Lukaku: Nantikan Kemunculan ‘Manchester United Baru’ Selepas Ini

Romelu Lukaku berkata peminat akan menyaksikan sesuatu yang berlainan dari Manchester United selepas bangkit dari 2 kekalahan berturut-turut untuk mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Burnley semalam.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Turf Moor Stadium, Jose Mourinho sangat memerlukan kemenangan bagi meredakan kemarahan peminat Manchester United terhadapnya. Desas-desus bertiup mengatakan Mourinho mungkin kehilangan kerjanya sekiranya mereka tumpas sekali lagi di tangan Burnley.

Sarjan Lukaku is back ! Lukaku kembali mengganas selepas mempamerkan aksi yang tidak bermaya sebelum ini

Walau bagaimanapun, segala keresahan Mourinho hilang apabila dua gol Romelu Lukaku pada separuh masa pertama sudah cukup untuk memberikan 3 mata berharga kepada Manchester United, seterusnya mendaki ke tangga 10 dalam Liga Perdana Inggeris.

Lukaku turut berkata kejayaan Red Devils menumpaskan Burnley di tempat lawan merupakan hasil titik peluh dan kerja keras pasukan di padang latihan.

“Sekarang, peminat akan melihat pasukan Manchester United yang lain dari sebelum ini. Segala yang kami usahakan sepanjang 2 minggu lepas sudah mula kelihatan ketika kami menewaskan Burnley tadi.”

“Kami mula melakukan quick passing, larian di belakang pemain pertahanan lawan, dan mencipta begitu banyak peluang untuk menjaringkan gol.”

Nantikan kemunculan Manchester Baru tidak lama lagi !

“Kami sebenarnya sudah ada mentaliti untuk menang, tetapi ia perlu ditampilkan dengan lebih kerap. Itu merupakan perkara yang Mourinho mahu lihat dan apa yang perlu kami lakukan sekarang.”

“Kami sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol pada separuh masa pertama dan juga pada separuh masa kedua. Walau bagaimanapun, permainan kami semakin meningkat dan berlaku penambah baikan yang ketara dalam permainan kami tadi.”

Pengurus Manchester United, Jose Mourinho juga berada dalam mood yang lebih baik selepas melihat anak buahnya menewaskan Burnley. Beliau memuji peranan yang dimainkan penyokong Manchester United untuk membantu pasukan kembali ke landasan yang betul.

“Kualiti persembahan dan kegembiraan dalam skuad ini merupakan tanggungjawab yang dipegang penyokong Old Trafford.”

“Reaksi penyokong kami selepas tumpas di tangan Tottenham minggu lalu amat penting dalam membawa pasukan ini kembali ke landasan yang tepat.”

Mourinho kembali gembira dan tidak meroyan lagi

Manchester United sebenarnya berpeluang menjaringkan lebih banyak gol sekiranya Paul Pogba menyempurnakan sepakan penalti beliau yang ditampan dengan baik oleh bekas penjaga gol England dan Manchester City, Joe Hart.

Bagaimanapun, Mourinho masih tetap gembira dengan jumlah peluang yang dicipta pemainnnya yang mana mereka berjaya merekodkan 21 percubaan ke arah gol pintu lawan.

“Dalam 10 minit yang pertama, kami bermain dengan sangat baik dan ia mengingatkan saya kepada perlawanan Tottenham dimana kami sangat dominan. Tetapi kali ini kami berjaya menjaringkan gol.”

“Adakah kami sepatutnya menjaringkan 6, 7 atau 8 gol ? Ya, kami sepatutnya menjaringkan gol sebanyak itu.”

BACA:  Mourinho: Saya Tahu Bagaimana Untuk Menang, Tetapi Bukan Saya Yang Bermain