Air Mata Aizulhasni Menitis di Tokyo, Hanya Tahu Isteri Mengandung Anak Ketiga Selepas Tamat Acara Keirin

Terima kasih dan tahniah Datuk Azizulhasni Awang!

Itu sahaja yang boleh kita ucapkan kepada lagenda lumba basikal trek negara, selepas dia berjaya memenangi pingat perak dalam acara keirin Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Dalam perlumbaan akhir tersebut, Azizulhasni berdepan cabaran daripada Jason Kenny dari Great Britain, Jair En Fa dari Suriname, Matthew Glaetzer dari Australia dan juga Maximilian Levy dari Jerman.

Sebaik perlumbaan dimulakan, Azizulhasni menempatkan diri di posisi yang kelima, dengan Kenny mengekori rapat di belakang derny. Sebaik derny keluar dari litar perlumbaan, Kenny terus melakukan henjutan pemisahan, begitu juga dengan Azizulhasni, di mana dia cuba untuk meloloskan diri daripada kelompok pelumba dan mengejar pelumba Great Britain tersebut.

Akan tetapi, tindakan pelumba Australia, Glaetzer yang dilihat tidak mampu menambah kelajuannya dan menghalang pelumba negara dan Lavreysen daripada mengejar Kenny.

Sebaik loceng aiskrim dibunyikan menandakan perlumbaan memasuki pusingan terakhir, Lavreysen menghenjut laju sambil dikejar oleh Azizulhasni. Dalam lima meter terakhir, jaguh negara tersebut berjaya memotong pelumba Belanda tersebut untuk membawa pulang pingat perak ke bumi Malaysia, naik setapak daripada pingat gangsa yang dimenanginya di Rio lima tahun dulu.

Ketika dia menaiki podium, kelihatan wajahnya begitu sugul, jelas sekali betapa kecewanya jaguh basikal trek negara ini gagal membawa pulang pingat emas pertama buat negara dalam sukan Olimpik.

Dalam temubual bersama wartawan Astro Arena, Bazly Azmi, Azizulhasni tidak dapat mengekang air matanya daripada gugur, di mana dia bercerita segala cabaran yang dihadapinya dalam membawa cabaran untuk mengharumkan nama negara.

“Sudah tentu saya hari ini bercampur perasaan tu,” ujar lagenda negara ini, memulakan perbualannya.

“Saya boleh kata macam..sedih juga, sebab saya datang sini untuk memang emas, dan kita semua maklum bahawa sangat tinggi harapan untuk saya menang emas, saya adalah satu-satunya pesaing untuk pingat emas dan harapan terakhir untuk kontinjen Malaysia.

“Semalam memang saya memang kalau boleh nak tidur lena tu tak jugak, tidur ayam sambil memikirkan rancangan untuk hari ini. Tapi tak ada mengganggu apa-apa kayuhan lah.

“Dalam suku akhir, dalam separuh akhir, saya mampu lakukan dengan baik. Alhamdulillah semua okay, dan kita sedia untuk beraksi dalam akhir.

“Tapi tu lah, kita dapat undian yang tak elok, saya dapat nombor lima di belakang Harrie (pelumba Belanda), dan selalunya orang akan pergi ke depanlah.

“Tapi dalam undian tu kalau saya pergi ke hadapan (dari) awal, memang berisiko, sebab ada tiga orang yang kita panggil frontliner kat depan saya tu dan Jason memang dapat posisi yang baik di depan tu.

“Tapi untuk menambahkan lagi kemudahan dia tu, pelumba dari Australia Mat Glaetzer tak tahu apa yang dia buat, dia bagi ruang terlalu besar, memang banyak, dalam 20 meter ruang dan terus kekal di depan dan saya tak ada pilihan selain untuk tunggu peluang terbaik untuk pergi.

“Bila Harrie pergi, dan dia pun dah terlambat untuk pergi, kami hanya sasarkan untuk kedudukan terbaik lah.

“Suka dalam duka, tapi itulah sukan, dia ada turun naik dia.

“Kadang-kadang kita nak menang, tapi benda kita tak boleh nak kawal, kan?

“Tapi saya nak seluruh rakyat Malaysia tahu yang hari ini daripada awal sesi tadi sampai ke final saya bagi lebih daripada yang terbaik saya.

“Semasa kayuh tadi saya teringat ke anak-anak saya di Melbourne, saya teringat isteri saya yang saya tinggal lama.

“Saya tinggal mak saya, ayah saya, daripada saya umur tingkatan tiga saya tinggal kampung.

“Saya tinggal mak saya, mak saya tinggal sorang-sorang.

“Sebelum saya terbang ke Tokyo, saya dapat tahu ayah saya masuk hospital, adik-beradik saya cakap ‘Azizul, fokus ke Olimpik sahaja. Jangan fikir ke ayah’.

“Ayah saya kena mild-stroke, saya tak ada sebarang pilihan. Saya fikirkan tanggungjawab saya kepada negara.

“Bukan satu cabaran mudah buat saya kali ni. Hari-hari anak saya telefon bila saya nak balik. Bila semua ni nak berakhir.

“Saya cakap sekejap lagi dah nak habis dah. Masa saya kayuh tadi saya ingat kat diorang, saya ingat muka anak-anak saya, saya ingat muka isteri saya, mak saya dan ayah saya.

“Saya harap diorang semua tak kecewa keputusan saya hari ni. Saya dah buat yang terbaik untuk semua.

“Saya dah buat yang terbaik untuk mereka, untuk rakyat Malaysia dan tentunya untuk sukan negara kita,” ujar Azizulhasni sambil menyeka air mata.

Tidak lama kemudian, Bazly berkongsi satu rahsia yang sudah disimpan lama bahawa isteri Azizulhasni sebenarnya sedang mengandung anak ketiga mereka, lantas membuatkan Azizulhasni sujud syukur.

Ketika ditanya sama ada dia akan teruskan untuk Sukan Olimpik Paris 2024, Azizulhasni tidak dapat memberikan jawapan segera dan sekarang ini dia perlukan rehat terlebih dahulu, dan tenangkan mental serta rehatkan fizkial.

Sekali lagi, terima kasih Datuk Azizulhasni Awang, dan tahniah kepada pasukan lumba basikal trek Malaysia!

BACA:  Video : Rangkuman Aksi Datuk Azizulhasni dan Shah Firdaus