Akinfenwa Percaya Nunez Akan Mampu Jaringkan 18 Gol Pada Musim Debutnya

Legenda Football League yang juga merupakan penyokong tegar Liverpool, Adebayo Akinfenwa tampil mempertahankan Darwin Nunez dari terus dikritik ramai.

Akinfenwa percaya yang penandatanganan terbaru Liverpool itu akan mampu untuk setidak-tidaknya menjaringkan 18 gol pada musim baru nanti.

Pemain kebangsaan Uruguay itu menyertai The Reds dari Benfica dengan yuran perpindahan memecah rekod.

Beliau ketika bersama Benfica pada musim lalu telah berjaya menjaringkan 26 gol dari 28 penampilan dalam saingan Premeira Liga.

Tanda harga £68 juta jelas sekali telah memberi beban yang berat kepada Nunez dan ramai yang bimbang beliau akan tertekan dek kerana tanda harga tersebut.

Impak dari hal itu sudah boleh dilihat ketika Nunez beraksi pada pra musim ini dengan beliau gagal untuk menunjukkan impak seperti yang diharapkan.

Beliau telah melepaskan beberapa percubaan emas ketika beraksi bertemu Manchester United dan Crystal Palace sebelum ini.

Ramai penyokong dari pasukan seteru yang menghentam teruk Nunez di media sosial dan tidak ketinggalan beliau juga teruk diejek kerana gagal mempamerkan aksi persembahan seperti yang diharapkan.

Walau bagaimanapun, Akinfenwa percaya yang Nunez akan berjaya di Anfield dan bakal menjadi antara pemain penyerang terbaik pada musim baharu nanti.

“Jangan pernah risau tentang dia.”

“Jurgen Klopp, bagi saya, Klopp tak akan pernah terlepas dan dia tak akan gagal dengan pemain yang memang dia sendiri nak beli. Jadi saya memang tak risau tentang itu.”

“Saya tak kata yang dia akan mampu jaringkan 25 gol kerana saya rasa Mo Salah yang akan bagi kita gol dengan kuantiti seperti itu.”

“Saya tak kesah kalau dia dapat 18 gol, dia akan mampu dapatkan 18 gol.”

Seperti yang dinyatakan oleh Akinfenwa, Nunez bukanlah satu-satunya pemain yang akan Liverpool harapkan untuk memperoleh gol.

Tiga kali pemenang kasut emas, Mohamed Salah jelas sekali akan membantu Nunez untuk menyerap segala tekanan dan akan mampu membantu dari segi menghasilkan gol untuk The Reds.

Liverpool juga turut mempunyai pemain seperti Diogo Jota, Roberto Firmino dan Luis Diaz yang juga turut memiliki kualiti penyudah yang dasyat dan akan mampu meledak gol untuk The Reds.

Seandainya benar yang Darwin Nunez mampu untuk menjaringkan 18 gol semusim, ia sepertinya bakal memecah rekod Suarez ketika melakukan debutnya bersama Liverpool.

Suarez yang juga merupakan rakan senegara Nunez berjaya menjaringkan 17 gol ketika musim debutnya dalam semua pertandingan untuk Liverpool.

Akinfenwa sememangnya terkenal sebagai antara pemain bola sepak paling kuat dan beliau pernah beraksi dalam saingan Football League selama hampir dua dekad.

Beliau telah membuat kemunculan bersama banyak kelab dan antara yang paling membawa naik nama beliau adalah ketika beraksi bersama Wycombe Wanderers yang mana beliau menghabiskan enam tahun kariernya di sana.

Akinfenwa sebelum ini turut pernah menerima panggilan dari Jurgen Klopp selepas skuadnya Wycombe berjaya dapatkan promotion untuk beraksi dalam saingan Championship.

Beliau kini jelas sekali menunjukkan kesetiaannya kepada Liverpool dengan memberi sepenuh sokongan dan kepercayaan kepada pemain penyerang yang sedang teruk dihentam peminat.

Semoga saja Darwin Nunez akan mampu menjaringkan banyak gol untuk Liverpool pada musim baharu nanti.

Bukan hanya Akinfenwa, bahkan pemain-pemain Liverpool dan Jurgen Klopp sendiri juga turut meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Darwin Nunez dan berharap agar bekas bintang Benfica itu akan mampu menyerlah di Anfield.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Leicester City Sedekah Dua Gol Untuk Tiga Mata Penuh Buat Liverpool