Presiden Ankaragucu Digantung Seumur Hidup Oleh TFF

Presiden MKE Ankaragucu Faruk Koca digantung seumur hidup daripada terlibat dalam semua jenis aktiviti bola sepak oleh Persekutuan Bolasepak Turki (TFF).

Koca ditahan pihak berkuasa selepas meluru ke dalam padang dan menumbuk pengadil perlawanan Halul Umut Meler, selepas pasukanya seri 1-1 menentang Cakyir Rizespor di Liga Turki.

Ankaragucu turut didenda £54,000 dan beraksi tanpa kehadiran penyokong dalam lima perlawanan sebagai hukuman.

Semua perlawanan bola sepak di Turki ditangguhkan selepas insiden yang berlaku pada Isnin lalu.

TFF bagaimanapun berkata saingan liga akan disambung kembali pada 19 Disember, iaitu seminggu selepas kejadian.

Meler mengalami retak tulang soket mata akibat tumbukan Koca, dan pengadil itu turut ditendang ketika terbaring di atas padang.

Pengadil berusia 37 tahun itu adalah antara pengadil utama di Liga Turki dan juga merupakan pengadil FIFA. Meler turut berada di dalam senarai pengadil elit UEFA.

Meler dikejarkan ke hospital selepas kejadian tersebut sebelum dibenarkan meninggalkan wad pada Rabu lalu.

Menteri Dalam Negeri dan Keadilan Turki, Yilmaz Tunc berkata Koca dan dua lagi individu ditahan pihak polis kerana mencederakan pegawai perlawanan.

Koca kemudiannya mengeluarkan kenyataaan melalui Ankaragucu untuk mengumumkan peletakan jawatan sebagai presiden kelab dan turut memohon maaf atas tindakannya.

“Tidak kira bagaimana ketidakadilan itu berlaku, tidak ada perkara yang boleh menjelaskan tindakan keganasan yang saya telah lakukan,” kata Koca.

“Saya memohon maat kepada komuniti pengadil di Turki, komuniti sukan dan kepada seluruh negara.”

Selain itu Koca turut meluahkan perasaan malu atas perbuatannya dan berharap bola sepak Turki boleh membendung kejadian serupa pada masa depan.

Presiden FIFA Gianni Infantino menyifatkan insiden tersebut sebagai tidak boleh diterima sama sekali dan keganasan tidak sepatutnya berada di dalam sukan atau masyarakat.

BACA:  Portugal Tepati Ramalan Walaupun Panik Sebelum Tundukkan Turki