Kelab Misteri Cuba ‘Hijack’ Kane Daripada Bayern Munich Dengan Tawaran Lebih Lumayan

Urusan pembelian Harry Kane di antara Bayern Munich dan Tottenham dilaporkan secara tiba-tiba melibatkan pihak ketiga, membabitkan sebuah kelab misteri yang tidak dinamakan.

Kelab misteri tersebut dikatakan telah menawarkan kontrak belakang pintu yang lebih lumayan berbanding jumlah yang ditawarkan Bayern Munich untuk menghalang Harry Kane meninggalkan Tottenham, dengan syarat pemain itu menyertai mereka sebagai ejen bebas pada musim panas akan datang.

Bayern Munich baru-baru ini dilaporkan telah mencapai persetujuan dengan Tottenham untuk mendapatkan Kane dengan nilai £86.4 juta.

Walaupun demikian, Sky Sports melalui satu laporan berasingan mendedahkan Kane berkemungkinan akan kekal bersama Tottenham dan memadam hasrat untuk menyertai juara Bundesliga Jerman itu.

Laporan oleh Sky Sport tiba setelah media Jerman, Bild mendedahkan campur tangan pihak ketiga yang menawarkan pra kontrak kepada Kane.

Cubaan kelab misteri itu untuk meyakinkan Kane bagaimanapun gagal setelah penyerang antarabangsa England itu akhirnya memutuskan untuk menerima tawaran kontrak 4 tahun untuk menyertai Bayern Munich.

Pada ketika ini identiti sebenar kelab misteri itu tidak dinamakan walaupun seperti semua sedia maklum Manchester United adalah antara kelab yang dikaitkan dengan Kane sebelum ini.

Menurut laporan daripada The Guardian, United menarik diri daripada mendapatkan Kane pada musim panas ini kerana permintaan yang terlampau tinggi oleh Tottenham, selain kesukaran untuk berunding dengan pengerusinya, Daniel Levy.

Berdasarkan fakta tersebut, tidak mustahil Erik Ten Hag dan United cuba untuk mendapatkan Kane pada musim panas akan datang dengan mendatangkan pemain itu secara percuma – setelah kontrak bersama Tottenham tamat pada Jun 2024.

Beberapa hari lalu bekas pemain dan pundit, Gary Neville dengan nada yakin turut berkata Kane akan menolak perpindahan ke Bayern Munich untuk menyertai Man Utd pada musim panas akan datang.

Perpindahan Kane ke Bayern Munich juga hampir tidak menjadi setelah Kane turut dilaporkan sedia untuk kekal bersama Tottenham selepas permulaan positif di bawah kendalian pengurus baharu, Ange Postecoglu.

Postecoglu sebelum ini cuba memujuk penyerang berusia 30 tahun itu kekal di kelab London itu dan bersedia membantu Kane memecah rekod jaringan sepanjang zaman Premier League yang kini dipegang oleh Alan Shearer.

BACA:  Man Utd Semakin Hampir Pasti Bakal Mendapatkan Pemain Sayap Bernilai £40 Juta