Manchester United Semakin Hampir Tambat Penjaga Gol Jepun

Selepas dikaitkan dengan penyerang antarabangsa Iran Mehdi Taremi, Manchester United kini dilaporkan semakin hampir untuk mengikat penjaga gol Jepun, Zion Suzuki.

Laporan tersebut mulai tersebar dan didedahkan oleh media Jepun, Sponichi sejak beberapa har lalu sebelum turut mendapat perhatian media di Britain.

Kelab dengan jolokan nama Setan Merah ini dikatakan sudah memantau penjaga gol berusia 20 tahun dari Urawa Reds itu sejak 2017, dan kini dipercayai bersedia untuk membawa penjaga gol itu ke Old Trafford.

Sponichi melalui laporannya mendedahkan United sudah membuat tawaran bernilai £5 juta kepada Urawa Reds untuk Suzuki.

Rundingan turut dikatakan berada di peringkat akhir sebelum pengumuman yang akan dilakukan dalam masa terdekat.

Situasi penjaga gol di Manchester United menjadi bualan utama media antarabangsa di jendela perpindahan kali ini selepas kelab itu membenarkan kontrak David de Gea tamat tanpa diperbaharui.

Penjaga gol Sepanyol itu kini menjadi ejen bebas, dan sehingga kini United berusaha untuk membawa Andre Onana dari Inter Milan sebagai pengganti.

Ketibaan Suzuki pula di Old Trafford pula dilihat sebagai perancangan jangka masa panjang kelab itu dan penjaga gol itu dianggap mempunyai potensi menjadi pemain bertaraf dunia satu hari nanti.

Kacukan Jepun-Afrika

Zion Suzuki dilahirkan pada 21 Ogos 2002. Ayahnya berasal dari Jepun, tetapi ibunya adalah warganegara Ghana. Menariknya pemain ini bukan dilahirkan di Jepun tetapi di Little Rock, Arkansas di Amerika Syarikat.

Namun, demikian Zion Suzuki membesar di Saitama dan mulai mengenal bola sepak sejak sekolah rendah ketika menimba ilmu di Saitama Municipal Daito Elementary School.

Kerana dilahirkan di Amerika Syarikat, pemain ini hanya mendapat status naturalisasinya bersama Jepun pada tahun lalu untuk membenarkannya bermain bersama skuad kebangsaan Jepun.

Setelah lulus sekolah rendah, Zion Suzuki melanjutkan pelajaran di Kizaki Junior School. Pada masa-masa ini, Zion berusia 11 tahun di mana beliau mulai bermain sebagai penjaga gol

Potensinya pantas mencuri perhatian pencari bakat Urawa Reds disebabkan oleh susuk tubuh badannya yang menyerlah berbanding pemain-pemain lain seusianya.

Akhirnya, Zion mulai berlatih bola sepak secara serius untuk bergelar pemain profesional setelah direkrut oleh Urawa Red Diamonds Academy.

Karier profesional

Setelah menimba ilmu bersama Urawa Reds sejak tahun 2013, Zion Suzuki akhirnya ditawarkan kontrak profesional pada tahun 2021.

Debutnya di saingan tertinggi Liga Jepun , atau J1 League adalah ketika Urawa Reds berhadapan Shonan Bellmare pada 2 Maret 2021.

Perlawanan tersebut sekaligus menjadi penampilan kompetitif pertama penjaga gol muda itu sebagai pemain profesional.

Walaupun masih baharu pada ketika itu, Zion sempat melakukan enam penampilan bersama skuad utama The Reds di saingan J1 League.

BACA:  Bayern Munich Bincang Beli Raphael Varane Januari Ini