Harry Kane Akan Sambung Kontrak Bersama Tottenham Dengan Syarat

Harry Kane dilaporkan bersedia untuk menandatangani kontrak baharu untuk kekal bersama Tottenham sekiranya perpindahan beliau ke Bayern Munich tidak menjadi kenyataan.

Penyerang berusia 30 tahun itu menegaskan dia akan kekal bersama Spurs sekiranya berada di dalam kesebelasan utama menentang Brentford di hari pertama saingan baharu Premier League pada 13 ogos hadapan.

Kane membuat keputusan itu kerana berpendapat ia tidak adil buat Ketua Jurulatih, Ange Postecoglu sekiranya dia meninggalkan kelab itu selepas musim baharu bermula.

Dan sekiranya dirinya kekal bersama Tottenham melangkaui musim panas ini, Kane turut akan mempertimbangkan menerima kontrak baharu dari kelab London itu dengan syarat Spurs menampilkan peningkatan prestasi seperti yang dikehendakinya di bawah kendalian Postecoglu.

Setakat ini pengurus Jerman Thomas Tuchel enggan mendedahkan apa-apa maklumat mengenai usaha Bayern mendapatkan Kane.

Kelab Bavarian itu berhadapan kesukaran untuk mencapai kata sepakat dengan Spurs sepanjang musim panas ini. Kontrak Kane berbaki semusim, dan juara Jerman itu juga terdesak untuk memperkuatkan posisi serangan menuju saingan musim hadapan.

Walaupun demikian, sekurang-kurangnya delegasi daripada kelab Jerman itu berjaya memujuk pengerusi kelab, Daniel Levy untuk duduk berbincang mengenai perpindahan Kane pada Isnin lalu.

Bidaan ketiga melebihi £85 juta dijangka akan dilakukan oleh Bayern walaupun difahamkan Levy masih mahukan sekitar £100 juta untuk pemain yang dianggap sebagai aset kelab paling berharga itu.

Tuchel yang pernah mencetuskan kemarahan Levy kerana menemui dan berbincang dengan Kane tanpa pengetahuan kelab sekadar berkata: “Tiada komen,” ketika ditanya mengenai perkembangan terbaru Kane.

Pada masa yang sama Spurs juga sedang sibuk untuk mencari pengganti sekiranya Kane meninggalkan kelab itu untuk ke Bayern pada masa terdekat.

Penyerang muda Bayern, Mathys Tel adalah antara yang disebut bakal menggantikan Kane, tetapi pemain itu dilaporkan enggan meninggalkan kelab Jerman itu pada masa terdekat.

Penyerang Genk, Gift Orban adalah seorang lagi pemain penyerang yang turut dikaitkan dengan Spurs.

Laporan dari UK turut mengatakan Tottenham akan membida penyerang Nottingham Forest, Brennan Johnson sekiranya membenarkan Kane pergi.

BACA:  Kelayakan Europa League: Tottenham Hotspur 7-2 Maccabi Haifa