8 Pemain Dengan Lonjakan Nilai Tertinggi Selepas Musim 2022/23

Kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Brighton & Hove Albion menguasai carta peningkatan harga pemain paling tinggi selepas tamat saingan 2022/23.

Daripada senarai lapan pemain yang merekodkan lonjakan nilai tertinggi, lima daripadanya adalah daripada pasukan kendalian Roberto De Zerbi.

Ini selepas peningkatan luar biasa Brighton pada musim lalu yang layak beraksi di pentas Eropah setelah menamatkan saingan EPL di kedudukan ke-6.

Berikut adalah senarai pemain dengan lonjakan nilai tertinggi berdasarkan Transfermarkt dunia:

Alexis Mac Allister ( €42 juta kepada €65 juta)

Mac Allister adalah pemain yang merekodkan lonjakan nilai tertinggi selepas tamat musim 2022/23.

Cemerlang di Piala Dunia 2022 bersama Argentina, Mac Allister juga merupakan arkitek utama Brighton pada musim lalu sebelum disambar Liverpool pada jendela perpindahan musim panas ini dengan nilai €40 juta, dan boleh melonjak kepada €64 juta berdasarkan prestasi.

Potensi besar pemain itu menyebabkan Liverpool turut menyelitkan klausa €40 juta untuk mana-mana kelab yang ingin mendapatkannya selepas ini.

Mac Allister diberikan jersi No.10 di Anfield dan dijanjikan akan memainkan peranan penting bersama skuad Liverpool oleh Jurgen Klopp.

Moises Caicedo (€55 juta kepada €75 juta)

Caidedo adalah gandingan Mac Allister di Brighton pada musim lalu dan dianggap antara pemain tengah terbaik di EPL pada musim lalu.

Media Britain berkata Caicedo kini sedang diintai rapat oleh Manchester United yang sanggup melabur besar untuk membawa pemain itu ke Old Trafford.

Alexander Isak (€50 juta kepada €70 juta)

Baru semusim bersama Newcastle United, Isak cemerlang mencetak 10 gol dan menghasilkan 1 assist di EPL.

Lebih luar biasa, Isak berjaya membantu Newcastle layak ke saingan UEFA Champions League pada musim hadapan selepas 20 tahun.

Kini penyerang itu dianggap sebagai antara tunjang utama skuad Eddie Howe dan merupakan figura popular di kalangan penyokong The Magpies.

Evan Ferguson (€10 juta kepada €20 juta)

Peningkatan luar biasa Brighton di bawah kendalian De Zerbi turut melibatkan pembangunan bakat muda di dalam pasukan itu.

Antara pemain muda paling menyerlah bersama Brighton pada musim lalu adalah penyerang berusia 18 tahun, Evan Ferguson.

Sepanjang musim lalu beliau hanya melakukan 19 penampilan. Tetapi ia sudah cukup untuk Ferguson menghasilkan 6 jaringan dan dua assist untuk pasukannya.

Pervis Estupinan (€19 juta kepada €32 juta)

Pervis Estupinan adalah pemain yang memiliki lonjakan keempat tertinggi daripada segi nilai pemain selepas musim 2022/23.

Estupinan mungkin pemain yang tidak dikenali ramai sebelum ini. Di bawah kendalian De Zerbi, kebolehan Estupinan semakin ketara dan mendapat perhatian ramai.

Bek kiri berasal daripada Ecuador ini melalui musim yang tidak dapat dilupakannya apabila melakukan 35 penampilan, menjaringkan 1 gol dan menghasilkan 5 assist pada musim lalu.

Michael Olise (€27 juta kepada €38 juta)

Crystal Palace adalah pasukan yang bergelut dengan prestasi pada musim lalu dan pada satu ketika bergelut daripada tersingkir daripada EPL.

Namun ini tidak bererti pasukan dengan jolokan The Eagles ini tidak mempunyai permata yang menyinar di dalam pasukan.

Prestasi penyerang muda Perancis, Michael Olise adalah salah satu daripadanya. Sepanjang saingan musim lalu beliau hanya menjaringkan 2 gol.

Namun demikian, Olise cemerlang daripada segi merancang jaringan untuk pasukannya, menjadi pemain keempat di belakang Kevin de Bruyne, Leandro Tossard, dan Mohamed Salah degan 11 assist.

Julio Enciso (€11 juta kepada €22 juta)

Julio Enciso adalah seorang lagi bakat muda yang menyerlah bersama Brighton di bawah kendalian De Zerbi pada musim lalu.

Sepanjang musim 2022/23, Enciso melakukan 20 penampilan, menjaringkan 4 gol dan dua assist.

Dua daripada jaringan pemain muda dari Paraguay ini terhasil ketika menentang pasukan gergasi seperti Man City dan Arsenal – kedua-duanya wonder goal.

Erling Haalland (€170 juta kepada €180 juta)

Erling Haaland ibarat pemain yang tidak mengenal titik maksima.

Baru semusim menyertai Man City, pemain ini telah menghasilkan deretan hatrik dan membantu kelab baharunya itu meraih gelaran treble.

Prestasi cemerlangnya sepanjang musim 2o22/23 bersama City menyaksikan pemain itu melalui peningkatan nilai €10 juta – kini setara dengan Kylian Mbappe sebagai pemain paling bernilai di dunia.

BACA:  Florentino Perez Anggap Haaland Hanya Setaraf Pemain Simpanan Real Madrid Sahaja