Jurulatih Mexico: Kelakuan Neymar Memalukan Bola Sepak

Jurulatih Mexico, Juan Carlos Osorio mendakwa kelakuan Neymar di atas padang telah mencemarkan nama baik sukan bola sepak di mata dunia selepas melihat pasukannya disingkirkan Brazil dalam pusingan 16 pasukan terakhir semalam.

Brazil berjaya mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Mexico, hasil jaringan Neymar dan Roberto Firmino pada babak kedua permainan.

Neymar meraikan jaringan pembukaan pada awal babak kedua selepas menerima umpanan cantik Willian

Neymar menjadi sumber aspirasi pasukannya apabila menjaringkan satu gol dan mencipta satu lagi gol sekaligus menghantar Mexico pulang lebih awal.

Tidak diakui Neymar merupakan pemain yang hebat, tetapi kelakuan beliau di atas padang dalam beberapa perlawanan sebelum ini sering menjadi bualan banyak pihak yang mendakwa beliau mencemarkan bola sepak dengan lakonannya.

Neymar sekali lagi mencuri perhatian ketika pertemuan menentang Mexico apabila bergolek kesakitan di tepi padang pada lewat separuh masa kedua.

Ulang tayang menunjukkan pemain pertahanan Mexico, Miguel Layun meletakkan stud beliau di atas kaki Neymar menyebabkan bintang PSG itu mengerang kesakitan, mengalahkan kaum ibu bersalin.

Layun bernasib baik tidak menerima kad merah dari insiden tersebut menyebabkan Neymar bertambah marah.

Adegan yang sering berlaku ketika Brazil beraksi

Jurulatih Mexico, Juan Carlos Osorio yang berada dekat dengan tempat kejadian ketika itu berkata Neymar telah mencemarkan bola sepak dengan lakonan yang melampau bagi memdapatkan ehsan pengadil.

“Saya rasa kelakuan Neymar telah memalukan bola sepak. Kami kehilangan banyak masa permainan kerana seorang pemain sahaja. Kami gagal bermain stail permainan Mexico yang sebenar kerana pengadil.”

“Perlawanan ini telah memberikan contoh yang buruk kepada dunia bola sepak dan juga seluruh dunia.”

Neymar menggelupur kesakitan seperti baru lepas bersunat tanpa bius

Walaupun Mexico gagal mara ke peringkat suku akhir, Osorio tetap berasa bangga dengan permainan anak buahnya sepanjang kejohanan ini berlangsung. Beliau juga berharap lebih ramai pemain muda Mexico berhijrah ke Eropah untuk meningkatkan tahap permainan mereka bagi memperkuatkan lagi pasukan kebangsaan pada masa hadapan.

“Kami berjaya mengimbangi perlawanan tadi dengan baik kerana pemain yang kami miliki dan corak permainan pasukan ini. Walau apa pon yang berlaku, pasukan ini mesti terus berkembang untuk menjadi lebih baik pada masa hadapan.”

Geram tidak dapat menumbuk Neymar, Juan Carlos Osorio melepaskan api kemarahannya terhadap penjaga garisan

“Kami sangat berharap pemain-pemain Mexico akan pergi bermain di Eropah supaya mereka dapat bermain menentang pemain terbaik dunia setiap minggu. Selepas itu, pasukan kebangsaan Mexico akan menjadi lebih bagus.”

Brazil akan bertemu Belgium dalam pusingan suku akhir yang bakal berlangsung pada 7 Julai (awal pagi Sabtu, pukul 2.00 pagi waktu Malaysia).

Belgium mara ke pusingan suku akhir selepas bangkit dari ketinggalan 2-0 untuk mencatatkan kemenangan 3-2 ke atas Jepun.

BACA:  "Datang Latihan Dalam Keadaan Mabuk" - Neymar Dihentam Kerana Merosakkan Nama Kelab