Pengurus Arsenal, Arsene Wenger menasihatkan Jose Mourinho supaya belajar untuk hidup dengan kekayaan Manchester City yang bernafsu besar dalam pasaran perpindahan.
Wenger berkata demikian ketika diminta untuk memberikan pendapatnya mengenai rungutan Mourinho terhadap perbelanjaan Manchester City dalam membeli pemain.
Untuk rekod, Mourinho telah membelanjakan hampir £261juta sejak mengambil alih jawatan pengurus di Old Trafford pada musim panas 2016. Dalam sidang media kelmarin, Mourinho mengakui United tidak akan mampu bersaing dengan kuasa beli yang dimiliki Manchester City.
Wenger hanya tersenyum sinis selepas diberitahu mengenai apa yang keluar dari mulut Mourinho itu. Beliau memberitahu dirinya terpaksa berdepan situasi kewangan yang terhad sepanjang 21 tahun menjadi pengurus Arsenal dan beliau tidak akan sekali-kali merungut mengenai perkara tersebut sekarang.
“Saya sudah 21 tahun berada dalam situasi tersebut dan saya tidak akan merungut sekarang. Terdapat 3 atau 4 pasukan yang lebih kaya daripada saya [Arsenal]. Saya mesti belajar bagaimana untuk menangani masalah tersebut.”
“Pada pendapat saya, perkara paling penting adalah kamu harus menghadapi situasi tersebut sebaik yang mungkin. Betul, Manchester City lebih kaya dari Arsenal. Betul, Chelsea lebih kaya dari Arsenal dan Manchester United juga lebih kaya dari Arsenal. Tetapi saya masih percaya kami akan mampu mencari jalan untuk meraih kejayaan.”
Dalam perkembangan lain, Wenger tidak menolak kemungkinan memasuki pasaran Januari nanti untuk mendapatkan pemain baru, tetapi berkata beliau mungkin lebih sibuk melayan pertanyaan kelab luar untuk mendapatkan khidmat pemain simpanan Arsenal.
Salah seorang pemain yang termasuk dalam kategori tersebut adalah pemain pertahanan tengah, Calum Chambers. Wenger mengakui Chambers mungkin dibenarkan berpindah secara pinjaman apabila tirai perpindahan pemain dibuka Januari nanti.
“Betul, saya akan sibuk apabila Januari tiba. Itu kerana saya harus melayan kelab luar yang mahu mendapatkan pemain saya secara pinjaman atau terus membelinya. Walaupun demikian, saya masih terbuka dengan sebarang kemungkinan untuk memperkuatkan pasukan saya.”
Salah seorang pemain utama Arsenal, Jack Wilshere bakal tamat kontraknya hujung musim ini, sama seperti Alexis Sanchez dan Mesut Ozil. Wilshere boleh berbincang dengan mana-mana kelab yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya masuk Januari ini.
Memandangkan situasi tersebut. Wenger berkata beliau akan duduk berbincang dengan pihak Wilshere untuk melanjutkan kontraknya yang bakal tamat dalam masa 6 bulan sahaja lagi.
“Saya percaya jika kami mampu mencapai satu kata sepakat mengenai isu kewangan kontrak tersebut, Wilshere akan terus kekal bersama Arsenal.”