Carragher Label ‘Lakonan’ Pemain PSG Sebagai Tindakan Yang Memalukan

Bekas pemain Liverpool dan England, Jamie Carragher mengkritik taktik kotor yang diguna pakai Paris Saint-Germain ketika menewaskan Liverpool dalam aksi peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah awal pagi tadi.

Carragher yang kini bekerja sebagai pengulas sukan di Sky Sports, mengutuk aksi lakonan beberapa pemain PSG ketika Liverpool tumpas 2-1 dalam perlawanan yang berlangsung di Parc des Princes.

Pemain PSG patut berasa malu dengan lakonan mereka. Tak malu ke menipu kat atas padang ? Berguling macam orang nak mati

Kekalahan 2-1 Liverpool di tangan PSG ini menyebabkan peluang mereka untuk layak ke pusingan kalah mati bergantung sepenuhnya kepada perlawanan terakhir peringkat kumpulan menentang Napoli dua minggu lagi yang bakal berlangsung di Anfield.

Liverpool kini berada di kedudukan ke-3 dalam kumpulan, 3 mata di belakang pendahulu Napoli yang mengumpul 9 mata. PSG pula berada di tempat ke-2 dengan mengumpul 8 mata dan akan menentang Red Star Belgrade dalam aksi terakhir peringkat kumpulan.

Sekiranya PSG menang ke atas Red Star Belgrade, Liverpool wajib menang ke atas Napoli dengan jaringan 1-0 atau perbezaan dua gol sekiranya mahu layak ke peringat kalah mati.

Aksi normal bagi Neymar, pemenang Oscar bagi sukan bola sepak

Walaupun Liverpool diayamkan PSG hampir keseluruhan perlawanan awal pagi tadi, perkara yang menarik perhatian dan menaikkan api kemarahan Carragher adalah tindakan beberapa pemain PSG seperti Neymar dan Thiago Silva yang cuba meraih simpati pengadil dengan aksi lakonan mereka di atas padang.

“Saya sangat kecewa melihat aksi Neymar walaupun pada separuh masa pertama. Menonton persembahan Neymar dalam perlawanan tadi amatlah memalukan.”

“Kita sedang bercakap mengenai salah seorang pemain terbaik di dunia. Tetapi jika beliau terus menerus melakukan perkara seperti dalam perlawanan tadi sepanjang kariernya, Neymar akan diingati atas sebab yang salah.”

Nama je kapten, tapi main kotor macam Neymar

“Saya seperti hendak marah. Thiago Silva, seorang kapten dan pemain pertahanan tengah, juga berguling di penjuru padang. Mereka mempunyai pasukan yang hebat dan pemain yang hebat tetapi lakonan-lakonan seperti itu tidak diperlukan.”

“Pemain PSG sepatutnya berasa malu. Saya tak tahu bagaimana mereka dapat pulang ke rumah dan bercakap dengan keluarga selepas mempamerkan lakonan seperti tadi.”

“Berguling-guling di atas padang…. anda hanya dapat melihat situasi ini ketika kanak-kanak bermain di tadika.”

Carragher turut membincangkan peluang Liverpool untuk layak ke pusingan kalah mati. Walaupun yakin Liverpool mampu menewaskan Napoli, beliau tidak rasa Liverpool akan layak ke pusingan seterusnya.

“Saya jangka Liverpool akan menang ke atas Napoli tetapi saya tidak tahu sama ada mereka mampu menang dengan kelebihan dua gol atau tidak.”

“Pada tahun 2005, kami perlu menewaskan Olympiakos dengan kelebiha dua gol dan kami berjaya melakukannya.”

Jurgen Klopp dan anak buahnya perlu melupakan kekecewaan ini dengan secepat mungkin kerana mereka akan menghadapi Everton dalam aksi derby Merseyside hujung minggu ini.

BACA:  Neymar Hantar Peguam Dan Dana Bantu Dani Alves Keluar Penjara