Inter Milan Buka Pintu Untuk Onana Kembali Ke San Siro

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO)Inter Milan Giuseppe Marotta tidak menolak kemungkinan Andre Onana kembali ke San Siro dan meninggalkan Manchester United pada masa hadapan.

Onana menyertai United daripada Inter pada Julai lalu dengan yuran perpindahan bernilai £47.1 juta.

Walaupun Onana mengalami permulaan buruk di awal kariernya di Premier League bersama United, penjaga gol yang didatangkan secara percuma sebelum dijual kepada United itu sentiasa disanjung di San Siro.

Ditanya sama ada terdapat kemungkinan Onana kembali menyertai Inter, Marotta ketika ditemubual Gazetta Dello Sport berkata: “Saya tidak boleh membaca apa yang akan berlaku pada masa hadapan.

“Tetapi di dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku. Sudah pasti ia [perpindahan semula] akan menjadi lembaran baharu yang hebat buat kami dan Onana.

“Sebelum ini pun ia adalah satu pencapaian yang luar biasa untuk mendapatkan Onana secara percuma dan menjual dia dengan nilai tersebut.”

Dalam perlawanan terakhir United menentang Brentford sebelum tempoh rehat antarabangsa, Onana melakukan kesilapan yang membenarkan Mathias Jensen menjaringkan gol pertama perlawanan.

Penjaga gol 27 tahun itu menampilkan prestasi kurang meyakinkan untuk United selepas hanya merekodkan dua clean sheet daripada lapan perlawanan Premier League yang dilalui sehingga kini.

Sepanjang tempoh itu Onana dan United turut dibolosi sebanyak 12 kali.

Bekas penjaga gol Premier League Mark Schwarzer dalam tembual baru-baru ini turut berkata karier penjaga gol itu di Old Trafford akan berakhir sekiranya Erik ten Hag meninggalkan Manchester United.

“Ia menarik kerana Ten Hag sebelum ini membawa masuk beberapa pemain yang pernah beraksi bersamanya di Ajax.

“Saya sendiri menyaksikan beberapa perlawanan membabitkan Onana sejak beberapa tahun lalu. Saya tahu dia bermain dengan baik, termasuk ketika bersama Inter pada musim lalu.

“Walaupun demikian saya sentiasa mempersoalkan sejauh manakah kehebatan Onana.

“Saya tidak pasti sama ada dia mampu keluar daripada situasi sekarang kerana [semua] kesilapan yang dilakukannya. Dan sekiranya Ten Hag hilang jawatannya, maka [karier] Onana [di Old Trafford] juga akan berakhir,” kata Schwarzer.

Bekas penyerang Chris Sutton pula bertanggapan United melakukan kesilapan apabila membawa masuk Onana dan menolak David de Gea.

Menurut Sutton, kehadiran dan kesilapan yang dilakukan oleh penjaga gol itu membuatkan keseluruhan pasukan tertekan akibat kesilapan berprofil tinggi yang dilakukannya.

“Kita semua berdebat bagaimana Arsenal memiliki dua penjaga gol yang hebat. Saya berpendapat Onana ok dengan kakinya, tetapi sebagai penjaga gol anda juga harus cekap dan tangkas menggunakan tangan. Ini bermakna dia tidak cukup bagus,” kata Sutton.

“De Gea adalah penjaga gol yang jauh lebih baik berbanding Onana. Sebaliknya jika Onana benar-benar melakukan tugasannya sebagai penjaga gol maka ia tidak akan menjadi isu.

“Sekarang dia hanya memberikan tekanan kepada pasukannya, dan realitinya dia tidak cukup bagus untuk Manchester Unuted. Mereka telah melakukan kesilapan besar membawa masuk Onana.”

BACA:  Pogba Menganjing Penyokong West Ham Yang Mengganggu Beliau