5 Penyerang Paling Mahal Dalam Sejarah Premier League

Siapakah penyerang paling mahal dalam sejarah Premier League yang merupakan liga paling kompetitif di muka bumi ini dan bagaimanakah prestasi mereka adakah setimpal dengan bayaran.

Kadang kala harga perpindahan pemain di Premier League adalah tidak masuk akal sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan harga itu melambung-lambung jika melibatkan pemain Inggeris.

Jack Grealish merupakan pemain paling mahal di Premier League ketika ini selepas berpindah dari Aston Villa ke Manchester City dengan yuran perpindahan bernilai €117 Juta.

Manchester United dan Chelsea mendominasi carta dalam membayar yuran perpindahan tertinggi untuk mendapatkan pemain bagi mengembalikan kegemilangan mereka selepas era Sir Alex Ferguson berakhir.

Berikut merupakan 5 pemain penyerang paling mahal dalam sejarah kewujudan Premier League:

5. Alvaro Morata ke Chelsea (€66 Juta)

Chelsea telah membawa masuk pemain penyerang Sepanyol, Alvaro Morata dari Real Madrid dengan harga €66 Juta selepas Antonio Conte membawa Chelsea menjulang kejuaraan Premier League pada 2017.

Seorang penyerang baru diperlukan oleh Antonio Conte selepas terjadi perselisihan antara dia dan Diogo Costa yang terus disisihkan dari pasukan utama dan terpaksa berlatih bersendirian.

Dengan harga yang tinggi itu, Alvaro Morata telah menghadirkan impak segera apabila telah berjaya menjaringkan 10 gol dalam 18 penampilan pertama bersama Chelsea.

Beberapa siri kecederaan meyaksikan Alvaro Morata hanya dapat menjaringkan satu gol sahaja untuk baki perlawanan musim debutnya.

Selepas permulaan yang bagus, Morata bergelut dengan prestasi dan keyakinan diri apabila terlepas banyak peluang besar dan terbuka membuatkan jodohnya tidak panjang.

Pada Januari 2019, Morata telah dipinjamkan ke Atletico Madrid. Selepas menjaringkan 24 gol dalam 72 penampilan Morata menyertai Atletico Madrid secara tetap dan dipinjamkan ke Juventus kini kembali semula bersama Atletico.

4. Alexander Isak ke Newcastle United (€70 Juta)

Alexander Isak merupakan pemain penyerang Sweden yang bersinar di EURO 2020 dan telah menarik minat banyak kelab besar namun dengan pengambilalihan dari pelabur dari Arab Saudi menjadikan Newcastle United terlebih mampu.

Pada musim panas yang lalu, Alexander Isak telah disambar Newcastle United dari Real Sociedad dengan harga €70 Juta dan kerana fizikalnya yang kurus dan tinggi lampai ramai mengjangkakan Isak akan flop.

Pemain berusia 23 tahun itu membina reputasi yang baik untuk dirinya di Real Sociedad sebelum menyertai Newcastle. Isak telah membawa banyak keterujaan dan jangkaan di kalangan peminat Newcastle sejak berpindah.

Isak menjaringkan gol pada penampilan sulungnya untuk Newcastle dalam kekalahan kontroversi 2-1 kepada Liverpool. Penyerang kurus itu juga menjaringkan gol dalam keputusan seri 1-1 menentang Bournemouth.

Isak telah melihat impaknya di St James Park dikurangkan dengan beberapa masalah kecederaan. Penyerang kurus itu hanya bermain lima kali untuk Magpies sejak pertukaran musim panasnya. Dia dijangka memainkan peranan besar pada separuh kedua musim ini.

Isak seperti telah menutup mulut pengkritik dengan aksi awalnya sebelum cedera dan kini ramai menunggu bagi melihat apa yang mampu dilakukannya bersama Newcastle.

3. Darwin Nunez ke Liverpool (€80 Juta)

Liverpool yang terkenal dengan mencipta bintang tanpa perlu berbelanja besar telah mendapatkan Darwin Nunez dari Benfica dengan harga yang menjadikannya pemain penyerang termahal yang masih bermain di Premier League.

Bintang muda itu muncul dalam kempen 2021/22, menjaringkan 34 gol dalam 41 penampilan dalam semua pertandingan untuk Benfica, termasuk enam dalam Liga Juara-Juara membuatkan Liverpool sanggup membayar €80 Juta.

Dalam perlawanan pertamanya di Anfield akan terus diingati apabila telah meraih kad merah selepas menanduk pemain lawan kerana mentalnya koyak dengan teruk sekali.

Penggantungan 3 perlawanan menyebabkan proses Nunez untuk menyesuaikan diri terbantut dan memakan masa lebih lama ditambah pula dengan prestasi buruk Liverpool.

Setakat ini Nunez telah menjaringkan 10 gol dalam 23 perlawanan merentasi semua kejohanan bersama Liverpool dan seakan menjadi Morata kerana kerap terlepas peluang besar dan terbuka.

Darwin Nunez telah dilabel sebagai Andy Carrol 2.0 namun harus diingat Nunez bukanlah satu produk yang sudah siap dan perlu digilap, harga tinggi yang dibayar Liverpool itu adalah untuk nilai potensinya.

Harus diingatkan sekali lagi, Liverpool bukan pasukan membeli bintang tetapi pasukan yang mencipta bintang.

2. Romelu Lukaku ke Manchester United (€85 Juta)

Romelu Lukaku telah menobatkan dirinya sebagai salah seorang penyerang terbaik di Premier League ketika bersama Everton dan ketika itu khidmat Lukaku diintai oleh banyak kelab handalan dan menjadi impian kelab tak handal.

Penyerang Belgium itu hampir menyertai Chelsea namun menukar destinasi ke Old Trafford untuk bersama Manchester United yang ketika itu diuruskan Jose Mourinho dengan nilai perpindahan yang dilaporkan sekitar €85 Juta.

Dengan reputasi yang gah dicipta bersama Everton pastinya Lukaku diharapkan akan meneruskan kecemerlangan United yang telah memenangi League Cup dan Europa League pada 2016/17.

Pasukan Jose Mourinho ketiak itu terdiri dari pemain muda dan berpengalaman dan Lukaku terus mempamerkan keunggulan dengan 7 gol dalam 11 penampilan pertama liga.

Pemecatan Jose Mourinho dan kedatangan Ole Gunnar Solskjaer telah menghadkan permainan Romelu Lukaku yang dikatakan tidak sesuai dengan gaya fast break attack yang dimainkan Ole.

Selepas dua musim dengan 42 gol dalam 96 penampilan, Romelu Lukaku memilih untuk pergi ke Inter Milan.

1. Romelu Lukaku ke Chelsea (€113 Juta)

Bukti kepada kehebatan Romelu Lukaku jelas apabila berada ditangga pertama dan kedua dalam senarai penyerang termahal dalam sejarah Premier League. Mahal tidak semestinya menjadi.

Selepas mempamerkan aksi padu dengan gandingan bersama Lautaro Martinez di San Siro dengan menjulang Serie A memecahkan dominasi Juventus dan muncul naib juara Europa League, Lukaku telah menarik minat Chelsea.

Di Inter Milan, Lukaku menjaringkan 64 gol dalam 95 penampilan. Pada 2021 Chelsea telah membayar yuran perpindahan bernilai €113 juta untuk mendapatkan Lukaku.

Lukaku berjaya memenuhi impian kanak-kanak selepas menyertai Chelsea dan menjaringkan gol dalam debut ketika menentang musuh ketat, Arsenal. Satu permulaan yang indah.

Namun kecederaan membantutkan segalanya ditambah pula dengan kenyataan tidak cerdik dalam temuramah pada Disember 2021 dan telah bergaduh dengan Thomas Tuchel.

Lantaran hubungan keruh, Lukaku meminta kebenaran Todd Boehly untuk kembali ke Inter Milan sebagai pemain pinjaman. Keuntungan besar buat Inter yang hanya membelanjankan sekitar €10 Juta sahaja dari wang perpindahan €113 Juta untuk meminjam kembali Lukaku.

BACA:  Nunez Pula Cedera, Klopp Pecah Kepala Lihat Senarai Kecederaan