AC Milan Tamatkan Kemarau Kejuaraan Dengan Menjuarai Saingan Serie A Musim Ini

AC Milan berjaya mengakhiri penantian sedekad mereka untuk menjuarai saingan Serie A selepas mereka berjaya memenangi gelaran Scudetto pada musim ini.

Buat pertama kali sejak musim 2010/11, The Rossoneri akhirnya berjaya juga untuk dinobatkan sebagai juara saingan liga bola sepak Itali.

Mereka berjaya menewaskan pesaing terdekat yang juga merupakan musuh sebandar, Inter Milan dengan kelebihan dua mata.

Milan melalui musim yang mengecewakan sejak sedekad sebelum ini dengan mereka hanya mampu melihat bagaimana Juventus mendominasi sepenuhnya saingan liga bola sepak Itali.

Juventus berjaya memenangi sembilan gelaran Serie A secara berturut-turut sebelum Inter Milan merampas gelaran itu pada musim lalu.

Piala liga pada musim ini sekali lagi ke San Siro selepas AC Milan berjaya merampas gelaran tersebut dari musuh sebandar mereka, Inter Milan.

AC Milan turun dengan misi wajib menang untuk mengelak dari dipintas oleh Inter Milan dan mereka jelas sekali berjaya mengekalkan kedudukan di puncak liga selepas menewaskan Sassuolo 3-0 awal pagi tadi.

Olivier Giroud membuka tirai jaringan untuk AC Milan mendahului Sassuolo pada minit ke-17 permainan dalam aksi perlawanan terakhir mereka musim ini.

Ia merupakan gol ke-10 beliau untuk AC Milan dalam saingan Serie A musim ini dan bintang Perancis itu kemudiannya menjaringkan gol kedua peribadinya dalam perlawanan ini pada minit ke-32 permainan.

Empat minit selepas itu, giliran Franck Kessie pula yang meledak gol ketiga untuk AC Milan dalam perlawanan tersebut, seterusnya mengesahkan gelaran Scudetto untuk skuad kendalian Stefano Pioli itu.

Milan dilihat lebih klinikal sejak akhir Januari lalu dengan mereka berjaya melalui aksi 16 perlawanan tanpa kalah sepanjang tempoh tersebut.

Kali terakhir mereka mencatatkan kekalahan dalam saingan liga adalah pada 17 Januari lalu di tangan Spezia.

Sepanjang tempoh tersebut juga, AC Milan hanya mencatatkan enam bolos sahaja dan ia jelas sekali satu pencapaian yang sungguh luar biasa dasyat.

Musim yang sungguh menakjubkan dengan mereka menjuarai saingan musim ini tanpa mengharapkan kepada usaha seorang pemain sahaja.

Milan pada musim ini menggabungkan usaha antara kuda tua dan barisan pemain muda dan hasilnya harus diakui sungguh luar biasa dasyat.

Giroud berjaya menjaringkan 11 gol, Rafael Leao 10 gol dan Zlatan Ibrahimovic pula berjaya menjaringkan lapan gol untuk skuad kendalian Stefano Pioli itu.

Zlatan Ibrahimovic merupakan pemain penting ketika kali terakhir AC Milan menjuarai saingan Serie A dan selepas berkelana ke pelbagai negara, beliau pulang untuk bantu Milan sekali lagi menjulang Scudetto.

Inter Milan turut berjaya mencatatkan kemenangan 3-0 menewaskan Sampdoria, namun mereka terpaksa akur gagal untuk mempertahankan gelaran Serie A yang mereka menangi musim lalu.

Skuad kendalian Simone Inzaghi berjaya memberi saingan kepada AC Milan sehingga ke hari terakhir dan mereka sepertinya melepaskan gelaran Serie A itu dengan cara yang bermaruah.

Berjuang sehingga ke hari terakhir dan hanya dua mata sahaja ketinggalan di belakang juara saingan Serie A musim ini.

Napoli dan Juventus sementara itu berjaya melengkapkan kedudukan empat teratas dalam saingan Serie A untuk layak ke saingan Champions League musim hadapan.

Lazio dan Roma pula mengesahkan tempat untuk layak ke saingan Europa League sementara Fiorentina pula berjaya layak ke saingan Europa Conference League.

Ketika artikel ini ditulis, Cagliari, Genoa dan Venezia berada di zon penyingkiran dan sangat berpotensi untuk tersingkir ke saingan Serie B.

BACA:  Higuain: Juventus Tendang Saya Untuk Dapatkan Ronaldo