Christian Eriksen Melalui Minggu Yang Sempurna Selepas Bantu Brentford Benam Chelsea

Christian Eriksen terus menerus memukau peminat bola sepak seluruh dunia selepas kejayaannya menjaringkan gol ketika membantu Brentford membelasah Chelsea 4-1 malam semalam.

Pada 26 Mac yang lalu, Eriksen membuat kemunculan pertamanya untuk skuad kebangsaan Denmark sejak beliau menderita serangan cardiac arrest ketika aksi Euro 2020 pada musim panas lalu.

Pemain berusia 30 tahun itu diturunkan sebagai pemain gantian ketika beraksi dalam perlawanan persahabatan bertemu Belanda itu.

Beliau dimasukkan pada awal aksi babak kedua dan apa yang menakjubkan adalah beliau berjaya menjaringkan gol satu minit sahaja selepas dimasukkan.

Apa yang lebih mengagumkan lagi adalah gol jaringan beliau itu merupakan sentuhan pertama Christian Eriksen dalam perlawanan tersebut.

Beberapa hari selepas itu, pada 29 Mac, beliau diturunkan dalam kesebelasan utama dan turut dipilih sebagai ketua pasukan dalam aksi perlawanan persahabatan bertemu Serbia di Copenhagen.

Beliau dalam perlawanan itu berjaya menjaringkan gol ketiga untuk Denmark menewaskan Serbia 3-0.

Tidak cukup dengan itu, ketika aksi bertemu Chelsea malam semalam, beliau berjaya menjaringkan gol untuk Brentford, seterusnya melengkapkan minggu yang menakjubkan untuk beliau secara peribadi.

The Blues terlebih dahulu mendahului perlawanan pada minit ke-47 permainan menerusi Antonio Rudiger yang menjaringkan gol yang sungguh menakjubkan dari jarak 35 ela.

Brentford kemudiannya berjaya menyamakan kedudukan dua minit selepas itu menerusi Vitaly Janelt.

Pada minit ke-54, Eriksen berjaya menjaringkan gol pertamanya untuk Brentford, seterusnya membantu skuadnya mendahului perlawanan tersebut.

Bryan Mbeumo berjaya melorongkan bola mencari Eriksen di dalam kotak, dengan pemain penyerang kebangsaan Denmark itu kemudiannya mudah melepaskan rembatan untuk menewaskan Mendy.

Brentford kemudiannya berjaya mengubah kedudukan menjadi 3-1 beberapa minit selepas itu menerusi Janelt sekali lagi.

Chelsea sebenarnya memiliki 30 minit untuk lakukan sesuatu, namun malangnya The Blues gagal untuk mencari gol untuk mengelak dari kekalahan.

Lebih parah lagi, Brentford berjaya menambah gol keempat mereka dalam perlawanan ini pada minit ke-87 permainan menerusi Yoane Wissa.

Yoane Wissa cemerlang memanfaatkan kesilapan barisan pertahanan Chelsea untuk menjaringkan gol keempat Brentford, seterusnya memastikan pasukan tuan rumah diaibkan.

Jelas sekali Christian Eriksen sedang melalui minggu yang menakjubkan pada minggu ini dengan beliau pada ketika ini sedang berada di tahap persembahan terbaiknya.

Apa yang lebih manis lagi, persembahan mantap beliau semalam, berjaya membantu Brentford mencatatkan kemenangan pertama mereka bertemu Chelsea sejak 1939 yang lalu.

Brentford pada ketika ini 11 mata dipisahkan dari zon penyingkiran dan setidak-tidaknya mereka bakal ada lagi dalam saingan Premier League pada musim hadapan.

Ketika masuk pertengahan musim ini, Brentford sepertinya bakal kembali ke saingan Championship musim hadapan, namun selepas berjaya mengutip mata demi mata, mereka kini berada di zon yang semakin selamat.

11 mata sepertinya sudah cukup untuk menganggap Brentford berada di zon selamat dan mereka berpotensi untuk kekal dalam saingan Premier League.

Keputusan Brentford menandatangani Christian Eriksen juga harus dipuji kerana bintang Denmark itu jelas sekali telah meninggalkan impak seperti yang diharapkan.

Dari empat perlawanan, Christian Eriksen berjaya menjaringkan satu gol dan turut mencatatkan satu assists untuk Brentford dalam saingan Premier League.

Jelas sekali impak yang beliau tinggalkan sangat positif dan kerana itu jugalah beliau berjaya untuk kembali dipanggil menyertai skuad kebangsaan Denmark.

Eriksen sememangnya bercita-cita mahu beraksi di pentas Piala Dunia Qatar nanti, dan sepertinya impian beliau itu bakal berjaya di capai selepas melihat apa yang beliau persembahkan.

Sumber: GMS

BACA:  Pengurus Denmark Menangis Ketika Bercakap Mengenai Christian Eriksen