Berita Baik Buat Peminat Brazil, Neymar Dijangka Kembali Beraksi Dalam Masa Sebulan

Penyerang sensasi Paris Saint-Germain, Neymar berkata beliau bakal kembali beraksi dalam masa sebulan sahaja lagi selepas mengalami kecederaan pada bulan Februari lalu.

Ini bermakna juara dunia 5 kali, Brazil bakal mempunyai bintang utama mereka sihat dan cergas bagi menghadapi Piala Dunia 2018 yang bakal berlangsung di Russia pada musim panas nanti.

PSG rindukan kelibat Neymar

Bekas pemain Barcelona ini mengalami kecederaan serius ketika beraksi untuk PSG dalam aksi Ligue 1 menentang musuh ketat, Marseille. Tulang Neymar dilaporkan patah selepas diterjah pemain lawan yang memaksanya menjalani pembedahan bagi mempercepatkan proses penyembuhan.

PSG turut mengeluarkan satu kenyataan Jumaat lalu yang proses rehabilisasi Neymar berlangsung dengan baik dan pengurus pasukan, Unai Emery berkata Neymar akan sempat bermain sebelum musim ini tamat.

Perlawanan terakhir PSG dalam Ligue 1 adalah menentang Caen pada 19 Mei tetapi Neymar mendakwa perlawanan itu mungkin terlalu awal untuknya beraksi. Tetapi Neymar yakin beliau akan kembali beraksi mengikut jadual yang ditetapkan tanpa sebarang komplikasi.

Neymar bersama ibunya sebelum menjalani pembedahan Mac lalu

Ini bermakna Neymar mungkin tidak akan terlibat dalam mana-mana perlawanan pra-Piala Dunia Brazil yang dijadualkan berlangsung pada hujung bulan Mei dan awal Jun. Perlawanan pertama Brazil dalam Piala Dunia 2018 adalah menentang Switzerland pada 17 Jun.

Ketika ditemuramah stesen TV dari Brazil TV Globo, Neymar telah ditanya bilakah beliau akan kembali beraksi.

“Saya masih perlu berehat sebulan lagi. Proses penyembuhan berlangsung dengan baik. Semuanya berjalan dengan amat baik.”

Sejak menyertai PSG musim panas lalu dengan rekod perpindahan dunia, Neymar telah mempamerkan prestasi yang baik dan berjaya membentuk gandingan serangan yang jitu bersama-Edinson Cavani dan Kylian Mbappe.

Akan tetapi, Neymar sering dikaitkan dengan perpindahan kembali ke Sepanyol untuk beraksi bersama seteru utama Barcelona, Real Madrid. Menguatkan lagi spekulasi tersebut adalah laporan yang mengatakan beliau tidak mempunyai hubungan yang baik dengan Cavani dan tidak gembira dengan kehidupannya di Perancis.

Pemain berusia 26 tahun ini juga teruk dikritik kerana didakwa cuba membandingkan dirinya dengan ahli fizik tersohor dunia yang baru sahaja meninggal dunia, Stephen Hawking dalam satu gambar di laman sosialnya.

Jangan risau peminat Brazil. Neymar bakal beraksi untuk negaranya di Russia nanti

“Saya sudah biasa dengan kecaman dan perhatian terhadap saya. Apabila anda sampai ke satu tahap, semua perkara yang anda cakap akan menjadi perkara yang besar dan mampu memakan diri. Jadi, saya perlu lebih berhati-hati dengan apa yang saya letakkan di media sosial.”

“Banyak perkara saya sudah belajar sepanjang karier saya. Saya telah melakukan banyak kesilapan tetapi saya tidak pernah menyesal dengan perkara tersebut. Saya tidak mahu mengubahnya.”

“Saya belajar dan membesar dari kesilapan yang pernah saya lakukan. Kesilapan itu telah menjadikan saya pemain yang anda lihat hari ini.”

BACA:  Piala Dunia 2022: Brazil 4-1 Korea Selatan