Eriksen Tunjukkan Perkembangan Positif, Sudah Mahu ‘Turun ke Padang’

Pemain perancang Denmark, Christien Eriksen, dilaporkan sudah berada dalam keadaan yang semakin baik dan dia dikatakan sudah mahu ‘kembali turun berlatih di padang’, menurut kenyataan daripada ejennya, Martin Schotts.

Eriksen ternyata tidak berputus asa selepas tumbang secara tiba-tiba ketika perlawanan Denmark menentang Finland tempoh hari, dan menurut Schotts lagi, pemain di bawah pengurusannya itu sudah boleh bergurau dan juga berada dalam mood yang baik, seperti yang dilaporkan The Athletic.

Dalam kejadian pada hari Ahad tersebut, Eriksen telah ‘meninggal’ selama beberapa minit, sebelum jantungnya berjaya diransang untuk berdenyut semula dengan menggunakan alat AED (Automated External Defibrillator) hasil daripada tindakan pantas pasukan paramedik yang bertugas ketika perlawanan.

Selepas kejadian menakutkan tersebut, pihak FA Denmark telah mengesahkan bahawa Eriksen telah sedarkan diri dan dia didapati telah mengalami serangan jantung.

Menurut laporan media Itali, Gazetta dello Sport, Schotts telah bercakap dengan Eriksen pada pagi selepas kejadian.

“Kami ada bersembang pagi ni. Dia ada bergurau la, dan dia dalam mood yang baik, aku tengok pun dia okay.

“Kami semua tengah cuba nak faham apa yang berlaku kat dia sebenarnya, dan dia pun sama.

“Pasukan perubatan tengah jalankan pemeriksaan dengan lebih mendalam, jadi akan ambil masa sikitlah.

“Dia juga nampak gembira sebab dia faham betapa sayangnya orang kat dia. Dia pun ada terima mesej dari seluruh dunia.

“Dan dia juga kagum dengan mereka dari kalangan pendokong Inter, bukan sahaja di kalangan rakan sepasukan yang dia dengar diorang sembang, tapi juga dari kalangan penyokong.

“Christian tak putus asa!

“Lepas tu, esok (Isnin) dia masih lagi di bawah pemerhatian doktor, mungkin sampai Selasa. Tapi apa pun dia nak bersorak untuk rakan sepasukan dia masa lawan Belgium nanti.

“Dia risau pasal kami. Dia tanya kami; ‘Kau macam mana? Aku rasa kau lagi teruk daripada aku!

“Aku dah sedia nak turun berlatih ni!”

Begitu bersemangat sekali nampaknya Eriksen di situ.

Kejadian yang menimpa Eriksen tersebut ternyata menggemparkan satu dunia. Sebelum Eriksen, sudah ada beberapa kes pemain yang tumbang di atas padang.

Antaranya ialah Antonio Puerta, pada tahun 2007, di mana dia secara tiba-tiba rebah di atas padang ketika perlawanan antara kelabnya Sevilla, menentang Getafe. Dia meninggal dunia tiga hari kemudian, berpunca daripada serangan jantung yang dipanggil arrhythmogenic right ventricular dysplasia.

Bekas pemain Bolton, Fabrice Muamba turut mengalami peristiwa yang sama seperti Eriksen, di mana dia rebah secara tiba-tiba dan sebenarnya telah ‘mati’ selama hampir sejam, sebelum kembali stabil. Selepas kejadian tersebut, Muamba tidak lagi bermain bola sepak secara professional.

Bekas pemain Manchester United, Daley Blind, juga pernah tumbang ketika beraksi. Pada tahun 2019, Blind disahkan menghidapi radang otot jantung selepas berasa tidak selesa dalam pertemuan Liga Juara-Juara antara kelabnya, Ajax, menentang kelab dari Sepanyol, Valencia.

Lapan bulan kemudian, Blind secara tiba-tiba tumbang ketika berlatih di pra-musim bersama Ajax, dalam sesi persediaan perlawanan persahabatan menentang kelab Jerman, Hertha Berlin.

Akibatnya, pemain Belanda tersebut terpaksa untuk mengambil implantable cardioverter-defibrilator, sejenis alat yang ditanam di dalam badannya bagi membantu jantung berdenyut stabil, sebelum diisytiharkan mampu kembali beraksi secara professional semula.

Dalam kes Eriksen, masih terlalu awal untuk sebarang kesimpulan kerana kes masih lagi dalam siasatan, namun peluangnya untuk kembali beraksi di pentas tertinggi dilihat agak sukar.

Seorang pakar jantung yang pernah bekerja bersama Eriksen di Tottenham Hotspur menentang sama sekali untuk Eriksen kembali beraksi kerana ia akan membawa kepada keadaan yang tidak selamat.

Apapun, semoga Eriksen kembali sihat seperti biasa dan diharapkan semoga kejadian ini juga membuka mata orang ramai tentang kesihatan jantung.

BACA:  Lukaku Dan Skuad Denmark Merancang Sesuatu Yang Indah Untuk Beri Penghormatan Kepada Eriksen