Conte Minta Spurs Keluarkan Dana Bernilai £267 Juta Untuk Dapatkan 6 Pemain Dari Serie A

Antonio Conte sudah secara rasminya diumumkan sebagai pengurus baru Tottenham Hotspur, dan beliau diharapkan akan berjaya untuk setidak-tidaknya mengisi satu atau dua Piala dalam rak kabinet Spurs yang sudah berhabuk.

Memandangkan kini sudah masuk bulan November, Conte jelas sekali sudah mula merangka perancangan beliau untuk hadapi jendela perpindahan pada bulan Januari nanti.

Kurang dua bulan dari sekarang, jendela perpindahan Januari akan dibuka dan kebanyakan pasukan yang mempunyai masalah yang agak parah akan membawa masuk satu dua pemain untuk menyelesaikan masalah mereka.

Para pemain yang tidak gembira bersama kelab, atau gagal mendapatkan minit permainan yang cukup juga akan berusaha mencari jalan untuk meninggalkan kelab ketika jendela perpindahan dibuka.

Pengurus baru Tottenham Hotspur, Antonio Conte dilaporkan meminta pihak kelab menyediakan dana bernilai £237 juta untuk beliau mendapatkan pemain yang beliau mahukan.

Conte telah diumumkan sebagai pengurus Spurs selepas pihak kelab memutuskan untuk memecat Nuno Espirito Santo pada awal minggu lalu.

Media Itali, Calciomercato melaporkan yang bekas pengurus Chelsea itu telah meminta dana lebih dari £200 juta kepada pimpinan kelab, untuk dibelanjakan pada jendela perpindahan Januari ini.

Kebanyakan pemain dalam senarai sasaran beliau merupakan bakat-bakat hebat yang beraksi dalam saingan Serie A.

Laporan sama turut menyatakan yang duo Juventus, Federico Chiesa dan Matthijs de Ligt merupakan dua pemain yang paling Conte mahu dapatkan pada jendela perpindahan Januari ini.

Beliau juga mahu berusaha untuk mendapatkan khidmat bintang Inter Milan, Stefan de Vrij dan Marcelo Brozovic untuk memperkuat skuad Spurs sedia ada.

Pemain pertahanan AC Milan, Alessio Romagnoli dan pemain penyerang Fiorentina, Dusan Vlahovic turut berada dalam radar Conte untuk ditandatangani pada jendela perpindahan akan datang ini.

Melihat kepada barisan pemain yang Conte mahu dapatkan, beliau sepertinya mungkin sudah merancang untuk melepaskan beberapa pemain yang tidak diperlukan khidmat mereka.

Tidak akan mengejutkan andai beliau akan bersetuju untuk melepaskan Harry Kane demi untuk mendapatkan dana tambahan untuk mendapatkan pemain penyerang pilihannya.

Dusan Vlahovic merupakan pemain penyerang yang sesuai untuk menggantikan Harry Kane dan melihat nama beliau berada dalam senarai pemain yang dimahukan oleh Conte, jelas sekali beliau tidak peduli andai Kane mahu pergi.

Hal ini kerana Kane pada musim ini telah mempamerkan aksi persembahan yang sangat teruk dan punca utama beliau beraksi hambar dilaporkan kerana beliau sudah tidak berminat untuk kekal.

Walau bagaimanapun, dana yang diminta oleh Conte sepertinya agak tinggi dan sukar sebenarnya untuk Levy mengeluarkan dana sebesar itu pada satu jendela perpindahan.

Beliau juga sudah mula turun ke padang latihan bersama skuad Tottenham Hotspur dan tentunya Conte sudah kenal pasti apa yang perlu beliau lakukan.

Pimpinan kelab dan para penyokong jelas sekali sangat berharap agar Conte akan mampu melakukan sesuatu, dan membawa Spurs untuk memenangi kejuaraan.

Bekas pengurus Inter Milan itu sememangnya memiliki reputasi yang cukup baik dalam membantu kelab memenangi Piala dan kerana itulah harapan yang pihak kelab letakkan ke atasnya agak tinggi.

Seandainya pihak kelab beri apa yang beliau mahukan, maka tidak hairanlah andai Conte juga akan beri mereka apa yang mereka mahukan seperti Piala kejuaraan misalnya.

Mampukah Tottenham Hotspur penuhi permintaan Conte? Adakah beliau akan berjaya untuk membantu Spurs memenangi Piala pertama mereka? Bincangkan diruangan komen.

Sumber: talkSPORT

BACA:  Conte Beri Bayangan Yang Beliau Sudah Menyerah Dari Terus Mengendalikan Tottenham Hotspur