Baru Sehari Kendalikan Latihan, Jose Mourinho Sudah Singkir Lapan Pemain AS Roma

Seperti yang diketahui ramai, bekas pengurus terbaik dunia, Jose Mourinho kini bergelar pengurus di kelab Serie A, AS Roma. Dia menyertai kelab Itali tersebut selepas dipecat kelab Liga Perdana Inggeris, Tottenham Hotspur, lima hari sebelum pasukan tersebut bermain di perlawanan akhir Piala Liga menentang Manchester City pada bulan April.

Kini bersama kelab baru, Mourinho sudah meletakkan dirinya di posisi yang menjadi perhatian ramai apabila dia dikatakan telah menyingkirkan seramai lapan pemain pasukan utama kelab tersebut, hanya pada hari pertama dalam latihan pra-musim.

AS Roma melalui musim yang suram pada 2020-21 di mana mereka menamatkan saingan liga di tangga ketujuh dan disingkirkan daripada saingan Liga Europa oleh bekas kelab Mourinho, Manchester United.

Menggantikan Paulo Fonseca, tugas pengurus berusia 58 tahun itu bermula secara rasminya pada 1 Julai 2021.

Menurut laporan Sky Sport Italia, pengurus berbangsa Portugis tersebut telah melarang lapan pemain daripada menyertai latihan pertama skuad Roma, dengan alasan mereka tidak ada dalam perancangannya.

Salah satu daripada pemain tersebut adalah penyerang sensasi Justin Kluivert, yang dibeli dari Ajax dengan nilai pendahuluan £15.16 juta pada tahun 2018.

Bekas pemain Chelsea dan Barcelona, Pedro, juga muncul sebagai salah seorang pemain yang diberitahu bahawa dia sudah boleh meninggalkan pasukan ibu kota Itali tersebut.

Menurut Sky Sport Italia lagi, baki enam pemain yang disingkir adalah Ante Coric, Robin Olsen, Davide Santon, Javier Pastore, Steven Nzonzi dan Federico Fazio.

Mourinho yang menjadi pengulas bola sepak selepas dipecat Spurs dipercayai bakal berbelanja membeli beberapa pemain dalam jendela perpindahan musim panas tahun ini.

Bekas pengurus Inter Milan dan Real Madrid itu dilaporkan sangat berminat untuk membawa masuk penjaga gol Wolverhampton Wanderers dan Portugal, Rui Patricio untuk menggantikan Pau Lopez.

Satu lagi pemain yang berada dalam radar Mourinho adalah bekas kapten Arsenal, Granit Xhaka dan perpindahan ini dikatakan berkemungkinan besar akan berlaku selepas Xhaka tampil cemerlang bersama skuad Switzerland dalam kempen Euro 2020 yang baru sahaja melabuhkan tirai.

Bercakap kepada pemberita pada hari Khamis lalu, pengurus Roma tersebut mendakwa dia belum bercakap dengan pembesar kelab tentang pembelian pemain baharu musim panas nanti.

“Aku belum bercakap lagi dengan siapa-siapa [tentang pemain yang bakal sertai Roma],” ujar Mourinho.

“Kau boleh pilih nak percaya sama ada aku cakap ni betul atau tidak, tapi aku tak ada cakap dengan siapa-siapa pun lagi.

“Aku bercakap dengan Tiago Pinto [pengurus besar AS Roma], aku bercakap dengan pemilik, aku bercakap dengan ramai orang dalam kelab…tapi dalam bab pemain, aku belum sembang lagi dengan diorang.”

Jose Mourinho di latihan Roma
Henrikh Mkhitaryan(belakang) kini bertemu semula Jose Mourinho di AS Roma

Selain daripada menyingkirkan pemain, Mourinjo juga dikatakan telah memperkenalkan beberapa peraturan pra-musim baharu di kelab tersebut.

Pertamanya, dia telah meminta pengurusan kelab untuk mengadakan latihan pra-musim di luar Itali, dengan tujuan untuk mendapatkan hak privasi semaksimum mungkin bagi pemain-pemainnya.

Pemilik Roma, Kumpulan Friedkin, dikatakan telah bersetuju untuk membawa pasukan tersebut berlatih di Styria, Austria.

Selain itu, Mourinho juga dikatakan telah meminta perlawanan persahabatan sebanyak tiga kali seminggu sepanjang tempoh latihan pra-musim. Walaubagaimanapun permintaan ini mungkin tidak dapat ditunaikan kerana kempen musim baharu Roma akan bermula pada bulan Ogos.

Ini berikutan pasukan Roma akan bertanding dalam pertandingan baharu – Liga Konferens UEFA (UEFA Conference League) ekoran kedudukan terakhir mereka di tangga ketujuh di dalam liga.

Pasukan tersebut akan memulakan pusingan kelayakan sama ada pada 19 Ogos ataupun 26 Ogos.

Mourinho sebelum ini menyatakan bahawa dia memilih Roma kerana kerana sokongan yang mendalam daripada penyokong Roma. Bercakap dalam satu kenyataan rasmi kelab, Mourinho berkata;

“Terima kasih kepada keluarga Friedkin memilih aku untuk mengepalai kelab yang hebat ini dan menjadi sebahagian daripada visi mereka.

“Selepas bermesyuarat dengan pemilik dan Tiago Pinto, aku terus faham secara keseluruhannya apakah cita-cita AS Roma.

“Ia adalah cita-cita yang sama dan keinginan yang selalu memotivasikan aku dan bersama kita mahu membina projek yang juara dalam masa beberapa tahun yang akan datang.

“Sokongan yang mendalam daripada penyokong Roma telah meyakinkan aku untuk menerima tawaran kerja dan aku tak sabar nak mula.

“Buat masa sekarang, aku ucapakan selamat maju jaya kepada Paulo Fonseca dan aku berharap media akan faham yang aku hanya akan bercakap lebih banyak lagi nanti-nanti. Daje Roma!”

Sumber : SB dan SB

BACA:  Mourinho: Pengadil Sepatutnya Berikan Kami Penalti