Argentina Daftar Messi Jadi Pembantu Jurulatih

Lionel Messi seolah-olah sudah mempunyai peranan dan tanggungjawab baharu ketika Argentina menang 3-0 menentang Bolivia baru-baru ini.

Ini kerana kapten Argentina itu turut berada di kawasan teknikal/ bangku pemain simpanan Argentina walaupun tidak didaftarkan di dalam skuad juara dunia itu menentang Bolivia.

Secara praktisnya, keberadaan pemain yang tidak didaftarkan di dalam skuad hari perlawanan di kawasan bangku pemain simpanan adalah tidak dibenarkan FIFA.

Malah perbuatan tersebut akan dianggap sebagai satu kesalahan dan menerima hukuman.

Namun demikian Messi dibenarkan berada di situ kerana bintang Inter Miami itu telah didaftarkan sebagai salah seorang pembantu jurulatih Lionel Scaloni.

Wartawan TNT Sports Maxi Grillo mendedahkan Messi dibenarkan berada di bangku pemain simpanan Argentina walaupun tidak didaftarkan di dalam pasukan kerana pemain itu telah mengisi borang FIFA untuk mengesahkan dirinya sebagai pembantu jurlatih.

Dengan erti kata lain, Messi menipu FIFA apabila mendaftarkan diri sebagai pembantu jurulatih untuk membenarkannya berada di situ.

Pemain itu tidak dapat diturunkan oleh Scaloni untuk perlawanan tersebut kerana mengalami kecederaan di perlawanan sebelumnya menentang Ecuador.

Walaupun mengalami kecederaan dalam perlawanan tersebut, Messi masih mampu menjaringkan gol kemenangan untuk Argentina menerusi sepakan percuma melencong yang menakjubkan.

Scaloni berpendapat ia tidak wajar merisikokan Messi untuk perlawanan menentang Bolivia. Apatah lagi kedua-dua pasukan dikenali dengan corak permainan keras dan aksi tersebut berlangsung di La Paz yang terletak 3,625 meter di atas paras laut.

Malah untuk perlawanan tersebut tangki oksigen turut diseduakan untuk pemain dan ia adalah kebiasaan bagi pasukan pelawat untuk membenarkan pemain mereka menyedut gas oksigen daripada tangki untuk tujuan pemulihan.

Bintang Brazil Neymar pernah menyifatkan bermain di stadium tersebut sebagai kejam dan tiada peri kemanusiaan pada 2017.

Messi sendiri turut bergelut setiap kali beraksi di situ, dan merupakan antara anggota skuad Argentina kendalian Diego Maradona yang pernah diaibkan Bolovia dengan jaringan 6-1 di venue sama pada 2009.

BACA:  Reaksi Messi Halang Rakan Sepasukannya Menganjing Brazil Buat Peminat Terharu