Cubaan Norwich Menganjing Maguire Cetus Perdebatan Di Kalangan Peminat

Maruah Harry Maguire sepertinya sekali lagi dipijak-pijak selepas Norwich City memuat naik perbandingan statistik antara ketua pasukan United itu dengan pemain pertahanan mereka.

Sepanjang musim ini sahaja sudah beberapa kali maruah Harry Maguire dicalar oleh pelbagai pihak dan kali ini pasukan yang sedang berada di zon penyingkiran pula yang tampil mencari geruh.

Jelas sekali musim ini bukanlah musim yang baik untuk kesemua mereka yang ada di Old Trafford dengan mereka kerap mencatatkan keputusan yang memalukan.

Setan merah juga ketika ini sangat bergelut dengan masalah prestasi dan mereka juga sepertinya semakin sukar untuk mengakhiri saingan liga di kelompok empat teratas.

Maguire merupakan pemain yang paling teruk dikritik dan dihentam tanpa belas oleh pelbagai pihak atas aksi hambar dan dungu yang sering beliau persembahkan sepanjang musim ini.

Nilai £80 juta yang beliau bawa dan tanggungjawab sebagai ketua pasukan sepertinya menambah lagi beban untuk beliau pada ketika ini.

Baru-baru ini, legenda kelab yang juga merupakan bekas ketua pasukan, Nemanja Vidic tampil memberi saranan kepada Ralf Rangnick supaya merehatkan dahulu bintang England itu.

Beliau turut mencadangkan supaya Maguire hanya perlu diturunkan ketika beraksi bertemu pasukan bawahan sahaja kerana bimbang bekas bintang Leicester City itu akan menjadi punca United terus keciciran mata.

Kini, Maguire sepertinya berdepan satu lagi penghinaan untuknya selepas admin akaun media sosial Norwich memuat naik status statistik perbandingan antara beliau dengan Grant Hanley.

Statistik itu menunjukkan yang pertahanan Norwich itu lebih bagus berbanding Maguire berdasarkan prestasi mereka pada musim ini.

Para peminat kemudiannya tampil berdebat tentang muat naik tersebut dengan ada yang memuji dan ada yang menghentam semula Norwich kerana membuat perbandingan tersebut.

“Benda ni sebenarnya satu penghinaan kepada Grant Hanley, dia tak sepatutnya dibandingkan dengan Maguire.”

“Ada ke pemain yang lebih teruk dari Maguire? Saya rasa sepanjang musim ini, dia yang paling teruk.”

“Harry Maguire merupakan pemain pertahanan paling teruk di benua Eropah, kenapa bandingkan dia dengan pertahanan Premier League? Ini dianggap satu penghinaan.”

“Maguire kalau kita bandingkan dia dengan pemain pertahanan yang bermain bersama kelab di League One pun belum tentu dia boleh menang.”

“Tak akan ada pemain yang lebih teruk dari Maguire sepanjang musim ini, tolak tepi data statistik, aksi dia sendiri dah cukup untuk menjelaskan betapa teruknya dia.”

Selain dari ramai yang menghentam, sebenarnya ada juga penyokong Man Utd yang tak menerima kritikan tersebut.

“Norwich City cuba cari perhatian, mereka sendiri kalau mampu dah tentu mereka mahukan Maguire.”

“Lihat juga pencapaian dia bersama skuad kebangsaan England, dia jauh lebih hebat berbanding kesemua pemain lain dalam skuad Norwich.”

“Pasukan yang dah nak tersingkir, tapi berani mencari gaduh dengan pemain yang bermain bersama kelab elit? Siapa yang memalukan?”

“Harga Harry Maguire seorang sama dengan harga Norwich City sendiri. Sedar diri kamu dan jangan pandang rendah pada dia.”

“Apa yang cuba Norwich sampaikan? Grant Hanley lebih bagus? Di mana mereka sekarang? Tak cukup lagi bukti itu?”

Maguire masih mempunyai masa untuk perbaiki nama baiknya dengan beliau selepas ini akan memimpin skuad setan merah untuk beraksi bertemu Burnley.

Skuad kendalian Ralf Rangnick itu hanya mampu mencatatkan satu kemenangan dari tujuh perlawanan dalam semua pertandingan musim ini.

Dari tujuh perlawanan itu juga memperlihatkan bagaimana Man Utd tersingkir dari saingan Champions League dan turut kehilangan tempat dari berada di kelompok empat teratas dalam saingan Premier League.

Setan merah pada ketika ini berada enam mata di belakang Tottenham Hotspur yang sedang berada di kelompok empat teratas, dengan saingan liga kini hanya berbaki tujuh perlawanan sahaja sebelum tamat.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Ibu Maguire Terkilan Cemuhan Melampau Diterima Anaknya