Detik Beremosi Ketika Melihat Penyokong Spurs Meraikan Christian Eriksen

Christian Eriksen disambut penuh meriah oleh para penyokong Tottenham Hotspur ketika beliau beraksi untuk Brentford bertemu bekas kelabnya itu awal pagi tadi.

Bintang Denmark itu diturunkan dalam kesebelasan utama Brentford ketika aksi terikat 0-0 bertemu Tottenham Hotspur di Brentford Community Stadium itu.

Eriksen menghabiskan karier selama tujuh tahun bersama Tottenham Hotspur sebelum ini dengan beliau turut membuat lebih 300 penampilan untuk kelab dari London itu.

Beliau kemudiannya menyertai Inter Milan pada tahun 2020 yang lalu sebelum kembali ke saingan Premier League menyertai Brentford pada Januari baru-baru ini.

Sebelum memutuskan untuk kembali beraksi, Eriksen sebenarnya sudah menjalani rehat yang panjang selepas beliau disahkan menderita cardiac arrest ketika beraksi di kejohanan Euro 2020 pada musim panas lalu.

Ramai yang percaya karier Eriksen sudah habis selepas peristiwa tersebut namun beliau membuktikan tanggapan itu semuanya salah.

Beliau kini mampu untuk beraksi selama 90 minit dan aksi persembahan yang beliau persembahkan langsung tak merosot.

Selepas tamat perlawanan yang berkesudahan dengan keputusan seri itu, Eriksen dilihat pergi bertemu bekas rakan sepasukannya dan beliau juga turut pergi bertemu dengan para penyokong Tottenham Hotspur yang ada di stadium.

Salah seorang peminat turut memegang jersi yang tertulis nama Eriksen dengan bintang Denmark itu dilihat turut sempat meluangkan masa untuk berbual seketika dengan peminat tersebut.

Beliau kemudiannya menurunkan tandatangan pada jersi tersebut dan kemudian kesemua penyokong Tottenham Hotspur yang hadir memberikan tepukan gemuruh kepadanya.

Para peminat rata-rata terharu dengan insiden tersebut dengan mereka menganggap ia antara detik paling mengharukan sepanjang musim ini.

“Satu hal yang paling positif pada ketika ini adalah ketika melihat semangat Eriksen yang membawa dia untuk boleh beraksi semula. Seorang pemain yang menakjubkan.”

“Bola sepak akan menjadi lebih indah dengan adanya Christian Eriksen. Percayalah dia banyak memberi inspirasi kepada ramai pihak.”

“Saya tersentuh melihat detik ini. Inilah sisi indah bola sepak yang patut kita kenalkan kepada dunia.”

“Video ini berjaya menceriakan saya dan menggembirakan hari-hari saya. Penyokong Spurs dan Eriksen nampak seolah-olah dua jiwa yang sudah menjadi satu.”

“Terima kasih Eriksen, seluruh dunia nampaknya benar-benar menghargai kamu. Kamu bawa sisi positif dan mengangkat lagi martabat bola sepak.”

Tottenham Hotspur gagal untuk mencipta sebarang percubaan tepat dalam perlawanan ini dan ia merupakan kali kedua-dua berturut-turut mereka mencatatkan statistik yang teruk itu.

Brentford sementara itu memiliki beberapa kesempatan untuk menjaringkan gol, namun sayangnya barisan pertahanan Spurs terlalu hebat untuk ditandingi dalam perlawanan ini.

Pontus Jansson hampir sahaja untuk membantu skuad kendalian Thomas Frank itu menjaringkan gol pembukaan namun sayangnya percubaan beliau dinafikan oleh Harry Kane.

Bola percubaan dari Ivan Toney turut terkena palang dan jelas sekali Brentford tak bernasib baik untuk memperoleh gol dari perlawanan ini.

Eriksen sendiri bahkan turut hampir mencatat nama sebagai penjaring gol dalam perlawanan ini namun percubaan merbahaya beliau berjaya dinafikan oleh Hugo LIoris.

Pemain kebangsaan Denmark itu kemudiannya bercakap kepada Sky Sports selepas tamat perlawanan tersebut dengan beliau mengaku beliau masih lagi mengikuti Tottenham dan berharap agar bekas kelabnya itu akan mengakhiri saingan Premier League di kedudukan empat teratas.

Ketika di tanya adakah beliau masih lagi menjadi penyokong Tottenham Hotspur, Eriksen kemudiannya menjawab:

“Ya, sudah tentu. Saya masih lagi penyokong Tottenham Hotspur, tanya semua orang di sini. Saya rasa sesiapa yang pernah bermain bersama Tottenham mereka sudah tentu akan terus jadi penyokong Spurs walau mereka sudah pergi ke kelab lain. Saya harap mereka akan layak ke saingan Champions League.”

Tottenham Hotspur pada ketika ini berada di kedudukan kelima dalam carta saingan Premier League dengan mereka kini dua mata dibelakang Arsenal untuk merebut slot automatik layak ke saingan Champions League musim hadapan.

Arsenal berjaya menewaskan Manchester United dan menyebabkan skuad setan merah itu semakin jauh tercicir dari kelompok empat teratas.

Kini hanya tinggal Arsenal dan Tottenham Hotspur sahaja yang sedang bersaing rapat untuk mengakhiri saingan musim ini di kedudukan empat teratas.

Kedua-dua pasukan selepas ini akan bertemu dan aksi derby kali ini sememangnya sangat menarik untuk disaksikan kerana ia juga bakal jadi penentu pasukan mana yang bakal layak ke saingan Champions League musim hadapan.

BACA:  Pemain Dari Division Ketujuh England Tolak Tawaran Tottenham Hotspur