Christian Eriksen Ledak Gol Hasil Dari Sentuhan Pertamanya Ketika Bertemu Belanda

Detik paling mengharukan sepanjang musim ini telah berlaku di Johan Cruyff Arena awal pagi tadi, selepas Christian Eriksen berjaya meledak gol satu minit sahaja selepas beliau dimasukkan.

Ia merupakan minit pertama beliau kembali beraksi di pentas bola sepak antarabangsa, dengan para penyokong kedua-dua pasukan memberi tepukan gemuruh ketika beliau masuk ke padang.

Sembilan bulan selepas menderita serangan cardiac arrest ketika aksi Euro 2020 pada musim panas lalu, pemain midfield Brentford itu kembali beraksi bersama skuad kebangsaan Denmark.

Apa yang lebih menakjubkan lagi adalah beliau berjaya menjaringkan gol selepas hanya satu minit sahaja masuk ke padang.

Bahkan beliau turut berjaya meledak gol hasil sentuhan pertamanya dalam perlawanan ini untuk bantu Denmark bersaing dengan Belanda.

Belanda ketika itu sedang mendahului perlawanan dengan keputusan 3-1 dan gol Christian Eriksen berjaya mengubah kedudukan menjadi 3-2.

Christian Eriksen dimasukkan untuk menggantikan Jesper Lindstrom pada awal aksi babak kedua permainan, dengan penyokong kedua-dua pasukan memberi tepukan gemuruh ketika beliau berjalan masuk ke padang.

Bukan hanya para penyokong, bahkan pengurus pasukan Belanda, Louis Van Gaal turut sama memberikan tepukan untuk Christian Eriksen.

Belanda walau bagaimanapun berjaya menjaringkan satu lagi gol pada minit ke-71 menerusi Steven Bergwijn untuk melengkapkan kemenangan 4-2 mereka menewaskan Denmark.

Christian Eriksen kembali ke dunia bola sepak selepas menyertai Brentford dalam saingan Premier League pada jendela perpindahan Januari yang lalu.

Beliau ketika pertama kali diturunkan oleh Brentford juga turut menerima standing ovation dari seluruh stadium yang menyaksikan perlawanan tersebut.

Beliau dimasukkan sebagai pemain gantian ketika aksi pertemuan antara Brentford bertemu Newcastle United dan itulah aksi pertamanya di pentas bola sepak profesional selepas Euro 2020.

Para pemain Newcastle United turut menunjukkan rasa hormat kepada Christian Eriksen dengan memberikan tepukan ketika bintang Denmark itu masuk ke padang.

Christian Eriksen menandatangani kontrak selama enam bulan bersama Brentford dan beliau mengakui bahawa hasrat utamanya kembali beraksi adalah untuk dipanggil sertai skuad utama Denmark.

“Impian saya adalah untuk beraksi bersama Denmark di pentas Piala Dunia Qatar. Saya mahu bermain.”

Jelas Eriksen kepada media Denmark, DR.

“Itulah apa yang ada di fikiran saya selama ini. Itu matlamat saya, itu impian saya. Tidak kira sama ada saya dipilih atau tidak, tapi impian saya adalah untuk kembali.”

“Saya sangat yakin saya boleh kembali kerana saya tak rasa ada perbezaan.”

“Secara fizikal saya sudah kembali dapatkan tahap terbaik. Itulah matlamat saya dan saya masih ada sedikit masa, sambil itu saya mahu bermain bola sepak, dan buktikan yang saya kembali di tahap yang sama.”

Tidak lama selepas beliau diserang dengan Cardiac arrest ketika aksi saingan Euro tahun lalu, Doktor khas skuad Denmark menjelaskan tentang bagaimana usaha beliau menyelamatkan Eriksen yang diambang maut pada ketika itu.

Dr Morten Boesen bercakap selepas tamat perlawanan dan menjelaskan tentang insiden itu dengan peminat seluruh dunia tekun mendengar penjelasan beliau.

“Kami semua telah dipanggil untuk masuk ke padang ketika Christian rebah.”

Jelas Dr Boesen menurut iNews.

“Saya tak berapa nampak, tapi semakin jelas ketika dia pengsan. Ketika kami tiba, dia terbaring dan masih bernafas.”

“Kami rasa nadi, dan dengan segera gambaran kami mula berubah maka kami segera melakukan rawatan untuk menyelamatkan nyawa.”

“Ada bantuan yang sangat menakjubkan dari doktor stadium dan semua petugas kecemasan, dan dengan gabungan semua itu kami dapat apa yang kami perlukan.”

“Kami berjaya selamatkan Eriksen yang bercakap dengan saya sebelum dia di bawa ke hospital.”

Sumber: SPORTbible

BACA:  3 Cara Bagaimana Eriksen Bantu Man United Menjaringkan Gol