Ten Hag Tampilkan Gol Lipat Gulung Garnacho Sebagai Bukti Man Utd Ada Kemajuan

Sidang media bersama Erik ten Hag menjelang perlawanan Manchester United menentang Chelsea di Old Trafford pada pertengahan minggu ini menjadi tumpuan selepas pelbagai laporan negatif media sejak beberapa hari lalu.

Daripada perkara berkaitan prestasi semasa pasukan sehingga keadaan di bilik persalinan, semuanya seperti serba tidak kena untuk United pada masa ini.

United mengalami kekalahan ke-10 dalam semua pertandingan pada musim ini apabila tewas 1-0 kepada Newcastle di St.James’ Park pada hujung minggu lalu.

Kekalahan tersebut tiba selepas keputusan mengecewakan seri 3-3 ke atas Galatasaray, keputusan yang hampir sahaja menyingkirkan mereka daripada pertandingan Champions League seawal pusingan peringkat kumpulan pada musim ini.

Di sebalik kesukaran yang dilalui sejak awal musim, Ten Hag berpendapat United di landasan tepat untuk menjadi salah sebuah pasukan yang kembali digeruni pada masa depan.

“Kami melalui dua persembahan yang bauk dan kemudian satu perlawanan buruk. Kami harus terus melangkah. Saya berpendapat pasukan ini masih berada di landasan sepatutnya,” kata Ten Hag kepada media.

“Saya melihat pasukan ini bermain bola sepak yang menarik dan menjaringkan gol yang sangat baik menentang Galatasaray dan Everton.

“Dalam perlawanan menentang Newcastle kami tidak beraksi seperti sepatutnya. Kami sedar akan hal itu dan tidak gembira dengan prestasi yang ditampilkan walaupun kami terus memberi saingan sehingga wisel penamat.

“Dengan sedikit tuah, dan dua peluang pada babak akhir kami mungkin pulang dengan satu mata. Andai kami mempunyai lebih kesungguhan pada ketika itu, saya yakin kami mampu melakukan sesuatu.

“Saya masih yakin kami masih berada di landasan tepat. Benar kami jatuh anak tangga di dalam liga, tetapi ia bukannya jauh sangat.”

Ten Hag turut ditanya mengenai situasi di bilik persalinan dan hubungannya dengan pemain selepas laporan dirinya sudah hilang kepercayaan sebilangan besar anggota pasukan.

Sebelum ini beberapa laporan turut mendedahkan taktikal Ten Hag tidak disenangi oleh pemainnya dan dikatakan menjadi antara punca utama pasukan itu tidak boleh melangkah jauh.

“Sudah tentu saya sentiasa terbuka mendengar pendapat daripada pemain saya dan saya sentiasa membuka ruang untuk mereka meluahkan pendapat mereka kepada saya,” tambah Ten Hag lagi.

“Dan jika pemain ada pendapat yang berbeza, sudah tentu saya juga sedia untuk mendengarnya. Tetapi setakat ini belum ada – mungkin seorang dua pemain – tetapi ia mengenai perkara secara umum.

“Majoriti pemain mahu bermain seperti ini. Proaktif, dinamik, berani. Itu yang mereka mahukan.

“Anda dapat melihat sendiri bagaimana pemain bersungguh untuk melakukannya dalam perlawanan menentang Everton dan Galatasaray dan mereka menampilkan kemajuan.

“Buktinya adalah gol [Garnacho] itu. Anda fikir kami mampu menghasilkan jaringan sedemikian jika kami tidak menampilkan kemahuan yang sama? Apa pendapat anda?”

BACA:  Manchester United Semakin Hampir Tambat Penjaga Gol Jepun