Mengapa Bayern Munich Begitu Teruja Berjaya Dapatkan Penyerang Seperti Harry Kane?

Selepas dikatakan ragu-ragu dan hampir membuat keputusan kekal bersama Tottenham, Harry Kane akhirnya menerima lamaran Bayern Munich selepas kedua-dua kelab mencapai persepakatan harga untuk penyerang England itu.

The Athletic melaporkan Kane akhirnya menerima lamaran Bayern Munich yang turut diikuti oleh kontrak selama 4 tahun.

Pada masa ini pemain penyerang itu sedang menunggu lampu hijau daripada Tottenham untuk terbang ke Munich untuk pemeriksaan kesihatan.

Laporan daripada The Athletic turut mendedahkan Tottenham akhirnya menerima bidaan bernilai £86.4 juta daripada Bayern setelah sebelum ini beberapa bidaan daripada kelab Bundesliga itu telah ditolak.

Kane sebelum ini mahu kedua-dua kelab menyelesaikan isu perpindahan ini sebelum bermulanya musim Premier League, dan turut terbuka untuk kekal di kelab London itu.

Ini setelah pemain itu dikatakan selesa dengan kehidupan baharu di bawah pengurus Ange Postecoglu. Namun kini akhirnya memutuskan untuk meninggalkan kelab yang disertainya sejak usia remaja.

Malah Kane turut menyinar sepanjang latihan dan perlawanan pra musim di Australia dan Singapura bersama Tottenham – termasuk meledak 4 gol ketika membantu pasukannya itu menewaskan Shaktar Donetsk 5-1 pada Ahad lalu.

Kane akan meninggalkan Tottenham sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman kelab itu dengan 280 gol daripada 435 penampilan.

Mengapa Bayern Munich sanggup labur mahal untuk Kane?

Sangat mudah untuk melihat mengapa jaguh dari Jerman itu menjadikan Kane sebagai sasaran utama kelab di jendela perpindahan pemain pada musim panas ini.

Memiliki pemain seperti Kane adalah seperti memiliki dua pemain di dalam satu: seorang pemain yang memiliki sentuhan penyudah tajam di dalam kotak penalti, dan seorang pemain yang mempunyai kualiti untuk membantu pasukan mengawal penguasaan bola kerana turut memiliki kepantasan.

Ini adalah dua kualiti yang tidak dimiliki oleh Bayern di kalangan pemain penyerang mereka sejak Robert Lewandowski menyertai Barcelona semusim yang lalu.

Malah tidak keterlaluan jika Kane disifatkan mempunyai kualiti yang lebih baik berbanding Lewandowski.

Kebiasaannya Kane begitu aktif di kawasan half-spaces ketika pasukan berada di fasa serangan dan sentiasa cuba melakukan hantaran maut yang mampu menewaskan garis akhir pasukan lawan setiap kali memiliki penguasaan bola.

Ini bermakna Kane bukanlah secara tipikal adalah seorang penyerang yang hanya menunggu bola dihantar kepadanya di hadapan gawang.

Penglibatan Kane di dalam permainan turut memberikan peluang kepada pemain lain/ rakan sepasukan untuk menghasilkan jaringan.

Dengan baki kontrak hanya setahun bersama Tottenham dan pada usia 30 tahun, Kane dilihat sebagai pelaburan yang mahal oleh Bayern Munich.

Tetapi dengan kualiti yang dimiliki oleh pemain itu, ia juga mungkin menjadi pelaburan yang amat berbaloi untuk tempoh empat musim seterusnya bagi Bayern Munich.

BACA:  Jack Wilshere Kembali Sertai Pasukan Kebangsaan England Selepas 2 Tahun Dipinggirkan