Lionel Scaloni Ancam Letak Jawatan, Tinggalkan Skuad Argentina

scaloni

Lionel Scaloni yang berperanan besar membimbing Argentina untuk muncul juara Piala Dunia kini sedang mempertimbangkan untuk meletak jawatan selepas lima tahun bersama pasukan itu.

Scaloni menyampaikan pengumuman mengejutkan itu selepas Argentina menang 1-0 ke atas Brazil selepas perlawanan kelayakan Piala Dunia di Rio de Janeiro pada Selasa lalu.

Jurulatih berusia 45 tahun itu sebelum ini membawa Argentina muncul juara Copa America pada 2021 sebelum meneruskan rekod cemerlangnya di Qatar pada tahun lalu.

“Argentina memerlukan seorang jurulatih yang sentiasa bertenaga dan sempurna,” kata Scaloni.

“Saya terpaksa berhenti dan berfikir. Ada banyak perkara saya perlu fikirkan sekarang juga.

“Ini bukanlah ucapan selamat tinggal atau perkara sedemikian, tetapi saya perlu memikirkannya kerana standard tinggi yang diletakan dan ia rumit untuk berterusan begini. Ia juga rumit untuk terus menang.”

“Mereka [pengkritik] menyukarkan lagi keadaan. Jadi saya perlu memikirkannya seketika. Saya akan bercakap dengan presiden dan kemudian kepada pemain.”

Scaloni mengambil alih peranan sebagai pengendali Argentina daripada Jorge Sampaoli pada Ogos 2018 selepas sebelum itu bergelar pengendali skuad B-20 negara itu.

Kejuaraan Copa America 2021 adalah kejuaraan pertama Argentina di pentas antarabangsa sejak 28 tahun sebelum itu.

Kejuaran itu turut melayakkan Argentina mewakili benua Amerika Selatan untuk menentang juara Eropah Itali di pertandingan Finalissima yang dimenangi oleh mereka dengan jaringan 3-0 di Wembley pada Jun 2022.

Kejuaraan Piala Dunia di Qatar pada akhir tahun lalu adalah kejuaraan ketiga di pentas antarabangsa, juga yang pertama sejak 1986.

“Kami pasti dan berharap Scaloni akan terus bersama kami,” kata pemain Argentina dan Totteham Cristian Romero.

“Kita lihat saja dulu dan berikannya secukup masa untuk bertenang. Setakat ini dia belum mendedahkan apa-apa kepada pemain di bilik persalinan. Sudah tentu kami mahu meyakinkannya untuk kekal.”

Kejayaan mengatasi Brazil beberapa hari lalu adalah yang pertama untuk Argentina di pusingan kelayakan Piala Dunia untuk memastikan diri mereka memiliki kelebihan dua mata di dalam kumpulan kelayakan.

Perlawanan yang dilangsungkan di Stadium Maracana itu terpaksa ditangguhkan selama 30 minit setelah kekecohan penonton berlaku ketika lagu kebangsaan dinyanyikan.

BACA:  Indonesia Sah Ganti Bangladesh Lawan Argentina Kalendar FIFA Jun Ini