Dos Santos Dipuji Kerana Tetap Beraksi Walau Ayahnya Baru Meninggal Dunia

Para pemain Mexico meraikan gol kemenangan mereka menewaskan Canada dengan penuh emosi, ekoran dari berita pemergian ayah kepada pemain midfield, Jonathan Dos Santos.

Kem Mexico dikejutkan dengan berita duka yang mengatakan bahawa ayah kepada Dos Santos telah meninggal dunia beberapa jam sebelum sepak mula perlawanan.

Zizinho yang juga merupakan bekas pemain bola sepak yang pernah bermain di kelab-kelab Amerika seperti Los Angeles Lazers dan Monterrey telah meninggal dunia malam semalam.

Bekas pemain midfield Barcelona, Jonathan, merupakan salah seorang dari tiga beradik Dos Santos telah memutuskan untuk tetap beraksi ketika pasukannya bertemu Canada dalam saingan Gold Cup malam semalam.

Kesemua pemain memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang ayah Dos Santos selama satu minit sebelum sepak mula perlawanan.

Para pemain Mexico memeluk beliau sebaik mereka menjaringkan gol pembukaan menerusi Orbelin Pineda yang tenang menyempurnakan sepakan penalti.

Dan ketika bintang Atletico Madrid, Hector Herrera menjaringkan gol kemenangan di masa tambahan permainan, keadaan di situ menjadi semakin beremosi.

Kesemua pemain menunjukkan isyarat ke langit menandakan mereka memberi penghormatan kepada mendiang Dos Santos Sr.

Herrera dan Dos Santos kemudiannya berkongsi detik yang sungguh mengharukan dengan kedua-dua mereka saling berpelukan dan jelas kedua-dua mereka turut menangis.

Para peminat memuji semangat dan kemampuan Dos Santos untuk terus bermain dalam keadaan hatinya sedang menangis.

“Ia sangat menyentuh hati saya, kalau saya ada di tempat dia, saya sendiri tak akan mampu untuk lakukan hal seperti ini.”

“Dia buat sebab dia tahu ayah dia nak dia bermain juga, tapi kemampuan dia untuk terus bermain dengan baik memang sungguh menakjubkan.”

“Keindahan bola sepak, kawan-kawan dia banyak beri semangat dan sokongan pada dia. Saya menangis melihat keraian mereka.”

“Mexico berhak untuk menang pertandingan ini, saya rasa itulah cara terbaik untuk beri penghormatan terbaik pada mendiang Zizinho, semoga berjaya.”

Begitulah komen-komen dari para peminat yang berasa kagum dengan semangat yang ditunjukkan oleh Dos Santos untuk terus bermain.

Dos Santos menunjukkan sikap terpuji dengan beliau tetap bermain walaupun baru saja menerima berita duka yang sangat menyedihkan itu.

Para pemain Mexico beri penghormatan terakhir pada mendiang Zizinho

Selepas bercakap dengan ibunya, Dos Santos memutuskan untuk terus bermain kerana beliau merasakan itulah apa yang mendiang ayahnya mahukan.

“Situasi dengan Jona dan apa yang berlaku hari ini, pertama kami dengar berita yang sangat menyedihkan.”

Jelas pengurus, Gerardo ‘Tata’ Martino ketika sidang media selepas tamat perlawanan.

“Selepas itu, kami semua cuba atasi hal tersebut memandangkan Jonathan menerima berita seperti itu, dan kami cuba berikan dia kekuatan.”

“Hanya dia yang tahu apa dia rasa dalam suasana pilu seperti ini. Selepas berbicara dengan ibunya, dia memutuskan untuk terus berada di sana dan mahu bermain, kerana mengikut apa isi perbualan antara dia dengan ibu dia, itulah apa yang ayah dia mahukan.”

“Apa saja keputusan yang dia buat dalam situasi seperti ini, dia sentiasa akan dapat sokongan dari kami. Ini merupakan antara hari untuk kamu analisis adakah bola sepak perkara terpenting dalam hidup atau keluarga.”

Mexico selepas ini akan beraksi bertemu United States dalam aksi perlawanan akhir Gold Cup di Nevada pada hujung minggu nanti.

Memenangi Piala kejohanan ini merupakan antara cara terbaik untuk Mexico memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang Zizinho.

Sumber: SB

BACA:  Punca Sebenar Kecederaan Pada Belakang Marcelo Agak 'Luar Biasa'