“Tak Patut Inter Rasa Marah” – Mourinho Rai Gol Pertama Lukaku Bersama Roma

Jose Mourinho berkata pemain pinjaman daripada Chelsea, Romelu lukaku perlu merasakan diri disayangi dengan kasih sejati selepas menyaksikan pemain itu menjaringkan gol sulungnya untuk Roma.

Lukaku menyertai Roma secara pinjaman selama semusim daripada Chelsea pada Ogos lalu. Mourinho pernah bergelar jurulatih Lukaku ketika kedua-duanya bersama Manchester United dan Chelsea.

Mourinho dilaporkan meyakinkan Lukaku untuk menyertai beliau di Roma selepas melakukan satu panggilan telefon kepada pemain itu.

Sebelum ini penyerang antarabangsa Belgium itu bergelut dengan konsistensi sejak dua musim lalu. Dan Mourinho tampil berkongsi kaedah terbaik untuk Lukaku beraksi dengan potensi sebenar pemain itu setelah Roma membelasah Empoli 7-0 pada Ahad lalu.

Mourinho turut menyifatkan Inter Milan tidak ada sebab mahu marah atau terluka oleh Lukaku kerana pasukan itu sudah mempunyai banyak pilihan di jentera serangan – setelah Lukaku menolak peluang kembali menyertai skuad kendalian Simone Inzaghi secara tetap.

“Saya lihat dia [Lukaku] sangat gembira. Romelu perlu rasa gembira, rasa disayangi dan rasa diri diperlukan,” kata Mourinho ketika bercakap kepada DAZN.

“Dia tiba di sini dan terus merasai diri amat diperlukan oleh pasukan. Saya berpendapat dia sangat gembira.

“Jelas sekali dia mahu jadi pemenang dan itulah sifat semula jadi pemain ini. Inter tiada sebab untuk rasa marah kerana mampu menang perlawanan derbi dengan jaringan 5-1 dengan sebuah pasukan luar biasa dan ramai pemain penyerang.

“Tetapi mereka patut rasa gembira dengan bekas pengurus yang begitu mahukan Lukaku.”

Sejak Lukaku melengkapkan perpindahan bernilai £98 juta daripada Chelsea ke Inter Milan pada Ogos 2021, pemain berbadan tegap itu sering kali menjadi mangsa kritikan kerana tidak konsisten.

Penyerang berusia 30 tahun itu menjaringkan 15 gol untuk Chelsea pada musim 2021-22, dan 14 gol untuk Inter ketika dipinjamkan ke kelab itu pada musim lalu.

Jika Mourinho berjaya mengembalikan keyakinan Lukaku, maka tidak mustahil dia akan kembali menjadi antara penyerang elit di Eropah sekali lagi.

Roma akan mengalihkan tumpuan ke pertandingan Europa League pada Khamis ini menentang kelab Moldova, Sherif dan Lukaku dijangka sekali lagi akan mengetuai jentera serangan kelab Itali itu.

BACA:  Mourinho: Sukar Untuk Manchester United Berada Dalam Kelompok 'Top 4' Musim Ini