Bolt Terkejut Diminta Jalani Ujian Dadah Walaupun Belum Bergelar Pemain Profesional

Pemegang rekod dunia lari 100 meter, Usain Bolt meluahkan perasaan terkejutnya apabila diminta untuk menjalani ujian saringan dadah walaupun telah bersara dari acara balapan dan belum lagi menandatangani sebarang kontrak untuk bergelar pemain bola sepak profesional.

Bolt kini sedang berada di Australia untuk mencuba nasib menyertai sebuah kelab yang beraksi di A-League, Central Coast Mariners. Beliau masih lagi belum menandatangani kontrak profesional untuk bermain dengan kelab tersebut walaupun berjaya menjaringkan dua gol dalam perlawanan ujian minggu lalu.

Bolt terkejut diminta jalani ujian saringan dadah. Takut kantoi ke?

Pemenang 8 pingat emas Olimpik itu bersara dari sukan atletik tahun lepas bagi menumpukan perhatiannya bergelar pemain bola sepak. Beliau pernah menjalani ujian bersama Borussia Dortmund namun masih lagi gagal mencuri perhatian mana-mana kelab setakat ini.

Walau bagaimanapun, Bolt terkejut apabila diminta untuk menjalani ujian saringan dadah oleh Persekutuan Bola Sepak Australia walaupun belum bergelar pemain profesional lagi.

“Saya sudah bersara dari acara trek balapan dan sedang berusaha untuk menjadi pemain bola sepak profesional tetapi cuba lihat notis ini [sambil memfokuskan video terhadap notis tersebut].”

Notis tersebut dikeluarkan oleh Persekutuan Bola Sepak Australia yang meminta sampel darah dan air kencing Bolt.

Bolt mencipta nama di trek balapan tetapi mahu mencuba nasib sebagai pemain bola sepak profesional pada usia 32 tahun. 

“Bagaimana saya mahu menjalani ujian air kencing hari ini ? Saya masih lagi belum bergelar pemain bola sepak profesional. Serius la weiii.”

“Jadi saya ada bertanya minah ni. ‘Mengapa saya perlu menjalani ujian walaupun saya masih lagi belum menandatangani sebarang kontrak dengan mana-mana kelab ?’ Dan minah ni beritahu sebab saya adalah atlet elit, jadi saya perlu diuji. Okay la kalau macam tu.”

Walaupun Bolt tidak gembira dengan ujian dadah ini, dari segi undang-undang beliau perlu diuji menurut garis panduan yang dikeluarkan oleh Agensi Anti-Dadah Sukan Australia.

Garis panduan itu menyebut atlet sebagai individu yang bersaing dalam sebarang jenis sukan yang mempunyai polisi anti-doping.

Dalam perlawanan ujian minggu lalu, Bolt diletakkan sebagai penyerang utama Mariners bersama bekas pemain Aston Villa, Ross McCormack.

Ketika Mariners mendahului perlawanan 2-0, Bolt berjaya menjaringkan gol pertamanya untuk kelab tersebut menerusi gerakan dari sebelah kiri padang. Beliau membawa bola masuk ke dalam kotak penalti sebelum merembat bola dengan kencang untuk menewaskan penjaga gol Macathur South West United.

Kegilaan Bolt tidak berakhir di situ saja. Pada minit ke-67, Bolt berjaya menambah satu lagi gol untuk menjadikan kedudukan 4-0 selepas berlaku salah faham antara penjaga gol dan pemain pertahanan pihak lawan. Bolt mudah menolak masuk bola ke dalam gawang yang tidak dijaga dan meraikannya dengan tarian ‘Fortnite’.

Bolt nyata gembira dengan persembahan beliau dalam perlawanan tersebut dan berharap Mariners akan menandatangani beliau secara tetap bagi musim baru ini.

BACA:  Kenapa Australia Tidak Sertai Piala AFF?