Tottenham Hotspur Ketepikan 4 Pemain Dari Menyertai Skuad Jelajah Asia

Pengurus Tottenham Hotspur, Antonio Conte telah mengetepikan empat pemain senior dari menyertai skuadnya untuk aksi jelajah Korea Selatan.

Sergio Reguilon, Giovani Lo Celso, Tanguy Ndombele dan Harry Winks kesemuanya tidak di bawa ke Korea Selatan dengan mereka diberikan cuti tambahan oleh Conte.

Kesemua pemain lain dalam skuad Tottenham Hotspur telah terbang ke Korea Selatan untuk aksi jelajah di negara Asia tersebut.

Tottenham Hotspur membayar lebih dari £110 juta untuk keempat-empat pemain tersebut, namun mereka kini sepertinya mahu menjual kesemua mereka.

Manusia paling jujur dalam dunia bola sepak, Fabrizio Romano mendedahkan yang Tottenham Hotspur sememangnya berhasrat mahu menjual keempat-empat pemain tersebut andai ada kelab yang berminat.

“Antonio Conte mahu mereka mencari jalan penyelesaian baru pada musim panas ini, secepat yang mungkin.”

Jelas Romano di laman twitter miliknya.

Reguilon merupakan antara nama yang tak disangka-sangka akan dilepaskan oleh pihak kelab bersama tiga pemain tersebut.

Pemain left back Sepanyol itu telah mempamerkan aksi persembahan yang sungguh menakjubkan bersama kelab sejak awal beliau ditandatangani dari Real Madrid pada tahun 2020 yang lalu.

Beliau telah membuat 67 penampilan dari semua pertandingan sepanjang dua musim bersama Spurs.

Lo Celso sementara itu sukar untuk mendapatkan tempat dalam skuad utama dengan beliau turut dipinjamkan ke Villarreal pada suku kedua musim lalu.

Kelab dari Sepanyol itu dikatakan sangat berminat mahu menandatangani bintang Argentina itu secara perjanjian tetap.

Produk akademi kelab, Harry Winks berpotensi untuk meninggalkan kelab selepas lapan tahun beraksi bersama skuad senior Tottenham Hotspur.

Pemain kebangsaan England itu hanya membuat sembilan penampilan sahaja bersama skuad utama Spurs dalam saingan Premier League musim lalu.

Beliau mungkin akan dijual pada musim panas ini dengan Everton dan Southampton berpotensi menjadi destinasi seterusnya untuk pemain midfield itu.

Sementara itu juga, Ndombele turut berpotensi untuk meninggalkan Tottenham Hotspur selepas tiga tahun beliau ditandatangani dengan yuran perpindahan bernilai £55 juta dari Lyon.

Pemain kebangsaan Perancis itu gagal untuk menepati ramalan ramai selepas ketibaannya ke Tottenham Hotspur Stadium, dan beliau pada musim lalu turut dipinjamkan semula ke Lyon.

Kelab dari saingan Ligue 1 itu walau bagaimanapun menolak untuk membeli Ndombele pada penghujung musim lalu, dan memulangkan semula beliau ke Spurs.

Ndombele walau bagaimanapun berpotensi untuk kembali ke negara asalnya, memandangkan PSG berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Selain empat pemain tersebut, Joe Rodon juga turut diketepikan dari skuad ke Korea Selatan kerana beliau sedang mengambil cuti sakit.

Bintang muda, Alfie Devine dan Dane Scarlett turut diberi kesempatan untuk mendapatkan lebih banyak minit permainan, selepas mereka menunjukkan aksi yang menakjubkan dalam saingan European U19 bersama skuad England.

Penandatanganan terbaru kelab, Clement Lenglet turut tidak menyertai skuad Tottenham Hotspur ke Korea Selatan kerana urusan dokumen beliau masih belum disempurnakan.

Tottenham Hotspur bakal bertemu kesebelasan terbaik K-League pada pembukaan pra-musim ini, sebelum bertemu Sevilla pada 16 Julai nanti.

Spurs bakal melayan kunjungan Southampton pada 6 Ogos nanti dalam aksi perlawanan pembukaan saingan Premier League.

Tottenham Hotspur merupakan antara pasukan yang paling aktif pada jendela perpindahan musim panas ini dan jelas sekali mereka bakal menjadi antara pasukan kegemaran pada musim hadapan.

Peminat percaya yang Tottenham Hotspur akan mampu untuk setidak-tidaknya memenangi satu Piala pada musim baharu nanti, selepas melihat persediaan mantap mereka pada jendela perpindahan musim panas ini.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Kelab Misteri Cuba 'Hijack' Kane Daripada Bayern Munich Dengan Tawaran Lebih Lumayan