Mourinho: Saya Tahu Bagaimana Untuk Menang, Tetapi Bukan Saya Yang Bermain

Pengurus Manchester United, Jose Mourinho berkata beliau masih percaya dengan kemampuan dirinya untuk membawa United memenangi Liga Perdana Inggeris musim hadapan walaupun selepas melihat pasukannya tewas di tangan pasukan tercorot, West Brom awal pagi tadi.

Dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris semalam, Manchester United memerlukan kemenangan bagi menangguhkan hasrat Manchester City menjulang trofi liga, tetapi perkara sebaliknya berlaku apabila mereka dimalukan di hadapan puluhan ribu penyokong sendiri.

Jay Rodriguez muncul wira West Brom dengan menjaringkan gol tunggal perlawanan melalui tandukan selepas situasi kelam kabut dalam kotak penalti United. Kemenangan ini memberikan sedikit sinar harapan kepada West Brom untuk terus berjuang dalam usaha mereka keluar dari zon penyingkiran dengan perlawanan berbaki 4 sahaja lagi.

Berbalik kepada Manchester United, Mourinho menuduh pemainnya gemar merumitkan keadaan selepas terbawa-bawa dengan kemenangan 3-2 yang dicatatkan mereka ke atas juara Liga Perdana Inggeris musim ini, Manchester City tempoh hari.

Walaubagaimanapun, ketika bercakap kepada wartawan selepas tamat perlawanan malam tadi, Mourinho yakin beliau masih lagi individu yang tepat untuk membimbing Manchester United mencabar kejuaraan liga musim hadapan.

“Sudah tentu saya percayakan hasil kerja saya. Tiada sebab untuk meragui kerja saya. Saya telah memenangi 8 kejuaraan liga dan tiga daripadanya adalah Liga Perdana Inggeris.”

Jay Rodriguez wira West Brom

“Kali terakhir saya memenangi Liga Perdana Inggeris bukan 20 tahun yang lalu, tetapi hanya tiga tahun yang lepas. Saya tahu bagaimana untuk menang.”

Mourinho turut mendakwa pasukannya tidak melepaskan peluang untuk memenangi Liga Perdana Inggeris musim ini selepas tewas di tangan West Brom. Mourinho mendakwa Manchester City berhak muncul juara kerana mereka hanya tewas dua perlawanan sahaja musim ini.

Bekas pengurus Chelsea dan Real Madrid itu masih lagi percaya dengan kemampuan dirinya tetapi pemainnya perlu mempamerkan persembahan yang konsisten seperti yang telah ditunjukkan Manchester City musim ini.

“Saya percaya dengan diri sendiri, tetapi bukan saya yang bermain. Berdasarkan pengalaman saya, anda tidak akan memenangi liga sekiranya anda tidak konsisten.”

Kompany meraikan gelaran juara Liga Perdana Inggeris 2017/2018 bersama bapa mertuanya

“Sudah tentu anda harus mempunyai kualiti dalam pasukan untuk memenangi liga. Tanpa kualiti, anda tidak mempunyai sebarang peluang. Tetapi, konsistensi juga diperlukan untuk muncul juara.”

“Anda harus konsisten dalam semua aspek, bukan hanya tahap permainan. Mental pasukan juga perlu konsisten setiap hari. Semua perkara mesti konsisten sehingga penghujung musim. Jadi salah satu perkara yang kami perlu perbaiki adalah konsistensi.”

Walaupun terlepas peluang untuk menjulang trofi Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara musim ini, Manchester United masih lagi dalam perburuan untuk merangkul trofi Piala FA. Walaubagaimanapun, mereka harus melepasi cabaran Tottenham Hotspurs terlebih dahulu dalam pusingan separuh akhir hujung minggu ini di Wembley Stadium.

BACA:  Mourinho: Pogba Tidak Pernah Minta Untuk Dilepaskan