Selatan.

Siapakah pemain terbaik mereka sepanjang zaman?

Hakan Sukur

Bermain di posisi penyerang, Hakan Sukur boleh dikatakan sebagai pemain Turki yang paling dikenali di seluruh dunia. Melakukan 112 penampilan buat negaranya, Sukur masih memegang rekod penjaring terbanyak buat pasukan Turki dengan 51 gol.

Bakatnya dikesan sejak dia muda lagi apabila mula bermain untuk pasukan kebangsaan Turki pada tahun 1992 ketika dia berusia 20 tahun.

Dalam 11 perlawanan pertamanya, Sukur telah menjaringkan 6 gol!

Dalam kempen Euro 1996 di England, penyerang prolifik ini telah diletakkan dalam kesebelasan utama dalam setiap perlawanan ketika Turki tersingkir di peringkat kumpulan. Pada Euro 2000 pula, Sukur menjaringkan dua gol ketika membenam cabaran Belgium 2-0 dalam perlawanan terkahir kumpulan, sekaligus melayakkan Turki ke pusingan suku akhir.

Dalam kempen Piala Dunia 2002, Sukur mencipta rekod apabila menjaringkan gol terpantas dalam sejarah Piala Dunia apabila menerobos gol Korea 10.8 saat selepas sepak mula. Turki memenangi perlawanan tersebut 3-2.

Pada tahun 2007, Sukur bermain kali terakhir buat Turki pada usia 36 tahun.

Walaupun pernah merantau ke negara lain, Sukur masih mampu mencipta dan memegang rekod jaringan gol terbanyak dalam Liga Bola Sepak Turki dengan 249 gol.

Rustu Recber

Siapa yang menonton Piala Dunia 2002 pasti akan ingat akan nama ini, Rustu Recber. Berwajah garang bagaikan pahlawan Uthmaniyah, Rustu dengan cemerlang menangkis cubaan demi cubaan daripada pihak lawan daripada menembusi golnya.

Rustu mula bermain untuk pasukan kebangsaan Turki pada tahun 1994 ketika dia berusia 21 tahun. Tidak lama kemudian dia terus menjadi penjaga gol utama pasukan tersebut dalam kempen Euro 1996 dan 2000, dan melakukan 2 clean sheet pada tahun mereka layak ke pusingan suku akhir.

Bermain dalam setiap perlawanan di Piala Dunia 2002, Rustu diiktiraf sebagai penjaga gol terbaik kejohanan.

Dalam Piala Konfederasi FIFA 2003, Rustu adalah antara beberapapa pemain senior yang dipanggil dan pengalamannya cukup berharga dalam membantu Turki memenangi pingat gangsa.

Dalam kempen Euro 2008 pula, pada awalnya Rustu dibawa sebagai penjaga gol kedua Turki, namun muncul sebagai penjaga gol utama selepas Volkan Demirel digantung untuk perlawanan suku akhir.

Ketika perlawanan terikat 0-0 dan perlawanan memasuki minit ke-119, Rustu melakukan kesilapan mudah lalu menghadiahkan Croatia gol pendahuluan. Akan tetapi Rustu tidak berputus asa dan dia menebus kesilapannya apabila melakukan bantuan gol untuk Semih Senturk pada minit ke-122.

Rustu muncul wira dalam perlawanan tersebut apabila menyelamatkan sepakan penalti penentu Croatia, sekaligus membawa pasukannya mara ke separuh akhir sebelum dikecewakan Jerman 2-3.

Penjaga gol lagenda ini bermain kali terakhir buat Turki pada tahun 2012 pada usia 39 tahun dan meninggalkan legasi yang pasti akan dikenang seluruh rakyat Turki.

Sanli Tunkay

Sebagai pemaint perancang yang cukup magis bila mendapat bola, Tuncay mula muncul dalam arena bola sepak ketika berusia 18 tahun bersama Sakaryaspor dan terus menjadi pemain utama selepas itu.

Dia mendapat panggilan ke pasukan kebangsaan buat pertama kalinya pada tahun 2002, namun hanya bermain sekali sahaja.

Pada tahun berikutnya, Tuncay muncul pemain bintang dalam Piala Konfederasi FIFA dengan pengelibatan dalam 4 gol (3 jaringan, 1 assist) dalam 5 perlawanan. Tuncay menerima anugerah Bola Perak – pemain kedua terbaik kejohanan, dalam kempen tersebut.

Pada tahun 2008 pula, Tuncay adalah watak utama dalam membawa pasukannya mara sehingga ke peringkat suku akhir Euro dengan melakukan 2 assist dalam 4 perlawanan. Malah dia juga turut bermain sebagai penjaga gol selama beberapa minit apabila Demirel dilayangkan kad merah ketika bertemu Republik Czech.

Sayang seribu kali sayang. Akibat menerima kad dalam perlawanan suku akhir, Tuncay digantung daripada bermain ketika mereka tewas kepada Jerman di separuh akhir. Orang kata kalau dia main, Turki menang.

Tugay Kerimoglu

Dikenali sebagai pemain yang mempunyai hantaran yang luar biasa dan kawalan bola yang baik, Tugay mula bermain bola sepak secara professional pada tahun 1987 ketika dia berusia 17 tahun bersama Galatasaray. 3 tahun kemudian, dia dipanggil untuk melakukan penampilan pertama bersama pasukan kebangsaan Turki.

Menjelang 1996, Tugay telah melakukan 34 penampilan buat pasukan kebangsaannya. Secara keseluruhan, Tugay telah melakukan 96 penampilan buat pasukan Turki.

Pada tahun 2002, Tugay telah bermain di liga terbaik dunia, Liga Perdana Inggeris bersama Blackburn Rovers selepas 2 tahun berkenalan ke Scotland bersama Glasgow Rangers.

Kali terakhir Tugay bermain untuk pasukan kebangsaannya adalah pada tahun 2007 ketika berusia 37 tahun. Kualiti yang dimiliki Tugay sangat diakui walaupun ketika usianya sudah menjangkau 30-an di mana Alex Ferguson pernah mengiktirafnya sebagai pemain yang mempunyai kawalan bola yang terbaik di Eropah.

Bulent Korkmaz

Hanya 5 pemain sahaja yang pernah bermain lebih 100 perlawanan buat Turki dan Bulent adalah pemain pertama yang melakukannya. Bulent, yang turut digelar sebagai Buyuk Kaptain (Kapten Hebat), adalah seorang pertahanan kental dan boleh diharap sepanjang 102 perlawanan dalam tempoh 15 tahun bersama Turki.

Panggilan pertamanya hadir pada tahun 1990, 3 tahun selepas penampilan pertamanya bersama Glatasaray, pada usia 22 tahun.

Bulent tidak terpilih untuk mewakili Turki ke Euro 1996, dan pada tahun 2000 pula, nasibnya agak malang apabila patah bahu dalam perlawanan akhir Piala UEFA bersama Galatasaray, sekaligus menyebabkannya tidak dibawa ke Euro 2000.

Pada tahun 2002, Bulent mengetuai Turki dan mengemudi rakan sepasukan mencipta sejarah terbaik bola sepak mereka dalam Piala Dunia. Dalam kempen tersebut, Bulent telah bermain 7 perlawanan, dengan 5 daripadanya sebagai kesebelasan utama.

Perlawanan terakhir pemain ini adalah pada tahun 2005 ketika sudahpun berusia 38 tahun.

BACA:  EURO 2020: Turki 0-3 Itali