Empat Pemain Dambaan Sadio Mane Untuk Beraksi Bersama

Sadio Mane baru-baru ini telah mendedahkan empat pemain yang sangat beliau kagumi dan impikan untuk beraksi bersama.

Sadio Mane ketika ini sedang melalui musim yang cemerlang bersama pasukan Liverpool. Beliau merupakan unit serangan yang banyak memberi sumbangan untuk pasukan.

Gandingan Sadio Mane, Mo Salah dan Firmino merupakan trio serangan terhebat dunia pada ketika ini.

Aksi cemerlang Mane pada musim ini berjaya menjadikan beliau penerima Anugerah untuk pemain terbaik Afrika tahun ini.

Tahun ini sememangnya tahun yang cemerlang untuk pemain kelahiran Senegal ini, selain memenangi Anugerah Pemain Terbaik Afrika, Mane turut berjaya membantu Liverpool berada di puncak Liga Perdana musim ini.

Musim lalu Mane berjaya membantu Liverpool memenangi gelaran keenam Liga Juara-juara, Super Cup dan FIFA Club World Cup.

Sebelum ini, dalam satu sesi temu bual Mane bersama SPORTbible, beliau telah diminta untuk memilih empat pemain yang beliau mahu untuk beraksi bersama sekiranya diberi peluang untuk bermain dalam perlawanan lima sebelah.

Dua pemain pertama pilihannya merupakan idola Mane sejak kecil lagi iaitu, Ronaldinho dan El Hadji Diouf.

Menurut Mane, Diouf bukan hanya wira untuknya kerana pernah beraksi untuk Liverpool, tetapi beliau merupakan sumber inspirasi Senegal ketika Piala Dunia 2002.

Diouf berjaya memimpin Senegal untuk mara sehingga ke pusingan suku akhir dalam kempen Piala Dunia Korea dan Jepon. Mane pula ketika itu baru berusia 10 tahun.

“Saya sangat suka Samuel Eto’o, beliau seorang pemain yang sangat hebat.”

Jelas Mane kepada SPORTbible.

Selepas menamakan dua pemain itu, Mane seperti pening lalat mahu menamakan siapa calon seterusnya.

Beliau kemudian telah memilih wira serta legenda pasukan Manchester City Yaya Toure.

Pemain terakhir yang dipilih olehnya merupakan pemain yang berjaya memenangi enam kali gelaran Ballon d’or, Lionel Messi.

“Haa ya Yaya Toure, beliau sangat kuat, dan yang terakhir saya akan pilih Messi. Sudah tentu! Saya sangat mengagumi Messi.”

Selepas berjaya menamakan empat pemain yang beliau pilih jika diberi peluang untuk beraksi dalam perlawanan lima sebelah itu, Mane terus tersenyum lebar.

Pilihan yang bijak dari Mane dengan menamakan Eto’o dan Ronaldinho, siapa saja tidak merindukan aksi gandingan dari dua pemain legenda itu?

Mane dan seluruh kem Liverpool kini berdebar menanti keputusan dari pihak FA tentang status Premier League.

Liverpool selesa mendahului liga dengan kelebihan 25 mata mengatasi saingan terdekat mereka Manchester City.

Namun ekoran dari penularan virus Covid-19 yang menyebabkan kesemua sukan utama dunia digantung, pelbagai teori telah tersebar.

Ada yang mendakwa bahawa saingan liga akan ditamatkan tanpa pemenang dan ada juga yang mengatakan bahawa liga akan ditamatkan dan Liverpool akan diberi kejuaraan liga.

Dalam keadaan dunia di serang virus Covid-19 ini juga, Mane telah memberi sumbangan kepada negaranya untuk persiapan dalam menangani wabak itu.

Beliau turut menjalankan tanggungjawab sebagai seorang role model dengan berpesan kepada masyarakat agar mematuhi peraturan penjarakan sosial yang ditetapkan oleh pihak kerajaan.

BACA:  Perbezaan Dan Penilaian Messi VS Ronaldo Dari Segi Kebolehan Mereka