Barcelona Tawarkan Pertukaran Pemain Dengan United Untuk Dapatkan Van De Beek

Barcelona dilaporkan mahu mendapatkan Donny Van De Beek pada musim panas ini dengan mereka menawarkan Samuel Umtiti kepada Manchester United.

Ia merupakan kaedah pertukaran pemain yang bijak dari Barca dengan meminta pemain yang kurang dipakai oleh Manchester United, dan memberikan pemain yang membebankan mereka kepada setan merah.

Van de Beek tidak begitu menikmati musim debutnya di Old Trafford pada musim lalu dengan beliau lebih banyak menghabiskan masa untuk memanaskan bangku simpanan.

Beliau sangat tekad untuk berjuang mendapat tempat dalam kesebelasan utama United, namun media penerbitan Sepanyol, SPORT melaporkan yang ramai pihak mempertikaikan keputusan bintang Belanda itu untuk sertai setan merah.

Gergasi Catalan itu sudah mengkaji keputusan mereka dan merasakan dengan menghantar Umtiti ke Old Trafford, pihak kelab akan dapat seimbangkan kedudukan ekonomi kelab.

Namun begitu, Manchester United pula tidak menunjukkan minat mereka untuk mendapatkan khidmat Samuel Umtiti pada ketika ini.

Pemain kebangsaan Perancis itu sering dibelenggu dengan masalah kecederaan dalam beberapa musim kebelakangan ini dengan beliau hanya beraksi 13 perlawanan sahaja dalam aksi saingan La Liga musim lalu.

Beliau sebelum ini pernah dianggap sebagai prospek masa hadapan yang hebat dan menakjubkan, namun usianya pada ketika ini sudah berusia 27 tahun dan mempunyai rekod kecergasan yang sangat teruk.

Barcelona pula ketika ini mengalami masalah terlebih perbelanjaan dari segi pembayaran gaji pemain dan mereka perlu mengurangkan gaji pemain sedia ada, untuk mendaftarkan pemain baru.

Barcelona perlu melakukan hal tersebut untuk mereka mendaftarkan pemain seperti Sergio Aguero, Eric Garcia dan Memphis Depay.

Lionel Messi pula sudah bersetuju untuk menandatangani perjanjian baru selama lima tahun dan sanggup menerima pemotongan gaji, namun beliau masih belum boleh menandatangani perjanjian tersebut kerana masalah kelab terlebih perbelanjaan.

Antoine Griezmann dilihat sebagai calon kegemaran yang bakal dikorbankan. Pihak kelab sedang berunding dengan bekas kelabnya, tentang kebarang kalian untuk beliau kembali ke Atletico Madrid.

Menurut laporan SPORT, Clement Lenglet, Sergio Dest dan Samuel Umtiti antara nama yang sudah disenaraikan untuk dijual/ dilepaskan dari Nou Camp pada minggu ini.

Pemain centre-back, Clement Lenglet telah turun beraksi sebanyak 29 perlawanan untuk Barcelona dalam saingan La Liga musim lalu.

Beliau juga turut tersenarai dalam skuad 26 pemain Perancis yang menyertai saingan Euro 2020 baru-baru ini.

Walau bagaimanapun juga, beliau gagal untuk meyakinkan pengurusan kelab dek kerana hanya membuat satu penampilan sahaja bersama skuad kebangsaan dan telah mempamerkan aksi permainan yang teruk dalam perlawanan tersebut.

Lenglet turun beraksi ketika skuad kebangsaan Perancis dikejutkan dengan kekalahan menerusi penentuan sepakan penalti bertemu Switzerland di pusingan 16 terbaik.

Penandatanganan baru dari Manchester City, Eric Garcia akan diturunkan dalam skuad utama dan akan digandingkan dengan Gerard Pique pada musim hadapan.

Namun begitu, untuk memastikan hal tersebut berlaku, Barcelona harus terlebih dahulu mendaftarkan Garcia sebelum jendela perpindahan ditutup.

Arsenal walaupun baru sahaja menandatangani Ben White dari Brighton, mereka dilaporkan turut berminat untuk mendapatkan khidmat pemain berusia 26 tahun itu.

Selain Arsenal, seteru utama mereka, Tottenham Hotspur turut berminat untuk menandatangani Clement Lenglet walau pemain itu sendiri tidak mahu meninggalkan Barca.

Dest baru sahaja menyertai Barcelona dari Ajax pada musim panas lalu, namun laporan sama menyatakan yang pihak kelab tidak berpuas hati dengan prestasi yang beliau tunjukkan dalam musim pertamanya.

Skuad kendalian Ronald Koeman juga sudah menandatangani Emerson dari Real Betis, maka mereka jelas sudah mempunyai calon pemain untuk mengisi kekosongan di posisi right back.

Bayern Munich yang telah dikaitkan dengan bakal menandatangani Dest sebelum beliau ditandatangani oleh Barca, turut berminat untuk mendapatkan beliau dari Barcelona.

Inter Milan juga dilaporkan sangat berminat untuk menandatangani Dest dalam usaha mereka untuk mendapatkan pengganti kepada Achraf Hakimi yang sudah melengkapkan perpindahannya menyertai Paris Saint Germain.

Sementara Umtiti pula beliau memilih untuk tidak mahu dijual dan dalam masa yang sama tidak mahu menerima pemotongan gaji di Nou Camp, dan ia jelas memberi masalah kepada Barca untuk menghalau bekas pemain centre-back Lyon itu.

Barcelona mengakhiri saingan La Liga musim lalu di kedudukan ketiga dan Ronald Koeman kini sedang berusaha untuk memantapkan skuadnya bagi menghadapi saingan musim baru nanti.

United jelas tidak mahu menandatangani Umtiti kerana mereka sepertinya sudah mempunyai pemain sasaran tersendiri, dan bintang Barca itu bukan salah seorang darinya.

VDB mahukan minit permainan

Setan merah baru sahaja menandatangani Jadon Sancho pada musim panas ini dan mereka pada ketika ini sedang dalam rundingan untuk tandatangani pemain pertahanan.

Setan merah sepertinya sudah hampir pasti untuk menandatangani pertahanan Real Madrid yang dianggap sebagai salah seorang pemain pertahanan terhebat dunia ketika ini, Raphael Varane.

Pemain berusia 28 tahun itu ketika ini berada di tahun terakhirnya bersama kelab dan beliau sudah memutuskan untuk mencari cabaran baru selepas menghabiskan 10 tahun kariernya di Sepanyol.

Madrid sebelum ini sudah melepaskan Sergio Ramos untuk sertai Paris Saint Germain secara percuma dan mereka tentunya mahu mendapatkan keuntungan dari penjualan Varane.

United kebiasaannya menggandingkan Harry Maguire bersama Victor Lindelof namun pimpinan dan pengurusan kelab sedar mereka memerlukan pemain lebih berpengalaman untuk digandingkan bersama ketua pasukan mereka.

Varane telah memenangi empat kali gelaran Champions League bersama Real Madrid dan beliau juga telah berjaya memenangi gelaran Piala Dunia bersama Perancis pada 2018 yang lalu.

Pengurus setan merah, Ole Gunnar Solskjaer telah ditanya tentang perpindahan tersebut selepas tamat aksi kemenangan 2-1 United menewaskan Derby County dalam perlawanan persahabatan kemarin.

Sancho dijangka akan diumumkan secara rasmi sebagai penandatanganan kedua kelab selepas Tom Heaton, namun Solskjaer masih tidak mahu ulas tentang hal tersebut.

“Masih ada beberapa hal yang perlu kami lakukan tapi kami masih berharap agar kami akan mampu untuk umumkan salah seorang pemain yang dah ramai orang bercerita tentang dia sekarang. Kami sedang berusaha, kami mahu skuad yang hebat dan kuat.”

Jelas Ole Gunnar Solskjaer kepada Sky Sports.

“Saya tak rasa ia satu rahsia, kita sudah ada perjanjian dengan Borussia Dortmund, tapi selagi semuanya tak selesai, dia masih lagi pemain Borussia Dortmund.”

Ketika ditanya tentang Raphael Varane, Ole menjawab:

“Sama juga”.

Sumber: SB

BACA:  Man United Tawarkan Van de Beek Untuk Dapatkan Pemain Midfield Baru