Bintang muda Manchester United, Alejandro Garnacho, sekali lagi mempamerkan aksi mantap di atas padang dan kali ini dia telah menjaringkan gol sepakan percuma yang indah nian yang boleh dianggap sebagai bertaraf anugerah Puskas bersama pasukan bawah 20 tahun Argentina.
Bola sepakan percuma yang diambil Garnacho meluru laju ibarat peluru menembusi gol lawan, tepat ke penjuru gawang. Memang padu!
Garnacho freekick vs France u20s 🤩#MUFC pic.twitter.com/l1MhhTOCSX
— Manchester_United_Youth (@MUFC_Youth) June 4, 2022
Gol tersebut merupakan gol pertama peribadi Garnacho dalam perlawanan itu ketika pasukannya sudah ketinggalan lima gol tanpa balas. Pada penghujung perlawanan, dia sekali lagi menjaringkan gol buat Argentina dan kali ini menerusi sepakan penalti.
Rangkuman permainan Garnacho menentang Perancis dalam Kejohanan Toulon adalah seperti di bawah.
Mantap, kan?
Pada musim ini, Garnacho mula mendapat perhatian selepas tampil cemerlang bersama pasukan bawah umur Manchester United. Pada bulan April, dia telah menjaringkan gol dalam perlawanan akhir Piala FA Belia sekaligus membawa pulang piala tersebut ke pangkuan United.
Kecemerlangannya di atas pada telah menghadirkan rasa girang dan teruja di kalangan penyokong United yang kini ketandusan modal untuk berasa gembira.
Penyerang muda yang dibawa dari Atletico Madrid pada musim panas 2020 ini telah membuat kejutan apabila dipanggil menyertai kem latihan pusat 44 pemain pasukan senior Argentina sebelum perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Venezuela dan Ecuador.
Garnacho kemudiannya melakukan debut Liga Perdana Inggerisnya apabila diturunkan oleh pengurus ketika itu, Ralf Rangnick, pada babak akhir perlawanan menentang Chelsea.
Kehebatannya pasti akan menarik minat pengurus baru United, Erik Ten Hag dan selaku pengurus yang diketahui pandai mengetengahkan bakat muda, Garnacho pasti akan mendapat peluang untuk mempamerkan aksi di atas padang dan menarik minat Real Madrid untuk membelinya.
Kecemerlangan Garnacho ini pastinya sedikit sebanyak disebabkan dia berkongsi padang bersama dua pemain terbaik sepanjang zaman – Cristiano Ronaldo di kelab, dan Leo Messi di Argentina.
Sepanjang musim ini, Garnacho telah tampil dalam 34 perlawanan buat skuad bawah 18 Manchester United dalam kejohanan Liga Perdana Inggeris 2, Liga Belia UEFA, Liga Perdana Bawah 18 Tahun, Piala FA Belia, Liga Perdana Inggeris dan juga EFL Trophy.
Secara kolektifnya, Garnacho telah menjaringkan 14 gol serta menyumbang enam bantuan gol, selain mengutip enam kad kuning dan satu kad merah.
Dilahrikan di Madrid, Sepanyol, Garnacho telah menyertai akademi Atletico Madrid dan tampil sebagai pemain utama dalam pasukan Atletico madrid Juvenil B, dan adakalanya diturunkan bersama pasukan bawah-19 tahun.
Pada bulan Oktober 2020, Garnacho telah menandatangani kontrak bersama Manchester United.
Pada bulan Februari 2022, Garnacho telah mencuri perhatian apabila dia menjaringkan gol solo dalam perlawanan Piala FA Belia menentang Everton. Gol tersebut telah diundi sebagai gol tercantik Manchester United untuk bulan itu.
Garnacho sebenarnya mempunyai dua passport dan dia boleh bermain untuk pasukan kebangsaan Sepanyol dan Argentina. Ini kerana ibunya berasal dari negara Amerika Selatan tersebut.
Pada bulan Mei 2021, Garnacho telah dipanggil untuk bermain bersama pasukan bawah-17 tahun Sepanyol. Tiga bulan kemudian, dia melakukan debut untuk pasukan bawah-18 tahun negara tersebut pula.
Mungkin terlalu sayangkan ibunya, Garnacho telah memilih untuk menyarung jersi Argentina berbanding Sepanyol dan melakukan debut buat pasukan bawah-20 tahun negara tersebut dalam perlawanan menentang Amerika Syarikat.
Musim ini boleh dikatakan sebagai musim yang cemerlang buat pemain ini dan tidak mustahil dia akan diberikan peluang dan ruang yang lebih banyak daripada Erik Ten Hag untuk beraksi bersama pasukan utama pada musim hadapan.