Crouch Dedah Beliau Pernah Tersilap Jatuh Cinta Pada Isteri Alonso

Peter Crouch mengimbau kembali saat beliau jatuh cinta pandang pertama bertemu seorang gadis berwajah Sepanyol, ketika awal beliau menandatangani perjanjian bersama Liverpool.

Namun begitu, apa yang beliau tidak tahu adalah, gadis tersebut sebenarnya merupakan isteri kepada bintang Liverpool, Xabi Alonso.

Bekas penyerang berusia 40 tahun itu tiba di Anfield pada tahun 2005, selepas The Reds melengkapkan perpindahan beliau dari Southampton dengan yuran perpindahan bernilai £7 juta.

Crouch sempat membuat 135 penampilan untuk Liverpool dan menjaringkan 42 gol sepanjang tiga tahun kariernya bersama sang penakluk dunia itu.

Walau bagaimanapun, bekas pemain kebangsaan England itu telah mendedahkan yang beliau pernah jatuh cinta dan terpukau dengan kecantikkan seorang gadis berambut gelap dan berwajah Sepanyol yang mencuri perhatiannya.

Beliau melihat gadis tersebut di kaunter pendaftaran hotel tempat beliau tinggal, di Hope Street Hotel dan terus jatuh cinta melihat kecantikkan gadis itu.

Crouch kemudiannya memberitahu legenda Liverpool, Jamie Carragher tentang gadis tersebut, dengan bekas rakan sepasukannya itu terus memanggil pemain-pemain lain untuk mendengar kisah menarik itu.

Tanpa Crouch tahu ketika itu, gadis yang beliau maksudkan itu adalah isteri kepada Xabi Alonso, Nagore Aranburu.

Crouch mengimbau semula kisah tersebut dengan menulisnya di Daily Mail pada tahun 2018 yang lalu.

“Ketika hari saya menandatangani perjanjian bersama Liverpool, saya tinggal di Hope Street Hotel.”

“Di kaunter pendaftaran, saya nampak seorang gadis yang sangat cantik, saya sendiri seakan tak percaya melihat dia sentiasa senyum pada saya.”

“Saya beritahu rakan-rakan lain ketika di padang latihan. ‘Jujurnya, dia sangat cantik. Saya rasa saya sudah jatuh cinta di sini.”

“Jamie Carragher kemudiannya memanggil beberapa pemain senior lain untuk datang dengar cerita saya. ‘Beritahu mereka sekali lagi Crouchie’. Jadi saya pun cerita. ‘Dia menghantui saya. Saya sangat teruja.”

Crouch ketika kariernya bersama Liverpool

“Carra kemudian sekali lagi tanya. ‘Macam mana rupa dia?’. Semua orang nampak berminat untuk dengar.”

“Menakjubkan, Rambut gelap, berwajah Sepanyol, saya sangat tertarik. Rupa-rupanya gadis itu adalah isteri Alonso. Dia ketika itu sedang melakukan sesuatu dalam usahanya untuk mempraktikkan kemahiran bahasa dia.”

“Alonso tak marah tentang itu. Isteri dia juga begitu. Carra agak marah.”

Alonso berkahwin secara rasmi dengan Aranburu pada tahun 2009, dengan pasangan tersebut berjaya memperoleh tiga orang anak bersama: Jontxu, Ane dan Emma.

Bekas pemain kebangsaan Sepanyol yang kini berusia 39 tahun itu merupakan pemain kesayangan peminat ketika kariernya di Anfield.

Beliau berjaya membantu The Reds menjulang gelaran Piala FA dan Champions League sebelum meninggalkan bumi Anfield.

Crouch meninggalkan Liverpool pada tahun 2008 dan beliau kemudiannya beraksi bersama Portsmouth, Tottenham Hotspur, Stoke City dan Burnley.

Crouch menganggap peristiwa tersebut sebagai detik paling melucukan untuk beliau kerana tidak menyiasat dahulu siapa perempuan yang beliau suka itu.

Lebih teruk lagi beliau terus memberitahu rakan sepasukannya tentang hal tersebut yang akhirnya membuatkan beliau mendapat malu.

Mujur saja Alonso menerima hal tersebut dan memahami kesalah fahaman yang berlaku. Namun begitu, mujur juga Crouch bertanya terlebih dahulu.

Bayangkan kalau beliau terus memulakan langkah untuk memikat isteri Alonso? Dah tentu perang besar berlaku di Anfield.

Crouch dan Alonso walau tidak menghabiskan masa yang lama bersama Liverpool, namun tak dinafikan mereka sebenarnya legenda kelab dan juga antara pemain yang paling disayangi oleh peminat.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Bintang Premier League Kantoi Sanggup Tempah Bilik Hotel Sebab Nak 'Kipas' Pengurus Baru Kelab