Alasan Dungu Mengapa United Tak Mahu Conte Jadi Pengganti Ole

Tular di media sosial pada ketika ini alasan sebenar mengapa Manchester United memutuskan untuk tidak melantik Antonio Conte sebagai pengurus kelab.

Sepertinya alasan itu agak tidak masuk akal dan menyebabkan para peminat mula mengkritik keputusan pimpinan kelab itu.

Keputusan setan merah menolak untuk melantik Antonio Conte sebagai pengurus kelab pada awal musim lalu jelas sekali telah menimbulkan persoalan di kalangan peminat seluruh dunia.

Setan merah sememangnya hangat dikaitkan dengan bakal melantik Antonio Conte sebagai pengganti kepada Ole Gunnar Solskjaer yang ketika itu sudah menunggu masa sahaja untuk dipecat oleh kelab.

Conte sendiri sudah mendedahkan yang beliau berminat untuk menerima tawaran dari Manchester United, dan sudah menyediakan perancangan beliau seandainya benar-benar dilantik oleh kelab.

Walau bagaimanapun, entah apa yang berlaku, Man Utd sepertinya mengabaikan Antonio Conte dan tidak meneruskan perbincangan mereka lagi.

Tindakan United menunjukkan yang mereka tidak berminat dengan Antonio Conte dan menyebabkan pengurus dari Itali itu mula mempertimbangkan tawaran dari kelab lain.

Hasilnya, Antonio Conte telah ditawarkan jawatan sebagai pengurus Tottenham Hotspur dan beliau menerima tawaran tersebut.

Antonio Conte dilantik sebagai pengurus Tottenham Hotspur, beberapa hari selepas pihak kelab memecat Nuno Espirito Santo.

Apa yang menariknya, bekas pengurus Wolverhampton Wanderers itu dipecat oleh pihak kelab, kerana skuadnya dibelasah 3-0 oleh Manchester United dalam aksi saingan Premier League.

Tindakan Spurs melantik Conte sebagai pengurus kelab jelas sekali satu tindakan yang sangat tepat, dengan bekas pengurus Inter Milan itu masih belum mencatatkan sebarang kekalahan dalam saingan Premier League sejak dari awal beliau dilantik.

Sementara Manchester United pula, selepas memecat Ole Gunnar Solskjaer, mereka memutuskan untuk melantik Ralf Rangnick sebagai pengurus interim kelab sehingga akhir musim ini.

Terbaru, The Telegraph telah mendedahkan alasan sebenar tentang mengapa Manchester United memilih untuk menolak Antonio Conte dari mengendalikan kelab.

Pihak kelab merasakan Antonio Conte terlalu tegas dan cara pengurusan beliau itulah yang menjadi faktor utama mengapa pimpinan kelab menolak untuk melantik beliau sebagai pengurus yang baharu.

Conte sememangnya terkenal dengan sikap yang sangat tegas dan tidak akan berkompromi ketika sesi latihan mahupun diet pemakanan pemain.

Bahkan, perkara pertama yang beliau lakukan sebaik dilantik menjadi pengurus Tottenham Hotspur adalah mengharamkan penggunaan sos dan mustard di kantin kelab.

Pimpinan United merasakan yang sikap Conte itu agak keterlaluan dan melampau untuk ditetapkan dalam budaya bola sepak Manchester United.

Mereka percaya yang skuad sedia ada tidak akan mampu untuk menahan perangai tegas Conte dan sudah tentu akan ada kekecohan yang bakal berlaku.

Melihat kepada barisan diva seperti Cristiano Ronaldo, Paul Pogba dan ramai lagi pemain bintang lain yang ada, United percaya akan ada masalah andai mereka melantik Conte.

Pihak kelab juga mahu melindungi barisan pemain muda seperti Mason Greenwood, Jadon Sancho dan Marcus Rashford dengan menganggap cara Conte akan beri impak negatif kepada barisan pemain ini.

Pimpinan kelab merasakan bilik persalinan tidak akan pernah harmoni lagi andai Conte membawa budaya tegas beliau ke bumi Old Trafford.

Bekas bintang Chelsea, Willian yang pernah beraksi di bawah kendalian Conte sebelum ini turut pernah bercakap tentang hal ini, dengan beliau menyatakan bahawa:

“Itu adalah kekurangan sebenar dia, yang mana ia merupakan punca mengapa dia akhirnya akan ada banyak masalah dengan beberapa pemain, termasuk saya juga.”

“Saya rasa dia gagal untuk mengurus dan faham yang ada ramai pemain yang berbeza-beza, dari negara berbeza, pemain yang dianggap bintang. Pemain terpenting kelab juga. Jadi saya rasa dia tak pernah faham hal itu.”

Manchester United sangat berharap keputusan mereka menolak Antonio Conte dan melantik Ralf Rangnick bakal menjadi pilihan yang bijak untuk masa hadapan kelab.

Walau bagaimanapun, mereka pada ketika ini nampak lebih huru-hara dan keharmonian dalam bilik persalinan juga nampak terjejas teruk di bawah kendalian Ralf Rangnick.

17 Pemain Man Utd tidak gembira di Old Trafford

Manchester United bakal berdepan dengan kehilangan ramai pemain dari skuad utama mereka pada penghujung musim ini nanti.

Seramai hampir 17 pemain dari skuad utama setan merah telah mendedahkan yang mereka tidak gembira berada di Old Trafford pada ketika ini.

Man Utd berdepan kekalahan 1-0 di tangan Wolves pada hujung minggu lalu yang mana ia menyebabkan laluan mereka untuk berada di kelompok empat teratas semakin sukar.

Sebaik perlawanan tersebut tamat, pelbagai laporan yang dilaporkan oleh pelbagai sumber, dengan mereka mendakwa bilik persalinan United kini sangat tidak harmoni.

17 orang pemain dari skuad utama pada ketika ini mendedahkan secara terbuka yang mereka tidak gembira berada di Old Trafford.

Pengurus interim kelab, Ralf Rangnick gagal untuk menyatukan para pemain sejak dari awal beliau dilantik untuk menggantikan Ole Gunnar Solskjaer yang dipecat pada tahun lalu.

Beliau kini bakal berdepan dengan kebarangkalian untuk kehilangan begitu ramai pemain dari skuad utama, yang berhasrat mahu meninggalkan kelab.

Kebanyakan dari mereka masih memiliki kontrak dan tidak akan dibenarkan untuk pergi, namun dijangka akan masih ramai juga pemain yang akan tetap memilih untuk meninggalkan kelab.

Januari ini sahaja sudah beberapa pemain yang tampil mendedahkan hasrat mereka untuk meninggalkan kelab, dan ada juga yang memutuskan untuk pergi pada musim panas nanti.

Menurut sumber laporan dari Daily Mail, Ralf Rangnick sedar dengan situasi yang berlaku di Old Trafford pada ketika ini, dengan beliau juga turut sudah mengadakan perjumpaan dengan beberapa pemain untuk membincangkan soal masa hadapan mereka.

Anthony Martial dijangka bakal menyertai Sevilla pada jendela perpindahan Januari ini, namun ia bergantung kepada kesanggupan gergasi La Liga itu untuk menaikkan tawaran mereka.

Kontrak Paul Pogba dan Jesse Lingard bakal tamat pada penghujung musim ini, dan mereka dijangka tidak akan bersetuju untuk menandatangani kontrak baru.

Kedua-dua mereka pada ketika ini sudah dibenarkan untuk berunding dengan kelab luar dari Premier League, dan boleh menandatangani pra kontrak sebelum melengkapkan perpindahan pada musim panas nanti.

Edinson Cavani telah memberitahu kelab yang beliau mahu meninggalkan Old Trafford pada Januari ini, namun pihak kelab telah menolak permintaan beliau.

Walau bagaimanapun, kontrak penyerang kebangsaan Uruguay itu akan tamat pada penghujung musim ini, dan beliau juga berkemungkinan akan meninggalkan kelab pada musim panas nanti.

Phil Jones yang baru sahaja melakukan penampilan pertamanya sejak dua tahun lalu ketika aksi bertemu Wolves dan Juan Mata turut dikaitkan dengan bakal dipinjamkan ke pasukan lain pada bulan ini

Donny Van de Beek, Dean Henderson dan Eric Bailly kesemua mereka dikatakan tidak gembira kerana kekurangan minit permainan, dan sedang mempertimbangkan untuk meninggalkan Old Trafford pada musim panas nanti.

Sementara itu, masih ada keraguan tentang masa hadapan Nemanja Matic, Diogo Dalot dan Fred yang akan masuk ke tahun terakhir kontrak mereka pada musim panas ini.

Pihak kelab dilaporkan mahu menawarkan kontrak setahun tambahan kepada satu tahun lagi, namun hal itu masih belum dapat disahkan lagi.

Untuk menambah derita Ralf Rangnick lagi, segelintir pemain senior dilaporkan tidak gembira sama sekali melihat kekebalan Cristiano Ronaldo yang sentiasa dapat apa beliau mahukan.

The Daily Express melaporkan yang Harry Maguire, Mason Greenwood dan Cavani sedikit terkesan dengan kehadiran Ronaldo, dan menjelaskan peranan mereka dalam skuad utama.

Laporan sama turut menyatakan yang beberapa pemain dalam skuad United juga tidak gembira melihat pengaruh Ronaldo terhadap pemain-pemain senegaranya dan juga yang boleh berbahasa Portuguese.

Bruno Fernandes, Diogo Dalot, Fred dan Alex Telles merupakan antara pemain yang berada dalam kem Cristiano Ronaldo pada ketika ini.

Sementara itu, pengurus interim kelab, Ralf Rangnick dilaporkan gagal untuk memuaskan hati para pemain Man Utd sejak dari awal ketibaan beliau menggantikan Solskjaer.

Apa sudah berlaku dalam kem United pada ketika ini?

Keadaan yang sangat huru-hara dan jelas sekali Ralf Rangnick memiliki tugas yang luar biasa berat untuk menstabil dan memulihkan semula keharmonian dalam bilik persalinan pada ketika ini.

Sumber: Sportskeeda

BACA:  Conte Berhabisan Luah Perasaan, Bunga-Bunga Awal Mahu Tinggalkan Spurs?