Masa Depan Harry Kane Bakal Dimuktamadkan Isnin Hadapan

Tottenham telah menukar tarikh pertemuan dengan wakil dari Bayern Munich pada Isnin akan datang untuk duduk berbincang mengenai potensi penjualan Harry Kane.

Daniel Levy sebelum ini dipercayai telah membatalkan pertemuan asal pada Jumaat lalu untuk berbincang dengan Jan-Christian Dreesen dan Marco Neppe. Perbincangan tersebut bagaimanapun akan diadakan pada Isnin hadapan.

Spurs dikhabarkan turut menaruh minat terhadap penyerang Bayern, Mathys Tel yang berkemungkinan besar akan turut dibincangkan di dalam pertemuan tersebut.

Penyerang berusia 18 tahun itu sebelum ini telah menolak beberapa tawaran untuk meninggalkan kelab Bavarian itu.

Kane masih mempunyai baki kontrak setahun bersama Tottenham dan pihak kelab menjangkakan bidaan ketiga datang daripada Bayern pada beberapa hari akan datang.

Kelab Jerman itu juga dikatakan bersetuju untuk menawarkan Kane konyrak empat tahun dan turut berminat mendatangkan rakan sepasukan di dalam skuad England, Kyle Walker.

Kesungguhan Bayern mendapatkan Kane di jendela perpindahan musim panas ini dilaungkan sendiri oleh Presiden kelab, Herbert Hainer secara terbuka pada minggu lalu.

Hainer berkata kejayaan mendapatkan pemegang rekod penjaring gol England itu akan memberi makna yang besar kepada Bundesliga.

Walaupun dengan baki kontrak hanya semusim, Bayern dijangka terpaksa memecah rekod perpindahan kelab itu untuk mendapatkan Kane dengan bayaran sekitar £100 juta.

BACA:  Robert Lewandowski Mahu Cabaran Baru dan Bakal Tinggalkan Bayern Munich