Christian Eriksen Dipanggil Semula Sertai Pasukan Kebangsaan Denmark

Pemain tengah Brentford, Christian Eriksen, telah kembali ke pangkuan pasukan kebangsaan Denmark – sembilan bulan selepas disahkan meninggal dunia apabila mengalami masalah jantung ketika beraksi di pentas Kejohanan Eropah 2020.

Erikson yang kini berusia 30 tahun telah menandatangani kontrak jangka pendek bersama Brentford selepas bersetuju untuk menamatkan ikatannya bersama Inter Milan secara persetujuan bersama kerana peraturan Serie A yang melarang pemain yang menggunakan alat implantable cardioverter defibrillators (ICD).

ICD adalah sejenis alat kecil yang menggunakan bateri diletakkan di dalam dada untuk mengesan dan menghentikan sebarang degupan yang tidak sekara (arrythmias). ICD juga akan memantau degupan jantung dan menghantar renjatan elektrik, jika perlu, untuk mengembalikan degupan jantung yang normal.

ICD di dalam badan pemakai. Gambar : mayoclinic

Sepanjang bersama Brentford, Eriksen telah beraksi dalam tiga perlawanan, dan berada dalam kesebelasan utama pasukan tersebut dalam dua perlawanan – ketika menentang Norwich City dan Burnley. Dalam kedua-dua perlawanan tersebut, Brentford berjaya merekodkan kemenangan bergaya dan Eriksen telah berjaya menyumbang satu assist kepada Ivan Toney ketika menewaskan Burnley.

Eriksen tumbang ketika menyarung jersi Denmark dalam perlawanan pembukaan negaranya, menentang pasukan Finland pada 12 Jun dan pada bulan Disember lalu, dia telah berlatih di kelab Odense Boldklub – kelab yang dia mulakan karier remajanya.

Pada bulan Januari, Eriksen telah sertai latihan bersama kelab Ajax Amsterdam di Belanda, sebelum menyertai Brentford.

Berkenaan perpindahannya ke kelab London tersebut, Eriksen telah menyuarakan hasrat hatinya untuk kembali beraksi buat pasukan kebangsaan negaranya dan beraksi dalam Piala Dunia pelik di musim sejuk yang akan diadakan di Qatar pada hujung tahun ini.

“Sasaran aku adalah untuk beraksi di Piala Dunia di Qatar. Aku nak main. Memang itu yang aku rancang,” ujar Eriksen.

“Itu adalah matlamat, satu impian, sama ada aku akan dipilih atau tidak, itu cerita lain. Tapi impian aku adalah untuk kembali.

“Aku yakin aku boleh kembali sebab aku tak rasa perbezaan sangat. Secara fizikalnya, aku dah kembali ke tahap terbaik.”

Ketika Eriksen sedang berada dalam fasa pemulihan daripada masalah jantung, dia tidak dipanggil untuk bersama skuad Denmark pada bulan September dan November ketika negara Viking tersebut menempah tiket ke Qatar.

Setakat ini Eriksen telah bermain 109 kali buat negaranya dan menjaringkan 36 gol.

Dalam kalendar rehat antarabangsa ini, Denmark akan bermain dua perlawanan persahabatan – menentang Belanda pada 26 Mac dan juga Serbia tiga hari kemudian.

Tragedi ‘Kematian’ Christian Eriksen

Perlawanan menentang Denmark bukanlah perlawanan mudah buat Finland apabila terus diasak usai pengadil meniup wisel permulaan lagi.

Walaupun tanpa pengalaman di pentas besar, Finland mampu bertahan dengan baik dan empat percubaan tepat dari Denmark berjaya diselamatkan penjaga gol Finland, Lukas Hradecky.

Namun sesuatu yang tidak diingini terjadi apabila Christian Eriksen rebah tidak sedarkan diri.

Insiden tersebut berlaku pada penghujung babak pertama perlawanan, apabila pemain berusia 29 tahun itu menyambut bola lontaran ke dalam rakan sepasukan.

Eriksen kemudian dengan tidak semena-mena rebah dan tidak sedarkan diri sebelum menimbulkan panik pemain-pemain lain di dalam padang yang memanggil bantuan kecemasan.

Sepanjang rawatan dilakukan, pemain-pemain Denmark mengelilingi pemain itu. Selepas menerima bantuan daripada petugas perubatan, Eriksen berjaya disedarkan meskipun jantungnya telah berhenti buat seketika dan terus dibawa ke hospital dengan menaiki ambulans.

Pemain Lain Yang Mempunyai Masalah Sama Seperti Eriksen

Sergio Aguero telah dikejarkan ke hospital selepas mengadu mengalami ketidakselesaan dibahagian dada dan juga sesak nafas ketika beraksi menentang Alaves.

Pemain berusia 33 tahun itu telah dikeluarkan sebelum separuh masa pertama selepas menerima rawatan beberapa minit dalam perlawanan yang berlangsung di Nou Camp itu.

Ketika kejadian Sergio Aguero dilihat memegang dadanya dan dikejarkan ke hospital dengan ambulan untuk menjalani pemeriksaan jantung sebagai langkah berjaga-jaga.

Sergio Aguero bermain dari kesebelasan utama menentang Alaves dan perlawanan pertama buat pengurus interim, Sergi Barjuan yang mengisi kekosongan selepas Ronald Koeman telah dipecat.

Barcelona telah mengeluarkan kenyataan mengenai situasi Aguero dan mengesahkan pemain itu mengalami masalah jantung dan menurut wartawan Sport, Veronica Brunati hasil ujian mendapat Aguero didiagnos mengalami Cardiac Arrhythmia.

Rujukan :

ICD – mayoclinic
Eriksen – theathletic

BACA:  Man Utd Akan Lebih Huru-Hara Andai Mereka Tandatangani Christian Eriksen