Pengurus Chelsea, Antonio Conte mempertahankan Andreas Christensen selepas kesilapan yang dilakukan pemain muda ini menyebabkan Barcelona berjaya menyamakan kedudukan dalam perlawanan pertama pusingan kedua Liga Juara-Juara Eropah awal pagi tadi.
Juara bertahan Liga Perdana Inggeris dilihat mampu mencatatkan kemenangan selepas Willian menjaringkan gol cantik pada minit ke-62. Barcelona pula dilihat bergelut untuk menembusi tembok pertahanan Chelsea yang penuh disiplin.
Walaubagaimanapun, kesilapan Christensen melakukan hantaran ke kawasan kotak penalti berjaya dihukum Lionel Messi yang merembat masuk bola selepas menerima umpanan cantik daripada Andres Iniesta. Iniesta berjaya memintas bola hantaran Christensen dalam kotak penalti dan melorongkan bola kepada Messi untuk gol penyamaan Barcelona.
Ketika bercakap kepada pemberita selepas tamat perlawanan, Conte berkata persembahan yang ditampilkan Christen wajar diberikan pujian tambahan pula pemain ini baru sahaja berusia 21 tahun.
“Saya rasa persembahan Andreas Christensen sangat cemerlang. Kita bercakap mengenai pemain yang baru sahaja menginjak usia 21 tahun. Saya gembira untuk melihat beliau bermain dengan penuh kematangan. Christense merupakan salah seorang pemain terbaik Chelsea dalam perlawanan tersebut.”
“Amat sukar buat saya memilih pemain terbaik kami tetapi Christensen bermain dengan cukup baik. Saya sangat gembira melihat permainan beliau.”
Dalam perlawanan yang berlangsung dengan tempo yang tinggi, Barcelona menguasai penguasaan bola tetapi Chelsea dlihat lebih berbahaya dalam mencipta peluang menjaringkan gol. Willian melihat dua sepakannya sekadar terkena tiang gol dan Eden Hazard pula mempunyai peluang keemasan melalui volley.
“Saya percaya kami sangat hampir untuk menampilkan persembahan yang sempurna. Kami dihukum kerana satu kesilapan. Tetapi seperti umum ketahui, bermain menentang pemain seperti Iniesta, Messi, dan Suarez – kamu akan dihukum jika melakukan kesilapan.”
“Apabila bermain menentang Barcelona, kami tahu jika kami mahu bermain ‘kotak ke kotak’, kami boleh dianggap gila. Kami pasti kalah jika bermain dengan taktik tersebut. Bukan sekadar 1-0, 2-0, tetapi 4-0, 5-0, 6-0 seperti yang anda lihat berlaku di Sepanyol.”
“Ketika bermain dalam perlawanan sebegini, kamu memerlukan kepintatan. Kami sedar tahap permainan mereka adalah lebih tinggi dari kami. Disebabkan perkara ini, kami perlu bermain permainan penuh taktikal.”
Perlawanan timbal balik di Nou Camp akan berlangsung pada Mac 14 dan Conte mengakui beliau sedikit kecewa kerana gagal membawa bekalan yang selesa menuju ke Sepanyol.
“Saya berasa kecewa dengan keputusan perlawanan. Tetapi pada masa yang sama, perlawanan ini memberikan keyakinan untuk terus percaya peluang kami untuk melangkah ke peringkat seterusnya masih terbuka.”
“Ia tidak akan mudah kerana kita bercakap mengenai Barcelona dan mereka telah menunjukkan malam ini yang mereka adalah pasukan yang sangat cemerlang.”